Sunday, December 19, 2010

Bermula 2011

Bermula 2011 semua bahan Komsas telah bertukar ke bahan-bahan baharu. Oleh yang demikian, saya akan memasukkan bahan baharu untuk pengunjung-pengunjung blog ini. Buat masa ini saya berehat sebentar daripada memasukkan entri ke blog ini kerana penggal persekolahan belum bermula. InsyaAllah saya akan memasukkan bahan-bahan baharu bermula bulan Januari atau Februari.

Monday, November 22, 2010

(a) Huraikan dua peristiwa yang dapat dijadikan pengajaran oleh pembaca dalam sebuah novel yang anda kaji.
[7 markah]

(b) Huraikan empat cara pengarang menyisipkan nilai-nilai murni dalam sebuah novel yang anda kaji.
[8 markah]


1. Terminal Tiga

(a) Dua peristiwa yang dapat dijadikan pengajaran;

i. Peristiwa Ruzaini lari dari rumah kerana terpengaruh dengan gerakan dakwah yang ekstrim. Pengajarannya ialah seorang anak remaja hendaklah mementingkan keluarga dalam membuat keputusan tentang masa depannya.
ii. Peristiwa Rimpa terpaksa menunggu di lapangan terbang akibat penangguhan penerbangan. Pengajarannya ialah manusia mestilah memiliki sifat kesabaran yang tinggi dalam menghadapi pelbagai masalah.

(b) Empat cara pengarang menyisipkan nilai;

i. melalui perwatakan watak utama. Watak Rimpa digambarkan sangat sabar dapat mengetengahkan nilai kesabaran.
ii. Melalui dialog watak-watak. Dialog Bang Maily mempamerkan nilai kesopanan yang tinggi.
iii. Melalui peristiwa-peristiwa yang digarap. Misalnya penangguhan penerbangan sebenarnya menunjukkan betapa manusia memiliki nilai-nilai positif seperti sabar, rasional, tabah.
iv. Melalui pemerian secara langsung. Pengarang menjelaskan secara langsung tentang nilai dalam perkembangan plot novelnya.

2. Perlumbaan Kedua

(a) Dua peristiwa yang boleh dijadikan pengajaran;

i. Peristiwa yang utama ialah kejayaan Tuk Kura menewaskan Sang Arnab Putih dalam perlumbaan. Peristiwa ini mengetengahkan pengajaran bahawa manusia perlulah menggunakan kebijaksanaan dalam menghadapi pelbagai cabaran.
ii. Peristiwa Tuk Kura didera oleh anak-anak buahnya akibat terpengaruh dengan hasutan sang tedung. Pengajarannya ialah manusia hendaklah mengelakkan diri daripada mendengar hasutan tanpa usul periksa.

(b) Empat cara pengarang menyisipkan nilai;

i. Melalui perwatakan watak-watak. Watak Tuk Kura digambarkan sebagai watak yang bijaksana, penyabar, tegas mempertahankan maruah, dan sebagainya.
ii. Melalui peristiwa-peristiwa yang dicetuskan. Peristiwa Tuk Kura menang dalam perlumbaan menunjukkan wujud nilai kesungguhan, tabah, bijaksana, berani, dan yakin diri dalam menghadapi cabaran.
iii. Melalui dialog watak-watak. Dialog Tuk Kura menunjukkan watak tersebut sangat berhemah dalam berkata-kata.
iv. Melalui pemerian secara langsung. Tuk Kura yang digambar bersabar menghadapi kerenah anak-anak buahnya berjaya menerapkan nilai kesabaran.



3. Di Hadapan Pulau

(a) Dua peristiwa yang boleh dijadikan pengajaran;

i. Peristiwa Aziz dan Afidah bertekad untuk mencari makanan di kawasan kubur lama. Pengajarannya ialah manusia hendaklah berusaha dengan gigih untuk mengatasi masalah dengan menghadapi kesusahan.
ii. Peristiwa Tuk Marzuki berasa sangat sedih dengan keadaan Afidah yang menderita akibat perceraian ibu bapanya. Pengajarannya ialah manusia hendaklah mengelakkan pergolakan rumah tangga yang akan meninggalkan kesan mendalam dalam jiwa anak-anak.

(b) Empat cara pengarang menerapkan nilai murni;

i. Melalui perwatakan watak-watak. Watak Aziz dan Afidah digambarkan mempunyai kesabaran untuk berhadapan dengan suasana penderitaan hidup akibat peperangan. Watak-watak tersebut dapat menerapkan nilai kegigihan.
ii. Melalui peristiwa-peristiwa yang dicetuskan. Peristiwa kematian Tuk Marzuki akibat terkena bom menerbitkan nilai simpati terhadap cucunya Afidah.
iii. Melalui dialog watak-watak. Misalnya melalui dialog Aziz dengan Afidah semasa mahu pergi ke kubu lama menunjukkan nilai ketabahan dan keberanian.
iv. Melalui pemerian secara langsung. Contohnya pengarang menjelaskan Aziz menerangkan kepada Afidah bahawa dia membantu Syed Fikri untuk bercucuk tanam. Perkara ini dapat menunjukkan kerajinan watak Aziz.


4. Bukit Kepong

(a) Dua peristiwa yang boleh dijadikan pengajaran;

i. Peristiwa serangan komunis di balai polis Bukit Kepong yang menyebabkan ramai anggota polis terbunuh. Pengajarannya ialah rakyat sesebuah negara perlulah mempertahankan kedaulatan negara walaupun terpaksa menggadai nyawa.
ii. Peristiwa Othman terpaksa meninggalkan isterinya yang baru dikahwini kerana dihantar untuk bertugas. Pengajarannya ialah manusia hendaklah sanggup berkorban demi rasa cinta terhadap tanah air.

(b) Empat cara pengarang menerapkan nilai;

i. Melalui perwatakan watak-watak. Watak Othman misalnya digambarkan sangat patuh akan arahan ketuanya. Othman meninggalkan isterinya sebaik sahaja majlis perkahwinan kerana diarahkan untuk bertugas.
ii. Melalui monolog watak Othman. Monolog Othman semasa menyiasat kehadiran pengganas di kebun getah menunjukkan nilai keyakinan yang ada pada dirinya.
iii. Melalui peristiwa-peristiwa yang digarap. Peristiwa Othman menghadiri temu duga tanpa pengetahuan ibunya memaparkan nilai kegigihan yang tinggi.
iv. Melalui pemerian pengarang secara langsung. Pengarang menerapkan nilai keberanian melalui peristiwa serrangan komunis terhadap rumah pasung Bukit Kepong.



5. Konserto Terakhir

(a) Dua peristiwa yang boleh dijadikan pengajaran

i. Peristiwa Hilmi terlantar di hospital kerana sakit tenat telah mendatangkan keinsafan kepada Datuk Johari dan Datin Salmah. Manusia hendaklah segera insaf apabila sedar telah melakukan kesilapan dalam hidup mereka.
ii. Peristiwa Azizah meninggalkan suaminya Hilmi kerana Azizah inginkan sebuah kehidupan yang mewah. Pengajarannya seorang isteri hendaklah patuh akan suaminya dan bersyukur dengan segala yang dimiliki.

(b) Empat cara pengarang menerapkan nilai;


i. Melalui perwatakan watak-watak. Watak Hilmi mengetengahkan nilai kerajinan kerana sikapnya yang rajin semasa menjadi pembantu di rumah Datuk Johari.
ii. Melalui dialog watak. Dialog Hilmi dengan watak-watak lain memaparkan nilai kesopanan kerana sikapnya yang lemah lembut dalam pertuturan.
iii. Melalui peristiwa yang digarap oleh pengarang. Misalnya peristiwa Hilmi diherdik oleh Datin Salmah menunjukkan nilai kesabaran yang tinggi dimiliki oleh watak Hilmi.
iv. Melalui pemerian pengarang secara langsung. Pengarang memaparkan sifat Hilmi yang rajin, sopan, tabah, gigih, dan sebagainya melalui pemerian yang dibuat secara langsung dan jelas dapat menerapkan nilai-nilai berkenaan.


6. Seteguh Karang

(a) Dua peristiwa yang boleh dijadikan pengajaran;

i. Peristiwa Encik Johari telah memandang rendah terhadap keupayaan wanita dalam melaksanakan tugas ketika mengetahui Awanis akan menjalani latihan di ladang. Pengajarannya manusia hendaklah mengelakkan diri daripada memandang rendah terhadap orang lain kerana tindakan tersebut akan mendatangkan masalah kepada dirinya.
ii. Peristiwa Anita lari meninggalkan rumah setelah bergaduh dengan Kak Maysarah menyebabkan Awanis pulang ke rumah untuk menyelesaikan masalah tersebut. Pengajarannya manusia hendaklah bertindak secara rasional dan tidak melukakan hati orang lain.

(b) Empat cara pengarang menerapkan nilai;

i. Melalui perwatakan watak. Watak Awanis yang tegas mempamerkan nilai ketegasan dalam tindakannya.
ii. Melalui dialog watak-watak. Dialog Awanis dan Wan Asri menggambarkan mereka mengamalkan sikap yang bersopan-santun dan saling menghormati antara satu sama lain.
iii. Melalui peristiwa yang dicetuskan. Peristiwa Anita lari dari rumah mencetuskan nilai kasih sayang apabila Awanis berusaha untuk memujuk adik angkatnya itu supaya kembali.
iv. Melalui pemerian secara langsung. Pengarang menerapkan nilai secara langsung, umpamanya nilai ketegasan Awanis dijelaskan oleh pengarang dapat dikesan dengan mudah oleh pembaca.

7. Julia

(a) Dua peristiwa yang boleh dijadikan pengajaran;

i. Peristiwa Julia menerima berita kematian ibu dan bapanya yang terlibat dalam kemalangan jalan raya. Pengajarannya ialah manusia hendaklah menerima takdir dengan hati yang tabah dan sabar.
ii. Peristiwa pertemuan Julia dan Jun di tanah perkuburan semasa Julia menziarah pusara ibu dan bapanya kerana peristiwa tersebut menjadi bukti kesucian cinta mereka. Pengajarannya manusia hendaklah percaya bahawa jodoh dan pertemuan berlaku dengan kehendak Allah yang maha berkuasa.

(b) Empat cara pengarang menerapkan nilai;

i. Melalui perwatakan watak. Watak Julia yang mahu belajar untuk mengendalikan perniagaan memaparkan nilai kerajinan dan kegigihannya.
ii. Melalui peristiwa yang dicetuskan. Peristiwa pertemuan Julia dan Jun di tanah perkuburan menunjukkan wujud nilai kasih sayang antara kedua-dua watak tersebut.
iii. Melalui monolog watak Julia. Watak Julia banyak bermonolog untuk meluahkan perasaannya menunjukkan nilai saling menghormati kerana dia tidak meluahkan sesuatu yang negatif secara berterus terang.
iv. Melalui pemerian pengarang secara langsung. Pengarang menggambarkan nilai keberanian Julia apabila berhadapan dengan orang-orang seperti Syed Mustaffa yang mahu mengambil kesempatan terhadap dirinya.

8. Putera Gunung Tahan

(a) Dua peristiwa yang boleh dijadikan pengajaran;

i. Peristiwa Tuan Robert tergila-gilakan perempuan Sakai dan akhir mati akibat kebodohannya sendiri. Pengajarannya ialah manusia hendaklah mengelakkan diri daripada memandang rendah terhadap kepercayaan dan anutan agama orang lain kerana tindakan tersebut akan mencetuskan perasaan kurang senang.
ii. Peristiwa Tuan William terbunuh terkena bom askar penjajah ketika menyerang Ratu Bongsu. Pengajarannya ialah manusia hendaklah mengelakkan niat jahat terhadap orang lain kerana tindakan tersebut akan memudaratkan diri sendiri.

(b) Empat cara pengarang menerapkan nilai;

i. Melalui perwatakan watak. Watak Ratu Bongsu yang sangat cinta akan tanah air dapat menerapkan nilai patriotik dalam kalangan pembaca.
ii. Melalui peristiwa yang dicetuskan. Peristiwa perempuan tua yang berbalah dengan Tuan Robert menunjukkan nilai ketegasan dalam mempertahankan maruah bangsa.
iii. Melalui monolog watak Tuan Robert. Monolog tersebut adalah tentang kesopanan orang Melayu yang ditunjukkan oleh perempuan tua.Melalui pemerian secara langsung. Kisah Ratu Bongsu mendapat perhatian isteri Tuan William me

Sunday, November 21, 2010

Soalan Novel

1. (a) Judul novel dikatakan mempunyai hubungan dengan kandungan novel berkenaan. Jelaskan hubungan tajuk novel dengan novel anda kaji.[7 markah]
(b) Watak sampingan memainkan peranan yang penting dalam perkembangan plot sesebuah novel. Huraikan perwatakan watak sampingan dalam novel yang anda kaji.[8 markah]

Rangka jawaban

Judul Konserto Terakhir mempunyai kaitan dengan tema, persoalan, watak, plot, dan latar novel berkenaan.
- hubungan dengan tema novel tersebut iaitu kegigihan seorang pemuda dalam mencapai cita-citanya menjadi seorang pemuzik.
- peristiwa konsert itu menjadi kemuncak perkembangan plot.
- konsert yang terakhir ini juga menjadi titik-tolak penyelesaian beberapa perkara dalam novel. Datuk Johari tahu akan identiti Hilmi selepas konsert itu.

b) watak sampingan dalam novel Konserto Terakhir ialah Datin Salmah
- digambarkan sebagai seorang yang terlalu mementingkan darjat atau status.
- memiliki sikap angkuh dan sombong. Perasaan ini timbul kerana suaminya. Datuk Johari merupakan seorang Pegawai Tinggi Kerajaan.
- terlalu mengongkong anak dan suaminya. Anaknya Hayati sering dikongkong dan dikawal pergerakannya
- mengamalkan cara hidup kebaratan kerana sering menghadiri majlis “Morning Coffee” bersama wanita-wanita yang setaraf dengannya.

Kepentingan Program Latihan Khidmat Negara

Soalan : Program Latihan Khidmat Negara telah diperkenalkan untuk melatih golongan remaja menjadi warga negara yang berguna. Anda ingin menyatakan sokongan terhadap pelaksanaan program ini dengan menyatakan pandangan anda untuk disiarkan dalam sebuah akhbar tempatan. Tulis karangan anda selengkapnya.

Jawapan contoh

Program Latihan Khidmat Negara telah diperkenalkan dan dilaksanakan bebepada tahun yang lalu. Pelaksanaan program ini telah menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat. Kerajaan telah berusaha untuk meyakinkan masyarakat bahawa program ini mempunyai banyak kebaikan, khususnya kepada golongan remaja dan umumnya kepada negara. Namun begitu, sehingga kini banyak pihak belum mendapat penjelasan yang sebenar akan kebaikan-kebaikan yang terhasil daripada pelaksanaan program tersebut. Sesungguh, jika dihalusi secara mendalam Program Latihan Khidmat Negara menjanjikan pelbagai manfaat kepada rakyat Malaysia.

Program Latihan Khidmat Negara bakal melahirkan warga negara yang cinta akan tanah air. Selama ini warga negara ini, khususnya golongan remaja tidak memberi perhatian terhadap perkara ini. Pada anggapan mereka negara ini ditadbir oleh kerajaan tanpa melibatkan rakyat jelata. Selain itu golongan muda hari sudah pudar semangat cinta akan air kerana kemewahan hidup, keamanan, dan kemudahan yang cukup, telah melalaikan mereka. Oleh itu semangat cinta akan tanah air perlu diterapkan dengan kaedah yang lebih berkesan supaya jiwa golongan remaja kembali diisi dengan semangat patriotisme yang tinggi, bak kata pepatah melentur buluh biar dari rebungnya. Jadi, program ini merupakan satu kaedah yang sesuai untuk melahirkan warga negara yang cinta akan tanah air.

Selain itu Program Latihan Khidmat Negara juga akan menerapkan semangat kepimpinan dalam kalangan remaja lepasan sekolah. Semangat kepimpinan sangat penting kerana pemimpin yang baik bakal mempengaruhi kestabilan sesebuah negara. Kepemimpinan yang baik juga dapat menjamin hasrat negara untuk menjadi sebuah negara yang maju, di samping mengekalkan nilai-nilai murni dan budaya masyarakat pelbagai kaum di negara ini. Golongan muda perlu didedahkan dengan konsep kepimpinan yang dapat menjamin kelangsungan kemerdekaan sesebuah negara. Golongan muda ialah generasi yang bakal mewarisi pentadbiran negara suatu hari nanti. Justeru, mereka perlu memiliki semangat kepimpinan bagi memenuhi keperluan kepimpinan negara pada masa hadapan.

Satu lagi kebaikan program ini ialah pemupukan semangat perpaduan dalam kalangan remaja pelbagai kaum. Seperti yang diketahui umum, perpaduan merupakan satu aset penting ke arah kemajuan negara. Perpaduan bakal menentukan iklim politik, ekonomi, sosial, dan sebagainya berada pada tahap yang selesa. Tanpa perpaduan, negara ini akan kucar-kacir dan bakal mencetuskan kekacauan. Pihak luar sudah pasti mengambil peluang daripada ketidakstabilan negara kerana bersatu kita teguh bercerai kita roboh. Isu perpaduan sangat penting dalam sesebuah negara yang mempunyai masyarakat majmuk seperti negara ini. Remaja pelbagai kaum perlu disedarkan peranan masing-masing dalam memelihara semangat perpaduan agar negara terus aman. Oleh itu, program yang membolehkan remaja pelbagai kaum bergaul sesama sendiri dilaksanakan agar semangat perpaduan terus mekar dan menjadi sebahagian daripada amalan hidup mereka.

Program Latihan Khidmat Negara akan membentuk disiplin dalam kalangan peserta iaitu golongan remaja. Program ini dikendalikan dalam bentuk separa ketenteraan serta menerapkan sebahagian cara hidup seorang anggota pasukan keselamatan. Disiplin yang agak ketat bakal membentuk masyarakat yang berwibawa dan bertanggungjawab terhadap amanah yang diberikan kepada mereka, bak kata pepatah bagaimana acuan begitulah bentuknya. Masyarakat yang memiliki disiplin yang baik, bakal mengurangkan masalah kerajaan dalam menangani gejala sosial, seperti penagihan dadah, gangsterisme, buli, peras ugut, dan sebagainya. Golongan remaja perlu diterapkan dengan disiplin yang baik kerana mereka sering terdedah kepada unsur-unsur atau pengaruh-pengaruh yang tidak sihat, Jadi, program berkenaan dapat membentuk remaja dengan disiplin yang utuh.

Program Latihan Khidmat Negara juga akan mengurangkan gejala sosial dalam kalangan remaja lepasan sekolah. Gejala sosial berlaku apabila golongan remaja menghabiskan waktu dengan cara melepak bersama-sama rakan di tempat-tempat awam. Remaja lepasan sekolah biasanya mempunyai masa terluang yang banyak sementara menanti peluang melanjutkan pelajaran atau memenuhi pasaran kerja. Oleh yang demikian, mereka memerlukan aktiviti-aktiviti yang membolehkan masa diisi dengan berfaedah sebelum mereka terjerumus ke kancah gejala sosial yang lebih parah, atau sebelum kudis menjadi tokak. Dengan adanya program ini, golongan remaja yang terpilih akan ditempatkan di kem latihan sepenuh masa selama tiga bulan. Oleh itu pergerakan mereka akan terhad di sekitar kawasan yang dikhususkan kepada mereka. Mereka tidak dibenarkan keluar dan menghabiskan masa di luar tanpa tujuan. Hasilnya, gejala sosial dapat dibendung dengan jayanya jika golongan remaja menyertai program berkenaan.

Tambahan pula program ini mendedahkan golongan remaja kepada kerja-kerja yang bercorak kebajikan. Golongan remaja masa kini biasanya hidup dalam keadaan mewah dan hanya mementingkan gaya hidup yang bebas. Mereka jarang diajak untuk menabur bakti dengan melakukan kerja-kerja kebajikan. Dalam program ini model khidmat masyarakat yang melibatkan kerja-kerja kebajikan diperkenalkan supaya peserta dalam memberikan sumbangan ke arah melahirkan masyarakat penyayang. Mereka dihantar untuk bekerja membersihkan kawasan perumahan, rumah-rumah kebajikan, rumah anak yatim, dan sebagainya. Dengan cara ini golongan remaja akan menjadikan kerja-kerja kebajikan sebagai sesuatu yang boleh dilakukan sepanjang masa dan bukan pada masa-masa tertentu sahaja.

Kesimpulannya, Program Latihan Khidmat negara mendatangkan pelbagai manfaat kepada golongan remaja. Oleh itu semua pihak tidak perlu mempertikaikan kewajaran pelaksanaan program berkenaan. Sebagai rakyat Malaysia, kita tidak mahu golongan remaja masa kini terus terjebak dalam gejala-gejala yang tidak sihat. Remaja hari ialah pemimpin pada masa akan datang. Dengan pelaksanaan program ini, kita berharap golongan remaja hari ini akan menjadi tonggak penting dalam memenuhi keperluan modal insan yang cemerlang, gemilang, dan terbilang. (790 perkataan)
(a) Bandingkan latar masyarakat yang terdapat dalam mana-mana dua novel yang pernah anda baca.
[8 markah]

Jawaban contoh

Oleh sebab novel Konserto Terakhir dan Bukit Kepong mengungkapkan tema yang berbeza, latar masyarakat dalam novel-novel tersebut juga berbeza. Novel Konserto mengetengahkan latar masyarakat bandar yang mementingkan gaya hidup yang mewah dan moden. Hal ini ditunjukkan oleh watak Datin Salmah yang mengamalkan cara hidup masyarakat kota yang serba moden.
Selain itu novel Konserto Terakhir juga memaparkan latar masyarakat pemain muzik yang hidup serba kekurangan. Hilmi yang begitu gigih bermain muzik, gagal dalam rumah tangganya kerana keadaan hidup yang serba kekurangan. Malah rata-rata pemain muzik yang digambarkan dalam novel berkenaan hidup dalam keadaan susah.
Sementara itu latar masyarakat dalam novel Bukit Kepong pula berkisar di sekitar kehidupan pasukan polis yang bertugas di Rumah Pasung Bukit Kepong. Kehidupan mereka sentiasa berada dalam keadaan cemas dan berwaspada kerana sering diancam oleh pengganas komunis. Kemuncaknya, Rumah Pasung Bukit Kepong diserang oleh pengganas komunis yang jauh lebih ramai bilangannya berbanding anggota pasukan keselamatan.
Selain itu, novel Bukit Kepong juga memaparkan latar masyarakat kampung yang tidak merestui anak-anak bertugas sebagai anggota polis. Hal ini dibuktikan oleh watak ibu Othman Yusof yang menghalang Othman daripada menghadiri temu duga pasukan polis. Namun demikian, Othman tetap menghadiri sesi temu duga tersebut secara diam-diam agar tidak diketahui oleh ibunya.

Friday, November 19, 2010

Langkah-langkah untuk Mempopularkan Permainan Tradisional.

Karangan Bahagian A

Permainan tradisional merupakan warisan bangsa yang tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas walaupun popularitinya semakin berkurangan. Generasi muda hari ini tidak mengenali permainan tradisional dengan mendalam kerana kemajuan teknologi yang begitu pesat. Pelbagai pihak telah berusaha untuk mengembalikan populariti permainan tradisional masyarakat kita. Namun begitu, belum ada tanda-tanda permainan tradisional akan kembali diminati. Jadi, beberapa langkah yang sesuai wajar dilaksanakan untuk menghidupkan kembali warisan budaya bangsa ini.
Kerajaan wajar menganjurkan pertandingan-pertandingan permainan tradisional di semua peringkat sosial. Langkah ini bertujuan untuk menarik minat masyarakat untuk bergiat cergas dalam bidang sukan tradisional yang semakin dilupakan. Pelbagai hadiah yang menarik wajar disediakan kerana ada gula ada semutnya. Permainan tradisional seperti wau, gasing, galah panjang, congkak, dan sebagainya sesuai untuk dipertandingkan. Pertandingan ini wajar dijadikan acara bulanan atau tahunan agar pendedahannya lebih kerap dan bukan sekadar hangat-hangat tahi ayam. Jadi, penganjuran pertandingan akan dapat mengembalikan populariti permainan tradisional bangsa kita.
Selain itu, pihak berwajib perlu menjadikan permainan tradisional sebagai satu acara untuk menarik pelancong kerana jika tidak dipecahkan ruyung, manakan mendapat sagunya. Kebanyakan pelancong mancanegara sudah tentu berminat untuk mengetahui lebih lanjut tentang permainan tradisional Malaysia yang pelbagai jenis. Kementerian Pelancongan wajar melatih generasi muda untuk menjadi duta kecil untuk memperkenalkan permainan tradisional kepada pelancong asing. Untuk menjadikan permainan tradisional lebih popular, konsep inap desa turut memasukkan permainan tradisional sebagai acara wajib dalam program berkenaan. Oleh yang demikian, permainan tradisional dapat diperkenalkan kepada pelancong asing dengan lebih berkesan.
Satu lagi langkah untuk memperkenalkan permainan tradisional adalah dengan memasukkan permainan tradisional sebagai satu aktiviti kokurikulum di peringkat sekolah atau institusi pengajian tinggi. Malahan, kanak-kanak di peringkat prasekolah juga wajar didedahkan dengan permainan tradisional kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Kelab-kelab permainan tradisional hendaklah ditubuhkan dan murid-murid diwajibkan menjadi ahli mana-mana kelab permainan tradisional yang digemari oleh mereka. Tambahan pula, pertandingan permainan tradisional antara sekolah-sekolah akan menyemarakkan lagi semangat murid untuk memahirkan diri dengan permainan-permainan tradisional tertentu. Langkah ini sudah tentu dapat menghidupkan kembali kegemilangan permainan tradisional dalam kalangan generasi muda di negara kita.
Kesimpulannya, permainan tradisional memang wajar dikembalikan kegemilangannya dalam kalangan generasi muda. Semua pihak hendaklah berganding bahu untuk mempopularkan kembali warisan bangsa yang tidak ternilai harganya ini. Bak kata pepatah, bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat. Jika tidak permainan tradisional warisan berzaman ini hanya tinggal nama sahaja pada suatu masa nanti. Kerjasama dan iltizam semua pihak akan dapat mempopularkan kembali warisan bangsa kita sampai bila-bila.

Thursday, November 18, 2010

Topik-topik Fokus BM SPM

1. Peranan masyarakat dalam melahirkan remaja cemerlang.

2. Penularan wabak penyakit berbahaya atau masalah keracunan makanan di sekolah.
Langkah-langkah untuk menangani keracunan makanan di kantin sekolah.

3. Peranan golongan wanita dalam pembangunan negara.

4. Usaha-usaha/Cara-cara untuk membantu mangsa bencana alam di seluruh dunia.

5. Kepentingan masyarakat mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian.

Modal Insan Cemerlang

Langkah-langkah melahirkan modal insan cemerlang.

Pendahuluan
- modal insan ialah tenaga manusia yang bakal memenuhi keperluan tenaga kerja masa depan.
- negara maju memerlukan modal insan yang cemerlang dan ampuh.
- pelbagai langkah untuk melahirkan modal insan cemerlang.

Isi 1
- melengkapkan golongan remaja dengan ilmu pengetahuan terkini.
- dalam bidang ICT dan bidang-bidang yang baharu.
- untuk memenuhi keperluan kerjaya masa depan.

Isi 2
- membentuk sahsiah yang positif dalam kalangan remaja.
- melahirkan generasi yang berbudi bahasa.
- hormat-menghormati dalam masyarakat majmuk.

Isi 3
- melangkapkan diri dengan komunikasi yang baik.
- komunikasi asas pembinaan kewibawaan.
- komunikasi membolehkan remaja bersaing di peringkat global.

Isi 4
- membentuk remaja dengan semangat cinta akan negara.
- remaja yang cemerlang memiliki patriotisme yang tinggi.
- semangat setia menjadi asas kedaulatan negara.

Isi 5
- remaja diterapkan semangat 1 Malaysia.
- mementingkan kecemerlangan dalam semua bidang.
- mengutamakan perpaduan.

Kesimpulan
Remaja ialah pemimpin masa depan.
Perlu dididik agar memenuhi keperluan Wawasan 2020.

Wednesday, November 17, 2010

Punca-punca gejala ponteng sekolah

Gejala ponteng sekolah masih menjadi masalah utama dalam sistem pendidikan di negara kita. Bincangkan punca-punca masalah ini berlaku.

Gejala ponteng sekolah dalam kalangan murid sekolah semakin menjadi-jadi sejak akhir-akhir ini. Hal ini telah mencetuskan kebimbangan yang berterusan dalam kalangan masyarakat terutamanya ibu bapa dan golongan pendidik. Pelbagai usaha telah dilaksanakan bagi memastikan gejala ini tidak menular. Namun demikian sehingga kini belum ada penyelesaian yang konkrit untuk mengatasi gejala ponteng sekolah. Sebenarnya, gejala ini berlaku akibat pelbagai punca yang dapat dikenal pasti.
Salah satu punca yang menyebabkan gejala ponteng sekolah berlaku ialah murid-murid berkawan dengan remaja yang tidak lagi bersekolah. Sebagai seorang remaja murid sekolah memerlukan rakan sebaya untuk bersahabat. Pada peringkat perkembangan ini, rakan sebaya merupakan satu aspek penting yang dapat mempengaruhi kehidupan. Kecenderungan untuk bercampur gaul dengan rakan-rakan sebaya menyebabkan murid sekolah tidak berhati-hati dalam membuat pilihan rakan sebaya. Masalah akan timbul apabila murid sekolah berkawan dengan rakan sebaya yang sudah meninggalkan bangku sekolah. Golongan ini hanya menghabiskan masa dengan berfoya-foya tanpa tujuan. Apabila murid sekolah bergaul dengan golongan ini, mereka juga akan turut terikut-ikut dengan cara hidup tanpa tujuan ini. Akhirnya mereka akan ponteng sekolah untuk bersama-sama dengan rakan-rakan mereka yang tidak bersekolah . Oleh itu, jelaslah salah satu punca masalah ponteng sekolah ialah murid-murid sekolah berkawan dengan remaja yang tidak lagi bersekolah.
Punca masalah ponteng sekolah yang seterusnya ialah ibu bapa tidak mengambil berat terhadap anak-anak mereka yang masih bersekolah. Ibu bapa masa kini lebih mementingkan kerjaya kerana mahu meningkatkan taraf kehidupan. Mereka menghabiskan masa yang banyak untuk mencari kekayaan dan mengejar status. Mereka juga menyerahkan tanggungjawab menjaga anak-anak mereka kepada pihak sekolah. Anak-anak mereka pula sering diabaikan seperti anak ayam kehilangan ibu. Ibu bapa tidak memberikan kasih sayang yang sewajarnya diterima oleh anak-anak yang sedang membesar. Oleh sebab ibu bapa tidak begitu mengambil berat akan hal anak-anak, murid-murid sekolah mengambil peluang untuk melakukan apa-apa sahaja. Mereka berpendapat perlakuan mereka di luar rumah tidak akan diketahui oleh ibu bapa mereka. Jadi, sikap ibu bapa yang tidak mengambil berat tentang kebajikan anak-anak akan mencetuskan gejala ponteng sekolah dalam kalangan murid-murid.
Di samping itu, sikap masyarakat yang mementingkan diri sendiri turut menyebabkan gejala ponteng sekolah terus berleluasa. Masyarakat kita pada masa kini tidak lagi memiliki sikap tegur-menegur antara satu sama lain, apatah lagi untuk menegur anak-anak jiran yang didapati ponteng sekolah. Masyarakat mengamalkan cara hidup tidak ubah seperti enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing. Tiada lagi semangat kerjasama dan hubungan akrab antara anggota masyarakat, lebih-lebih lagi dalam kalangan masyarakat bandar. Oleh sebab masyarakat tidak mempunyai semangat kerjasama, masalah ponteng sekolah seolah-olah tiada penghujungnya. Murid-murid yang terlibat dengan gejala ini berasa bebas kerana kegiatan mereka tidak ditegur oleh sesiapa, termasuk orang-orang yang dikenali oleh mereka. Hal ini menyebabkan gejala ponteng terus menular. Oleh itu, nyatalah sikap masyarakat yang mementingkan diri turut mencetuskan gejala ponteng sekolah.
Kesimpulannya, terdapat pelbagai punca yang menyebabkan gejala ponteng sekolah berleluasa. Dalam hal ini, semua pihak hendaklah berganding bahu untuk membanteras gejala ini hingga ke akar umbi. Jika tidak gejala ponteng sekolah akan mencetuskan pelbagai masalah lain yang lebih buruk kesannya kerana kudis akan menjadi tokak jika tidak diubati. Kerjasama dan sikap prihatin masyarakat akan membantu pihak sekolah menangani gejala ponteng sekolah dengan lebih berkesan.
(500 perkataan)

Tuesday, November 16, 2010

Karangan 1 Malaysia : isi-isi karangan

Bincangkan peranan remaja dalam menjayakan Gagasan 1 Malaysia.

Pendahuluan

Gagasan 1 Malaysia telah diperkenalkan oleh pemimpin negara.
Slogan - Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan.
Rakyat Malaysia perlu menghayati falsafah gagasan ini, terutama golongan remaja.

Isi 1
- Remaja melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan.
- Menguasai ilmu pengetahuan baharu selaras dengan perkembangan zaman.
- Tujuannya untuk membolehkan remaja menjadi cemerlang.
- Peribahasa : jika tidak dipecahkan ruyung, di mana akan mendapat sagunya.

Isi 2
- Remaja mengamalkan semangat perpaduan.
- Hormat-menghormati antara satu sama lain.
- Memahami budaya, agama yang pelbagai.
- Bergerak seiring untuk mencapai negara maju.
- Peribahasa : Ke gunung sama di daki, ke lurah sama dituruni.

Isi 3
- Remaja memantapkan sahsiah diri.
- Mengamalkan budaya sopan santun.
- melengkapkan diri dengan ajaran agama dan pendidikan moral.
- Remaja Malaysia menjadi ikon imej baik di peringkat global.
- Peribahasa : kalau sudah benih yang baik, jatuh ke laut menjadi pulau.

Isi 4
- Menghayati dan mengamalkan rukun negara.
- menjadi warganegara yang berintegriti.
- pembentukan modal insan yang cemerlang.
- memacu negara ke arah wawasan 2020.
- Peribahasa : bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat.

Kesimpulan
Remaja ialah aset negara. Semua pihak perlu mendidik remaja ke arah pencapaian matlamat Gagasan 1 Malaysia. Usaha yang berterusan akan menjadikan remaja hari ini sebagai pemimpin yang berkaliber pada masa depan.

Buku Terbaru untuk 2011

Gambar di atas ialah buku baharu saya yang diterbitkan oleh Cerdik Publications. Saya menulis bahagian tatabahasa, rumusan, dan karangan untuk buku ini. Buku ditulis untuk murid-murid tingkatan empat.

Monday, November 15, 2010

Karangan: Budaya Pelbagai Kaum

[Karangan sumbangan : Hasmah Yusuf, Semester 3, PBMP, Fakulti Pengajian Pendidikan, UPM]
Negara kita kaya dengan kebudayaan pelbagai kaum. Namun demikian generasi muda semakin melupakan kebudayaan yang kita warisi sejak zaman berzaman. Bincangkan langkah-langkah yang wajar diambil untuk mengekalkan kebudayaan pelbagai kaum di negara kita.
Malaysia merupakan sebuah negara yang terdiri daripada rakyatnya yang berbilang kaum. Kaum-kaum utama yang terdapat di negara ini ialah Melayu, Cina dan India disamping kaum –kaum yang terdapat di Sabah dan Sarawak seperti kaum Dusun, Murut, Bajau, Kadazan, Iban, Dayak dan sebagainya. Setiap kaum yang terdapat di Malaysia ini mempunyai budaya masing-masing yang telah diamalkan sejak zaman dahulu sehingga sekarang. Budaya yang diamalkan dan diwarisi sama ada dari aspek kesenian, bahasa, adat resam,muzik, agama, kepercayaan mahupun undang-undang mempunyai keunikannya yang tersendiri bagi setiap kaum. Oleh yang demikian, usaha-usaha perlu dilakukan oleh semua pihak agar tradisi kebudayaan dalam semua kaum tidak lenyap dari kehidupan masyarakat sekarang ekoran daripada arus pemodenan yang semakin berleluasa.
Terdapat pelbagai cara atau usaha yang boleh dilakukan oleh semua pihak untuk terus mengekalkan sesuatu budaya yang diamalkan antaranya ialah dari pihak diri seseorang itu sendiri. Seseorang individu itu meminkan peranan yang amat penting dalam mengekalkan sesuatu kebudayaaan kerana tanpa tindakan daripada individu, pelbagai usaha yang dijalankan tidak akan berhasil. Seseorang individu dalam setiap kaum itu haruslah mempunyai keinginan yang tinggi untuk meneruskan budaya yang terdapat dalam bangsa mereka itu sendiri supaya kebudayaan itu dapat terus dikekalkan, sebagai contohnya anak-anak muda dalam kaum Melayu seharusnya membuka mata mereka untuk belajar tentang tarian Melayu seperti Tarian Zapin, Tarian Ulik Mayang, Tarian Joget, Dikir Barat, dan sebaginya. Selain
dari segi kesenian, adat resam juga tidak dilupakan kerana dalam masyarakat Melayu terdapat adat sebelum perkahwinan yang masih diamalkan seperti adat merisik, meminang dan barkahwin. Walau bagaimanpun, terdapat sesetangah masyarakat melayu yang telah mengabaikannya ekoran arus pemodenan. Oleh itu, setiap individu haruslah memainkan peranan untuk terus mengekalkan setiap budaya dalam kaum mereka.
Selain dari diri individu itu sendiri, pihak sekolah juga memainkan peranan yang penting untuk meneruskan aktiviti kebudayaan dalam semua kaum di Malaysia. Pihak sekolah boleh mewujudkan persatuan atau kelab yang berkaitan dengan kebudayaan yang terdapat dalam sesuatu kaum. Sekolah memainkan peranan yang agak penting kerana menjadi rumah kedua kepada golongan kanak-kanak dan remaja selepas rumah mereka dan banyak masa yang akan dihabiskan oleh golongan ini di sekolah. Oleh itu, dengan adanya persatuan atau kelab yang berkaitan dengan aktiviti kebudayaan dan kesenian bagi setiap bangsa, pasti akan dapat menggalakkan pelajar terutamanya sewaktu mereka masih muda ini untuk terus melibatkan diri dan mewarisi sesuatu aktiviti kebudayaan. Pihak sekolah bolehlah mewujudkan kelab seperti Kelab Tarian Melayu, Tarian Cina, Tarian India, Kelab Mencanting Batik dan sebagainya. Kesemuanya haruslah mengenai budaya setiap kaum di malaysia. Disamping itu, keadaan ini juga dapat menggalakkan pelajar untuk mempelajari budaya kaum-kaum yang berlainan dan kaum sendiri. Oleh itu, pihak sekolah haruslah memainkan peranan yang sewajarnya supaya dapat menanam sikap cintakan budaya Malaysia dalam diri para pelajar sejak mereka masih muda lagi.

Pelbagai usaha juga boleh dilakukan oleh pihak kerajaan untuk mengekalkan tradisi kaum-kaum di Malaysia. Kerajaan khususnya Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia bertanggungjawab untuk mengadakan aktiviti kebudayaan rakyat Malaysia sekurang-kurangnya sekali dalam setahun untuk memdedahkan kepada rakyat tentang keunikan budaya yang terdapat di Malaysia. Pesta Kebudayaan dan Kesenian boleh diadakan di peringkat negeri, negara mahupun antarabangsa untuk menunjukkan pelbagai aktiviti kebudayaan yang terdapat di Malaysia yang meliputi tarian, muzik, makanan, pakaian dan sebaginya. Selain itu, kerajaan juga boleh mengadakan rumah terbuka secara besar-basaran bagi setiap parayaan yang di sambut di Malaysia seperti Perayaan Hari Raya Aidilfitri atau Aidiladha, Tahun Baru Cina, Hari Deepavali, Hari Gawai, dan sebagainya. Aktiviti seperti ini akan dapat mengeratkan rakyat malaysia tanpa mengira kaum apabila semua kaum disatukan di bawah satu bumbung. Oleh itu, jelaslah bahawa peranan kerajaan amat penting dalam usaha untuk mengekalkan budaya rakyat Malaysia dalam pelbagai aspek sama ada di peringkat negeri, negara mahupun antarabangsa.
Usaha lain yang boleh dilakukan ialah dengan mengadakan kempen-kempen untuk menggalakkan masyarakat untuk terus memartabatkan budaya masing-masing sama ada dalam negara mahupun sehingga ke luar negara. Kempen-kempen yang diadakan oleh pihak swasta mahupun pihak kerajaan akan dapat menyedarkan masyarakat betapa pentingnya usaha untuk mengekalkan budaya yang masih diamalkan oleh setiap kaum di Malaysia. Kempen-kempen yang akan dilakukan haruslah dibuat secara berterusan supaya tidak jadi seperti hangat-hangat tahi ayam sahaja. Contoh kempen yang boleh dilakukan ialah “Bersama Kita Mengekalkan
Budaya Kita” atau “Budaya Melambangkan Bangsa”. Selain itu, pihak-pihak sasterawan juga boleh menyumbang tenaga dengan mengadakan majlis pembacaan puisi-puisi yang berkaitan kebudayaan Melayu, Cina dan India mahupun menulis puisi-puisi yang indah mengenai kepentingan dan keunikan kebudayaan Malaysia. Semua pihak boleh mendapat kerjasama daripada media cetak atau elektronik untuk menjayakan lagi kempen-kempen yang akan dijalankan.
Kesimpulannya, budaya yang masih diamalkan oleh semua kaum yang terdapat di Malaysia perlulah dihargai dan diwarisi kerana ia merupakan sebuah tradisi yang unik yang tidak terdapat dalam kaum-kaum yang lain. Kesemua budaya yang terdapat dalam masyarakat Malaysia sama ada dari segi kesenian, muzik, adat resam, kepercayaan, bahasa dan sebagainya haruslah dikekalkan untuk generasi yang akan datang supaya generasi baru juga turut mengetahui budaya yang telah diamalkan oleh nenek moyang mereka. Oleh hal yang demikian, peranan semua pihak amatlah diperlukan supaya segala usaha yang akan dilakukan akan membuahkan hasil yang lumayan dan menguntungkan semua pihak.

Sunday, November 14, 2010

Ingatan kepada Blogger

Saya dapati beberapa guru yang membuka blog untuk memaparkan bahan-bahan rujukan. Niat itu memang bagus untuk berkongsi pengetahuan dengan guru-guru lain dan anak-anak didik. Malangnya guru-guru berkenaan hanya mencedok bahan-bahan dari laman-laman blog guru-guru lain. Kalau tidak ada inisiatif untuk memuatkan bahan sendiri, lebih baik jangan bina blog. Saya mendapat rungutan daripada beberapa orang guru yang tidak berpuas hati dengan tindakan sesetengah blogger yang mencedok/menciplak/mencuri bahan-bahan daripada blognya untuk dimuatkan dalam blog mereka sendiri. Lebih buruk lagi jika tidak ada sebarang kredit diberikan kepada pemilik asal bahan tersebut. Jagalah maruah dan etika sebagai seorang guru dan blogger. Saya cadangkan buat hyperlink ke blog-blog rujukan supaya pengunjung dapat memasuki blog pemilik asal bahan berkenaan.

Peribahasa-peribahasa popular untuk karangan

i. Melentur buluh biarlah dari rebungnya.
ii. Kalau tidak dipecahkan ruyung, di mana akan mendapat sagunya.
iii. Hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah.
iv. Seperti aur dengan tebing.
v. Beringat sebelum kena, berjimat sebelum habis.
vi. Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung.
vii. Tiada rotan akar pun berguna.
viii.Bagaimana acuan, begitulah kuihnya.
ix. Bersatu teguh, bercerai runtuh.
x. Ke gunung sama didaki, ke lurah sama dituruni.

Ungkapan indah/madah pujangga

i. Peperangan dapat dihindarkan dengan sebuah senyuman - Mother Teresa.
ii. Perjalanan seribu batu bermula dengan langkah pertama - Lao Tze
iii. Tuntutlah ilmu sampai ke negeri China - Hadis.

Saturday, November 13, 2010

Karangan Semangat Gotong-royong

(Karangan sumbangan: Haifa Halim, Sem. 3, PBMP, UPM)
Masyarakat pada hari ini bersikap materialistik sehingga amalan hidup bermasyarakat seperti bergotong-royong terpinggir. Bincangkan halangan-halangan amalan bergotong-royong dan langkah-langkah untuk menarik minat masyarakat untuk bergotong-royong.

Pada era globalisasi ini, masyarakat terdorong untuk mengutamakan kekayaan dan kekuasaan dalam mengejar arus kemodenan perdana kerana taraf hidup yang semakin meningkat. Masyarakat sanggup bekerja keras siang dan malam untuk mengumpul kekayaan sehingga terabai nilai-nilai murni yang pernah menjadi amalan masyarakat pada suatu ketika dahulu. Perkara ini tidak boleh dipandang enteng kerana masalah ini boleh menjejaskan perpaduan dan keharmonian negara. Oleh itu, pelbagai usaha telah dilaksanakan untuk menyemarakkan kembali aktiviti bergotong-royong. Malangnya, usaha tersebut tidak mendapat sambutan daripada masyarakat sendiri. Jika ditinjau dengan mendalam, masyarakat menghadapi beberapa halangan untuk menghadiri aktiviti-aktiviti bermasyarakat khususnya amalan bergotong-royong.
Antara halangan yang dihadapi oleh masyarakat untuk melibatkan diri dalam aktiviti bergotong-royong ialah kehidupan masyarakat yang sibuk berkerjaya. Masyarakat pada hari ini lebih moden berbanding dahulu seiring dengan peredaran zaman. Masyarakat yang tinggal di kota metropolitan seperti Kuala Lumpur khususnya berfikiran lebih terbuka dan bersifat materialistik. Masyarakat menilai dari segi penampilan luaran dan mengamalkan sikap ‘bagai enau di dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing’. Seseorang itu dinilai dari segi jenama pakaian, jenis kereta, jenis rumah, jawatan dalam pekerjaan dan tahap pengaruh dalam bidang masing-masing. Sehubungan dengan itu, masyarakat berlumba-lumba membanting tulang mengumpul kekuasaan untuk mengukuhkan kedudukan masing-masing. Akibat daripada budaya pemikiran tersebut, kebanyakan masyarakat yang tinggal di kota raya mempunyai karier yang sibuk kerana rata-rata menjawat pekerjaan yang profesional seperti ahli perniagaan, peguam dan akauntan. Selain itu, bukan kaum lelaki sahaja yang keluar mencari nafkah bahkan kaum wanita turut ikut serta. Taraf kaum wanita dikatakan ‘berdiri sama tinggi duduk sama rendah’ dengan kaum lelaki dalam alam kerjaya. Ini dapat dibuktikan apabila kaum wanita diberi kepercayaan untuk menjawat pangkat yang tinggi dalam sesebuah firma besar. Lantaran itu, rutin harian banyak dihabiskan di tempat kerja berbanding di rumah. Kesan daripada itu, walaupun kegiatan bergotong-royong diadakan di tempat kediaman masing-masing tetapi amalan bergotong-royong tiada sambutan kerana masing-masing tiada di rumah. Malang lagi, ada yang langsung tidak mengambil peduli persekitaran sehingga tidak mengetahui adanya kegiatan bergotong-royong ini. Oleh itu, kita dapat simpulkan bahawa kesibukan dalam kerjaya menjadi penghalang kepada amalan bergotng-royong.
Institusi rukun tetangga yang tidak berfungsi juga merupakan salah satu daripada halangan kepada amalan bergotong-royong. Institusi rukun tetangga ditubuhkan untuk memelihara keamanan dan kesejahteraan kawasan kediaman akan tetapi kemudahan ini tidak digunakan sebaiknya. Pada suatu ketika dahulu, institusi rukun tetangga bergerak secara aktif yang diketuai oleh penghulu kampung. Organisasi ini juga melibatkan golongan pemuda-pemudi selain daripada golongan yang lebih tua. Secara tidak langsung, golongan muda dapat bekerjasama dan mengeratkan silaturrahim dengan golongan tua seperti yang diuar-uarkan dalam kempen di televisyen iaitu ‘yang tua dihormati yang muda disayangi’. Pada setiap malam, penghulu akan mengadakan mesyuarat di balai raya untuk membincangkan keselamatan dan aktiviti-aktiviti yang akan dilaksanakan. Melalui itu, amalan seperti bergotong-royong dapat dijalankan dan masyarakat juga berpeluang untuk bergaul mesra. Apabila zaman telah berubah, kehidupan masyarakat juga mengalami anjakan paradigma. Kini, organisasi ini hampir tidak bergerak lagi kerana tiada pelapis untuk mengendalikannya. Orang muda sibuk berkerjaya sehingga ke luar negara kerana tawaran pendapatan yang lumayan. Ini memberi gambaran awal kepada kita bahawa golongan muda lebih memandang ganjaran untuk melakukan sesuatu. Oleh itu, mereka tidak berminat mengendalikan institusi rukun tetangga yang tidak memberi pulangan hasil. Sebagai hasilnya, keruntuhan institusi rukun tetangga memberi pengaruh yang besar kepada amalan bergotong-royong.
Kita tidak dapat menafikan bahawa banyak kebaikan yang diperoleh oleh masyarakat daripada amalan bergotong-royong. Menyedari hal ini, kerajaan berusaha untuk menanam kembali amalan ini dalam kalangan masyarakat. Sehubungan dengan itu, kerajaan telah melaksanakan beberapa inisiatif untuk menarik perhatian dan minat masyarakat terhadap amalan bergotong-royong. Antaranya ialah melaksanakan kempen dengan berkesan. Kempen ini bertujuan untuk menyedarkan masyarakat tentang kepentingan bergotong-royong serta sebagai rangsangan untuk melibatkan masyarakat dalam amalan ini. Untuk memastikan kempen ini benar-benar berjaya, peranan media massa dan media cetak sangat penting. Media elektronik boleh menghebahkan kempen ini di dalam televisyen, radio dan suratkhabar agar masyarakat terdedah dengan maklumat tersebut secara meluas. Walaupun kempen seperti ‘cintailah sungai kita’ dan ‘jom ganyang aedes’ merupakan aspek kesihatan dan alam sekitar tetapi kempen ini secara tidak langsung menuntut masyarakat untuk bergotong-royong. Contohnya, kempen ‘jom ganyang aedes’ memerlukan masyarakat untuk bergotong-royong membersihkan kawasan tempat pembiakan aedes iaitu di longkang atau daun-daun kering di sekitar kawasan rumah. Kempen-kempen tersebut dilihat berkesan kerana masyarakat mula berjinak-jinak dengan amalan tersebut di samping untuk menjaga kebersihan. Kejayaan kempen ini terhasil di atas kerjasama media elektronik dan juga kerajaan seperti bak kata pepatah ‘yang berat sama dipikul yang ringan sama dijinjing’ yang akhirnya membuahkan hasil.
Bak kata pepatah ‘melentur buluh biar dari rebungnya’. Oleh itu, untuk memastikan masyarakat pada generasi akan datang agar tidak ketandusan nilai ini, langkah seperti penerapan dalam pendidikan di sekolah wajar dilaksanakan untuk menyemai amalan ini dari peringkat awal lagi. Dalam pendidikan, amalan ini dapat ditanam melalui mata pelajaran seperti pendidikan moral dan sivik kewarganegaraan. Melalui mata pelajaran tersebut, pelajar didedahkan dengan kepentingan nilai-nilai murni dan mengaplikasikan nilai tersebut dalam kehidupan. Guru memberi pendedahan dan penerangan tentang nilai-nilai murni tersebut dan menjalankan pelbagai aktiviti untuk mendekatkan para pelajar dengan amalan nilai-nilai murni. Selain itu, sekolah juga memain peranan penting untuk menggalakkan pelajar supaya bergotong-royong. Pada hari yang tertentu seperti Hari Guru, Hari Sukan dan pekhemahan pasukan beruniform, sekolah menetapkan pelajar dan guru untuk bergotong-royong membersihkan kawasan sekolah. Secara tidak langsung, para pelajar dipupuk amalan ini sejak dari bangku sekolah dan akan diteruskan sehingga dewasa dalam komuniti masyarakat. Oleh yang sedemikian, langkah menerapkan nilai ini dalam pendidikan oleh kerajaan harus dipuji.
Langkah yang lain untuk menanam nilai ini dalam diri masyarakat ialah penglibatan dari badan bukan kerajaan(NGO) dengan lebih giat. Badan NGO boleh turun padang untuk membantu kerajaan menarik minat masyarakat dalam amalan gotong-royong. Untuk merealisasikan harapan kerajaan mewujudkan masyarakat bergotong-royong, syarikat swasta boleh menganjurkan pertandingan kampung tercantik dengan ganjaran lumayan kepada pemenang. Dengan cara itu, masyarakat lebih tertarik untuk menyertainya dan mula bergotong-royong mencantikkan kawasan perkampungan. Perlibatan badan NGO yang lebih giat dan aktif dapat menunjukkan kepada masyarakat betapa pentingnya amalan tersebut dalam kehidupan komuniti. Melalui itu, masyarakat diharapkan mendapat mesej yang dibawa oleh kerajaan untuk mempergiat amalan ini.
Secara tuntasnya, amalan bergotong-royong ini sangat penting dalam kehidupan bermasyarakat sehingga kerajaan mengambil beberapa inisiatif untuk menghidupkan kembali amalan tersebut. Kerajaan boleh mengguna kaedah yang lain dan lebih kreatif untuk memikat masyarakat. Jika amalan ini terus terkubur, masyarakat akan hidup dalam keadaan tidak aman dan sengsara. Sehubungan dengan itu, masyarakat harus bermula dari sekarang untuk mengubah diri agar amalan ini dipraktikkan sehingga akan datang dan dianggap amalan yang ‘tak basah dek hujan, tak lekang dek panas’. Sebagai penutup wacana, marilah kita belajar amalan yang baik ini dan mengamalkannya dalam kehidupan seharian. Bak kata pepatah, ‘yang baik dijadikan teladan,yang buruk dijadikan sempadan’.

Panduan Jawaban Soalan Novel

Untuk menjawab soalan novel, calon perlu mengingat perkara-perkara yang berikut:
NKKIBK (Naik Kereta Kancil Ikut Balik Kampung)
N = Nama novel : Perkenalkan nama novel yang dikaji.
KK= Kata kunci soalan : Contohnya, persoalan, nilai, pengajaran, latar, kritikan, teguran, dll.
I = Isi jawaban
K = Kesimpulan : Jangan lupa nyatakan kesimpulan.

Jawaban contoh

Novel yang telah saya kaji ialah novel Konserto Terakhir. (N) Novel ini mengetengahkan beberapa krikan sosial terhadap kepincangan masyarakat. (KK) Salah satu kritikan yang diutarakan ialah sikap masyarakat kota yang memandang rendah terhadap orang-orang kampung. (I) Hal ini ditunjukkan oleh watak Datin Salmah yang sangat memandang rendah terhadap Hilmi yang berasal dari kampung. (B) Walaupun Hilmi telah bekerja dengan tekun untuk menjaga halaman rumah, Datin Salmah tetap mencari jalan untuk menghina anak muda itu. Selain itu kritikan juga ditujukan kepada seorang suami yang terlalu memberikan perhatian terhadap kerjaya sehingga mengabaikan rumah tangga. Hubungan suami isteri antara Hilmi dan Azizah menjadi retak akibat sikap Hilmi yang terlalu mementingkan bidang muzik yang diceburinya. Sikap yang keterlaluan itu menyebabkan Hilmi akhirnya jatuh sakit dan meninggal dunia ketika berada di kemuncak kerjayanya. Kesimpulannya, teguran yang dilontarkan oleh pengarang dalam novel dapat dijadikan teladan oleh pembaca. (K)

Kaedah TFFP Diciplak

Saya ingin memaklumkan kaedah mengarang yang saya perkenalkan iaitu TFFP untuk menulis perenggan isi telah diciplak oleh dua orang penulis buku ulasan Bahasa Melayu sebuah syarikat. Pihak berkenaan mengubah suai sedikit bahan saya yang terdapat dalam blog ini dan mengaku bahawa kaedah tersebut ciptaan mereka. Tindakan ini merupakan satu tindakan yang tidak beretika, dan saya memandang serius perkara ini. Saya sedang menguruskan perkara ini dengan peguam saya untuk membawa perkara ini ke mahkamah kerana bahan dalam blog ini telah pun saya terbitkan di majalah-majalah DBP dan UPSI. Kertas kerja kaedah ini juga telah saya bentangkan beberapa kali di seluruh Malaysia. Saya mempunyai bukti dan alasan yang kuat untuk mempertahankan hak saya.

Saturday, November 6, 2010

Karangan : Kesan peperangan

Peperangan merupakan suatu peristiwa yang memberikan kesan negatif kepada sesebuah negara. Bincangkan kesan-kesan yang dialami oleh negara yang terlibat dalam peperangan tersebut.
Setiap peperangan yang berlaku pasti mendatangkan pelbagai kesan negatif kepada sesebuah negara. Hal ini membangkitkan kebimbangan yang berterusan dalam kalangan masyarakat dunia. Pelbagai usaha telah dilaksanakan oleh pihak yang bertanggungjawab untuk memastikan agar peristiwa peperangan ini tidak berlanjutan sehingga meragut ribuan nyawa manusia yang tidak berdosa. Namun demikian, usaha yang dilakukan ini ibarat mencurah air ke daun keladi kerana perkara ini tidak mendatangkan apa-apa faedah sekalipun. Terdapat pelbagai kesan yang dialami oleh negara yang terlibat dalam peperangan tersebut.
Apabila berlakunya sesuatu peperangan, antara kesan utama yang dapat diperhatikan ialah kemusnahan harta benda masyarakat setempat ekoran daripada kekejaman tentera penceroboh. Antara harta benda awam yang musnah ialah bangunan, sekolah, jalan raya, landasan kereta api, lapangan terbang, pelabuhan, dan sebagainya. Bagi mereka yang bekerja sebagai petani, hasil tanaman, alat pengangkutan dan ternakan juga lenyap akibat daripada tindakan tentera penceroboh yang tidak berperikemanusiaan ini. Matlamat mereka hanyalah untuk melihat masyarakat setempat menderita dan hidup dalam kedaifan tanpa sebarang kemudahan asas. Justeru itu, peperangan merupakan suatu perkara yang amat menyeksakan bagi mereka yang pernah mengalaminya sendiri.

Peperangan yang berlaku ini banyak mengorbankan nyawa manusia yang tidak berdosa di serata tempat. Orang awam yang tidak bersalah seperti kanak-kanak, wanita dan orang tua terkena tempiasnya apabila mereka juga dibunuh tanpa rasa belas kasihan dan berperikemanusiaan oleh tentera penceroboh. Akibat daripada keganasan dan kezaliman yang dilakukan, mangsa perang mengalami penderitaan akibat kehilangan orang yang tersayang. Bagi mereka yang tidak dibunuh, mereka telah diseksa dengan teruk sehingga mengalami kecacatan yang kekal. Kekejaman tentera penceroboh ini dapat dilihat apabila mereka melakukan serangan tanpa mengira tempat dan keadaan. Mereka sentiasa mencari peluang untuk menghancurkan komuniti masyarakat di sesuatu kawasan itu. Tegaslah di sini bahawa, peperangan yang berlaku akan membawa kepada kehancuran keharmonian sejagat manusia.
Selain itu, penggunaan senjata kimia dan biologi dalam peperangan mengakibatkan kesan buruk berterusan kepada kesihatan penduduk. Proses pengayaan uranium bagi menjana reaktor nuklear terutama untuk menghasilkan senjata, akan menghasilkan kira-kira 70 peratus gas uranium oksida yang mampu dibawa angin sekali gus mengakibatkan seluruh negara tersebut diancam pelbagai penyakit. Bagi mereka yang terhidu gas uranium oksida ini atau mengambil makanan yang terdedah kepadanya akan menimbulkan kesan negatif kepada sistem perkembangan tubuh badan. Gas-gas yang terbebas melalui udara itu akan mengundang pelbagai penyakit seperti asma, barah, kerosakan otak, diabetis, parkinson dan seumpamanya. Mereka yang berpotensi untuk menghidap penyakit tersebut adalah kanak-kanak dan orang tua. Natijahnya, peperangan ini akan menyebabkan kesihatan penduduk dunia semakin merudum dan pembangunan negara tidak dapat berkembang dengan baik.
Sehubungan itu juga, sistem ekonomi bagi negara yang terlibat dalam peperangan turut mengalami gangguan yang teruk sehingga menjejaskan pembangunan negara. Masyarakat setempat terpaksa melepaskan pekerjaan yang menjadi punca pendapatan mereka semata-mata untuk berperang demi keamanan dan keselamatan mereka semua. Kesannya, aktiviti-aktiviti ekonomi seperti pertanian, perdagangan, pelancongan dan lain-lain tidak dapat berjalan dengan lancar. Hal ini menyebabkan pelabur asing tidak berani untuk melabur di negara tersebut dan mereka akan menarik semula modal yang telah disuntik itu. Kebanyakan firma yang tidak dapat menanggung kos operasinya, akan memberhentikan operasi firma tersebut dan mereka akan kembali pulang ke negara asal mereka. Ini akan menyebabkan negara tersebut mengalami kerugian yang sangat besar. Jelaslah di sini bahawa, sekiranya masalah ini tidak dapat diselesaikan dengan segera, kadar penggangguran dalam kalangan penduduk semakin tinggi dan pembangunan negara tidak dapat berkembang dengan baik.
Seperti yang kita maklum, peperangan yang berterusan akan mengundang kepada gangguan emosi yang teruk dalam kalangan orang awam terutamanya kepada kanak-kanak yang sedang meningkat remaja. Kanak-kanak yang dibesarkan dalam keadaan yang huru-hara akan mengalami gangguan emosi yang teruk sekiranya tidak mendapat rawatan yang sewajarnya. Hal ini kerana, sejak dari kecil lagi mereka telah melihat kekejaman yang dilakukan oleh tentera penceroboh terhadap ahli keluarga mereka seperti diperkosa, dibedil dengan peluru berpandu, ditembak dengan bom dan sebagainya. Kebanyakan kanak-kanak yang masih hidup ini bukanlah seperti kanak-kanak normal yang lain kerana ada di antara mereka yang mengalami kecacatan dari segi fizikal dan mental Peristiwa ini memberi kesan yang mendalam terhadap kehidupan mereka dan kekal dalam ingatan untuk selamanya.
Kesimpulannya, peperangan yang berlaku ini memberi impak yang negatif terutamanya dari segi pembangunan negara dan keharmonian sosial masyarakat sejagat. Untuk mengelak daripada berlakunya peperangan secara berterusan, semua pihak perlulah bekerjasama dan berganding bahu tanpa mengira pangkat, darjat atau bangsa untuk menjaga keharmonian sesebuah negara itu. Setiap peperangan yang berlaku, bukan sahaja mengorbankan ribuan nyawa yang tidak berdosa, malah pembangunan negara dari segi ekonomi dan politik juga terganggu. Oleh itu, sebagai sebuah masyarakat yang prihatin kita seharusnya bersatu hati dan bermuafakat untuk menjaga keamanan negara daripada diganggu gugat oleh pihak yang tidak bertanggungjawab, bak kata pepatah, ‘bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat’.

(Karangan sumbangan, Norhafizah, Sem.3, PBMP, UPM)

Friday, October 29, 2010

Karangan Lumba Haram

Soalan : Kegiatan lumba haram dan pertunjukan lagak ngeri penunggang motorsikal dalam kalangan remaja merupakan isu yang semakin banyak disiarkan dalam media massa. Bincangkan punca-punca lumba haram dan langkah-langkah mengatasi gejala tersebut. (Karangan: Aisyah Kassim, Sem 3, PBMP. UPM)

Cadangan jawaban

Penglibatan remaja dalam aktiviti-aktiviti yang tidak sihat telah menjadi satu isu dalam kalangan masyarakat Malaysia pada hari ini. Isu lumba haram telah banyak diperdebatkan di dada-dada akhbar saban hari. Pihak kerajaan telah mengambil tindakan terhadap gejala ini daripada terus berlaku tetapi masalah ini semakin berleluasa dari sehari ke sehari. Oleh itu, kita perlu mengenalpasti punca-punca berlakunya lumba haram dan cara mengatasinya dalam kalangan remaja untuk membendung daripada “kudis menjadi tokak”.
Salah satu punca berlakunya gejala lumba haram dalam kalangan remaja adalah disebabkan oleh sikap tidak acuh ibu bapa. Dalam dunia yang dilingkari kemajuan sains dan teknologi ini, ibu bapa terlalu mementingkan kerjaya masing-masing. Mereka memberi kebebasan sepenuhnya dan terlalu mempercayai anak-anak mereka. Hal ini akan menyebabkan berlakunya masalah putusnya komunikasi antara ibu bapa dan anak-anak mereka. Ibu bapa yang sibuk dengan pekerjaan mereka kerap menghabiskan masa di luar rumah sehingga mengabaikan tanggungjawab mereka untuk mengambil tahu akan hal anak-anak. Atas tanggapan bahawa tanggungjawab mengajar hanyalah tugas guru dan pendidik, ibu bapa ini tidak acuh dengan pendidikan tidak formal yang bermula dari rumah. Mereka seharusnya tahu dan waspada dengan perubahan sikap, pergaulan dan kegiatan semasa anak mereka. Ketiadaan pengawasan daripada ibu bapa yang hanya menyerahkan keperluan fizikal kepada anak-anak telah mendorong gejala ini terus berlaku. Natijah ini seharusnya diberi fokus yang sewajarnya oleh ibu bapa.

Pengaruh rakan sebaya merupakan faktor yang mendorong berlakunya gejala lumba haram dalam kalangan remaja. Rakan sebaya sering kali menjadi tempat meluahkan perasaan kerana hubungan yang renggang dengan ibu bapa. Hal ini demikian akan menyebabkan mereka mudah mengikut kata rakan sebaya mereka berbanding ibu bapa. Mereka juga sering terikut-ikut dengan trend yang mekar dalam situasi kehidupan moden dan canggih. Sekiranya mereka tidak mengikut aliran kelompok terbesar, mereka dianggap kolot dan tidak sukakan cabaran.Secara tidak langsung, mereka akan mengikut rakan mereka dengan aktiviti-aktiviti lumba haram. Mereka mula berjinak-jinak dengan lumba haram sehingga terjebak dengan gejala tidak sihat ini. Jelaslah, pengaruh rakan sebaya mempunyai pengaruh yang kuat terhadap remaja dalam mendorong mereka terlibat dengan gejala tidak berfaedah ini.

Seterusnya, pengaruh media massa yang menayangkan filem atau rancangan yang keterlaluan menjadi punca gejala sosial ini berleluasa. Dalam era globlisasi ini banyak terdapat teknologi canggih dan moden seperti televisyen, internet dan sebagainya. Media massa menyiarkan program yang berunsur aksi ganas terutama akiviti lumba haram menimbulkan rasa ingin mencuba di dalam naluri remaja. Remaja juga gemar menjadikan sesuatu yang mereka lihat sebagai cabaran untuk melakukannya. Contohnya, filem-filem seperti ‘Tokyo Drift’, ‘Fast And The Furious’, ‘Initial-D’, dan ‘Kuala Lumpur Menjerit’ telah mendorong golongan remaja mempelajari aksi-aksi pelakon yang dianggap bergaya dalam filem-filem tersebut. Dalam filem tersebut, mereka ghairah mengubahsuaikan motosikal mereka seperti yang ditunjukkan dalam filem sehingga mengabaikan ciri-ciri keselamatan.Mereka juga bersikap memberontak dan sengaja tidak mahu memakai topi keledar semasa menunggang motorsikal. Hal ini akan mendorong mereka melibatkan diri dalam lumba haram.
Langkah untuk mengatasi masalah lumba haram dalam kalangan remaja ialah Ibu bapa perlu memberi perhatian yang secukupnya terhadap anak-anak mereka. Dalam mendidik anak, ibu bapa harus bijak dan berupaya untuk mengawasi tingkah laku anak mereka dengan berkesan terutama anak yang sudah mencapai umur remaja. Ibu bapa perlu mengenakan satu tahap disiplin dan dalam masa yang sama menyayangi anak mereka dengan sepenuh hati untuk memberi satu perasaan disayangi dalam diri anak mereka. Ibu bapa perlu meluangkan masa berbual bersama anak-anak mereka untuk mendengar luahan serta rintihan hati mereka. Oleh itu, Ibu bapa menjadi benteng pertama dalam usaha untuk menyelesaikan masalah yang melanda anak-anak mereka. Disamping itu, ibu bapa perlu memberi pendidikan agama kepada anak-anak. Ibu bapa mendidik anak mereka dengan akhlak-akhlak yang baik. Contohnya, mereka diberi hukuman apabila mereka membuat kesalahan dan ibu bapa harus memberitahu kesalahan yang telah dilakukan oleh mereka. Dengan adanya perhatian yang secukupnya daripada ibu bapa, anak-anak tidak akan terjebak dalam lumba haram.
Selain itu, peranan kerajaan amat penting dalam menangani lumba haram ini. Pihak polis membuat lebih banyak sekatan jalan raya di kawasan-kawasan berisiko tinggi berlakunya perlumbaan motosikal ini. Tindakan pihak polis yang lebih proaktif menyebabkan remaja berfikir dua kali sebelum terlibat dalam tindakan negatif ini kerana menyedari tindakan mereka sudah dihidu oleh pihak berkuasa awal-awal lagi. Pihak polis juga perlu membuat pengumuman awal tentang hasrat mereka mengadakan sekatan jalan raya untuk memberi amaran awal kepada remaja supaya tidak melakukan tindakan dengan membuat perlumbaan motosikal di situ. Tindakan pantas dan bijak pihak kerajaan terutama pihak polis menyebabkan remaja tidak berani melakukan aktiviti tidak sihat ini.

Kempen kesedaran turut perlu dilaksanakan dalam menangani kemelut yang melanda dalam kalangan remaja kita ini. Kempen kesedaran dilakukan ditempat-tempat tumpuan orang ramai seperti balai raya,sekolah dan sebagainya.Dalam kempen tersebut, pihak penceramah dijemput untuk memberikan penjelasan. Penjelasan mengenai impak buruk lumba haram diperincikan dalam kempen itu untuk memberi kesedaran yang jitu kepada remaja. Dalam masa yang sama kempen ini turut menjelaskan tindakan undang-undang yang boleh dihadapi oleh remaja yang didapati bersalah terbabit dalam kegiatan lumba haram. Jelaslah, kempen yang begitu mudah tetapi efektif berupaya menghalang gejala sosial ini daripada menular dalam jiwa remaja kita jika dilaksanakan dengan baik.

Kesimpulannya, pengaruh sebaya mempunyai pengaruh yang paling kuat yang menyebabkan kemelut lumba haram terus menular dalam kalangan remaja. Kita perlu mengambil tindakan sewajarnya untuk mengengkang gejala ini terus berlaku jika tidak banyak kesan yang buruk akan melanda negara kita kerana remaja ialah bakal menerajui kepimpinan negara pada masa hadapan. Semua pihak harus berganding bahu dalam mengatasi masalah lumba haram agar dapat melahirkan modal insan yang berhemah tinggi, berakhlak mulia, dan bertanggungjawab terhadap agama, bangsa dan negara.

Tuesday, August 3, 2010

Karangan Syarahan

Soalan
Sebagai pegawai kesihatan anda telah dijemput untuk menyampaikan ceramah di sebuah sekolah tentang cara-cara untuk mengawal penularan penyakit berjangkit.
Tulis teks ceramah anda selengkapnya.

Jawapan contoh

Yang mulia tuan pengerusi majlis, Yang Berusaha Tuan Pengetua, guru-guru, dan murid-murid sekalian. Kita bersyukur ke hadrat Ilahi kerana dapat bertemu dengan tuan-tuan dan puan-puan dalam majlis pada pagi ini. Saya mengucapkan terima kasih kerana pihak sekolah sudi menjemput saya untuk menyampaikan ceramah yang bertajuk “Cara-cara untuk Mengawal Penularan Penyakit Berjangkit”.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Penularan penyakit berjangkit merupakan satu isu yang sering menjadi buah mulut masyarakat sejak akhir-akhir ini. Penularan penyakit berjangkit ini umpama duri dalam daging dan telah menyebabkan masyarakat dunia amnya dan masyarakat Malaysia khususnya berada dalam kebimbangan yang berterusan. Pelbagai usaha telah dilaksanakan oleh pelbagai pihak untuk mengawal penularan penyakit berjangkit terutama yang dapat menyebabkan kematian. Namun demikian penularan penyakit masih lagi berlaku dari semasa ke semasa. Oleh itu pelbagai cara perlu dilakukan oleh masyarakat untuk memastikan gejala penularan penyakit dapat dibendung.

Satu daripada cara untuk mengawal penularan penyakit berjangkit adalah dengan memastikan penjagaan kesihatan yang teratur dalam kalangan masyarakat Malaysia. Penjagaan kesihatan merupakan satu amalan yang berterusan. Contohnya, setiap anggota masyarakat hendaklah menjaga kebersihan diri sepanjang masa. Kebersihan diri ialah asas yang akan mengelakkan tubuh dihinggapi penyakit. Penjagaan kesihatan juga melibatkan aktiviti senaman dan riadah yang sistematik. Masyarakat Malaysia hari ini terdedah pada pelbagai risiko penyakit jika tidak menjaga kesihatan. Tambahan pula sejak akhir-akhir ini pelbagai jenis penyakit dikesan wujud di negara kita. Contohnya penyakit selesema burung yang bermula di luar negara telah menjangkiti penduduk negara ini. Oleh yang demikian penjagaan kesihatan yang teratur merupakan satu cara yang berkesan untuk mengawal penularan penyakit berjangkit, bak kata pepatah mencegah itu lebih baik daripada mengubati.

Hadirin sekalian,

Selain itu pihak berkuasa mesti mengetatkan syarat kemasukan pelancong dari luar negara. Pihak jabatan imigresen dan juga jabatan kastam perlu menguatkuasakan kawalan yang ketat terhadap orang yang masuk ke negara ini. Jabatan kastam umpamanya, mestilah memastikan haiwan-haiwan yang dibawa masuk ke negara ini bebas daripada jangkitan sebarang penyakit berbahaya. Tidak kira sama ada haiwan tersebut diimport untuk dijadikan makanan atau haiwan peliharaan. Jika haiwan tersebut dijangkiti, pihak jabatan kastam hendaklah menyita dan memastikan haiwan tersebut tidak dibawa masuk. Dalam hal ini tumpuan khusus hendaklah diberikan pada pelancong dan haiwan dari negara-negara yang diketahui telah dijangkiti penyakit berjangkit berkenaan. Misalnya suatu ketika dahulu negara China telah diserang penyakit selesema burung yang serius. Oleh itu pelancong dan barangan import yang berasaskan haiwan hendaklah diperiksa dengan lebih terperinci agar negara kita bebas daripada ancaman penyakit berjangkit yang berbahaya. Jadi, pihak berkuasa hendaklah mengetatkan syarat kemasukan pelancongan dan barangan dari luar negara untuk mengelakkan penularan penyakit berjangkit, jangan sampai sudah terhantuk baru tengadah.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Langkah untuk mengawal penularan penyakit berjangkit yang berikutnya ialah pihak kerajaan hendaklah melupuskan haiwan atau pembawa yang telah dijangkiti penyakit berjangkit dengan kadar segera. Tindakan tegas ini mestilah dilaksanakan tanpa mengira bantahan dan kritikan masyarakat. Kerajaan harus menjalankan tindakan ini kerana penyakit berjangkit biasanya merebak dengan pantas apabila pembawanya tidak dihapuskan, bak kata pepatah biar titik jangan tumpah. Misalnya dalam kes penularan penyakit selesema burung, setiap unggas sama ada yang dipelihara atau yang hidup bebas perlu dilupuskan. Walaupun tindakan ini agak kejam sifatnya, kita tidak boleh memilih bulu atau berkompromi apabila kesihatan masyarakat awam terancam seperti kata pepatah biar titik jangan tumpah. Kerugian akibat kematian haiwan peliharaan adalah lebih baik berbanding kehilangan nyawa manusia akibat diserang penyakit berjangkit. Tindakan tersebut juga hendaklah dilaksanakan dengan kadar segera. Pihak berwajib tidak harus menanti keputusan majoriti kerana penularan penyakit tidak akan berhenti jika tidak dibendung. Tindakan yang lambat akan mendatangkan kesan buruk apabila penyakit berkenaan tidak lagi dapat dikawal dengan menyeluruh. Oleh itu, pelupusan haiwan atau pembawa penyakit hendaklah disegerakan untuk memastikan penularannya dapat dikawal.

Tuan-tuan yang dihormati,
Kesimpulannya, terdapat pelbagai langkah yang wajar dilaksanakan untuk memastikan penyakit berjangkit dalam dibendung penularannya. Dalam hal ini semua anggota masyarakat perlulah bekerjasama ibarat aur dengan tebing agar penyakit berjangkit dapat ditangani dengan berkesan. Kita tidak mahu menyesal akibat kelekaan kita mendatangkan kesan buruk kerana menyesal dahulu pendapatan, menyesal kemudian tidak berguna. Kerjasama semua pihak sudah pasti akan melahirkan masyarakat Malaysia yang bebas daripada ancaman penyakit berjangkit yang berbahaya. Sebelum saya mengundur diri, saya ingin mengambil kesempatan untuk menyusun jari sepuluh, memohon ampun dan maaf sekiranya terdapat sebarang kesilapan yang tidak disengajakan. Sekian, terima kasih.

680 perkataan

Tuesday, July 27, 2010

Formula Menulis Karangan : Kaedah Ghazali

Pendahuluan
I = Isu
K = Kesan isu
T = Tindakan umum untuk menangani isu
H = Hasil tindakan
H = Hubung kait dengan soalan

Isi

T = Ayat Topik (terdiri daripada DUA Frasa
F = Frasa 1
F = Frasa 2
P = Penegasan

Kesimpulan

R = Rumusan keseluruhan
C = Cadangan umum
A = Amaran peringatan yang bakal berlaku
H = Harapan penulis terhadap isu.

Semua perkara di atas diaplikasikan dalam karangan-karangan contoh sebelum ini.

Kelebihan penggunaan formula dalam aktiviti mengarang.

1. Karangan menjadi panjang dan memenuhi arahan soalan. (Biasanya 450 perkataan ke atas)
2. Murid tidak membuang masa memikirkan perkara yang hendak ditulis.
3. Hala tuju karangan jelas dan tidak terkeluar tajuk.
4. Perenggan yang seimbang dan sekata.
5. Komponen karangan lengkap - ada pendahuluan, perenggan isi yang jelas, dan kesimpulan.

Karangan Contoh

Karangan contoh

Gejala penerokaan hutan secara haram semakin berleluasa sejak akhir-akhir ini. Bincangkan kesan-kesan penerokaan hutan secara haram terhadap masyarakat dan negara ini.


Penerokaan hutan secara haram merupakan isu yang sering menjadi buah mulut masyarakat sejak akhir-akhir ini. Hal ini telah membangkitkan kebimbangan dalam kalangan pencinta alam dan juga masyarakat secara keseluruhannya. Pihak berwajib telah melaksanakan pelbagai usaha untuk memastikan penerokaan hutan secara haram dapat dibanteras hingga ke akar umbi. Namun demikian, sehingga kini belum ada jalan penyelesaian yang konkrit untuk memastikan kawasan hutan negara ini tidak diceroboh oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab. Sesungguhnya penerokaan hutan secara haram sudah pasti akan meninggalkan pelbagai kesan terhadap masyarakat dan negara.

Antara kesan yang paling ketara yang disebabkan oleh penerokaan hutan secara haram negara akan kehilangan hasil kayu balak akibat dicuri oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Hasil kayu-kayan merupakan sumber pendapat negara yang lumayan. Negara kita mempunyai pelbagai spesies kayu yang tinggi nilainya. Contohnya, kayu cengal dan meranti merupakan dua spesies kayu yang terdapat di kawasan hutan negara ini. Kayu jenis ini kini amat sukar didapati kerana telah dicuri oleh pihak pembalak haram yang mementingkan keuntungan peribadi semata-mata. Pihak ini tidak ubah seperti enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing. Golongan peneroka haram ini tidak berhati perut dan sanggup meneroka kawasan hutan tanpa memikirkan kesannya terhadap orang lain. Mereka juga tidak langsung memikirkan kesan perbuatan mereka terhadap alam sekitar kita yang semakin terancam. Jadi, penerokaan hutan secara haram akan menyebabkan negara kehilangan hasil kayu yang banyak.

Kesan yang seterusnya ialah alam sekitar akan tercemar akibat penggondolan kawasan tadahan hujan. Alam sekitar merupakan khazanah yang sangat berharga kepada manusia. Alam sekitar yang terjaga membawa banyak kebaikan pada setiap makhluk di dunia ini. Dengan pengekalan alam sekitar keseimbangan alam akan terus lestari dan kehidupan makhluk sejagat akan sejahtera. Penggondolan kawasan tadahan sudah pasti akan menjejaskan alam sekitar. Tumbuh-tumbuhan yang menjadi benteng pertahanan alam musnah akibat aktiviti penggondolan hutan yang berfungsi sebagai kawasan tadahan hujan. Hal ini tidak ubah seperti meletakkan garam pada luka. Alam yang semakin terancam sudah pasti menjadi lebih parah dengan aktiviti penggondolan kawasan tadahan ini. Oleh itu, penerokaan hutan secara berleluasa menyebabkan alam sekitar tercemar.

Penerokaan hutan secara haram juga akan menyebabkan banjir kilat di kawasan-kawasan hilir sungai yang rendah kedudukannya. Banjir kilat ialah bencana alam yang berlaku secara mendadak. Biasanya banjir kilat akan mendatangkan kesusahan pada masyarakat kerana bencana ini berlaku secara tiba-tiba, justeru usaha menyelamatkan diri dan harta benda hampir mustahil. Akibatnya bencana seperti ini akan mengakibatkan kematian dan kehilangan harta benda yang banyak. Lebih buruk lagi, kawasan yang sering dilanda banjir kilat terletak di kawasan hilir sungai yang rendah kedudukannya. Sebagai contoh Lembah Kelang merupakan kawasan pamah yang sering dilanda banjir kilat akibat kerja-kerja penerokaan hutan di bahagian hulu. Oleh sebab itu, penduduk di Kuala Lumpur sering menerima tempias apabila berlaku hujan lebat di kawasan tanah tinggi. Hal ini tidak ubah orang lain yang makan nangka, orang lain yang kena getahnya. Oleh yang demikian, jelaslah penerokaan hutan akan menyebabkan banjir kilat yang serius.

Akhir sekali, penerokaan hutan secara haram juga akan menjejaskan habitat haiwan yang dilindungi oleh kerajaan. Hutan merupakan habitat semula jadi bagi kebanyakan haiwan liar. Habitat ini menjadi tempat binatang-binatang mencari makan, berlindung, dan membiak. Keadaan ini akan memungkinkan spesies haiwan berkenaan terus wujud dan dapat disaksikan oleh generasi manusia yang akan datang. Haiwan yang dilindungi ialah haiwan yang semakin pupus dan sukar ditemukan. Antaranya ialah gajah, tapir, beruang, harimau, dan pelbagai jenis haiwan lain. Jika kerajaan tidak mengambil langkah untuk melindungi haiwan ini, ada kemungkinan haiwan-haiwan berkenaan hanya tinggal nama sahaja, sama keadaannya seperti yang berlaku terhadap dinosaur. Penerokaan hutan yang rakus akan membantutkan usaha murnia kerajaan umpama yang dikejar tak dapat yang dikendong keciciran. Jadi, tidak dapat dinafikan bahawa penerokaan hutan secara haram akan menyebabkan habitat haiwan terjejas, sekali gus mengancam kelangsungan hidup haiwan-haiwan yang dilindungi.

Kesimpulannya, penerokaan hutan secara haram dan tidak terancang akan memdatangkan banyak keburukan pada manusia dan alam sekitar. Oleh itu, semua pihak mestilah menggemblengkan tenaga dan buah fikiran untuk memastikan gejala ini dapat diatasi dengan segera bak kata pepatah yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing. Jika tidak, generasi akan datang tidak akan menikmati keindahan alam dan mengenali spesies haiwan yang ada sekarang. Komitmen dan kerjasama semua pihak sudah pasti akan mewujudkan negara Malaysia yang hijau dan harmoni.

670 perkataan

Karangan Rencana menggunakan teknik formula

Masalah pencemaran alam semakin meruncing sejak akhir-akhir ini. Anda ingin menulis rencana tentang langkah-langkah untuk mengatasi masalah tersebut. Tulis rencana anda selengkapnya.

Langkah-langkah untuk Mengatasi Pencemaran Alam
Oleh Hamzani Hamzah

Pencemaran alam merupakan isu yang sering menjadi buah mulut masyarakat sejak belakangan ini. Setiap hari terdapat laporan media tentang gejala pencemaran alam. Hal ini telah menyebabkan pelbagai pihak berasa bimbang akan gejala tersebut. Pihak kerajaan dengan pertubuhan bukan kerajaan telah melaksanakan pelbagai usaha untuk memastikan alam sekitar terpelihara. Walau bagaimanapun, gejala pencemaran alam masih lagi berleluasa seolah-olah tidak ada penghujungnya. Jika ditinjau dengan mendalam, terdapat beberapa langkah yang konkrit untuk menangani gejala ini.
Salah satu langkah yang dapat digunakan untuk mengatasi pencemaran alam ialah pihak berwajib menghukum individu atau organisasi yang telah didapati bersalah mencemarkan alam sekitar. Pihak berwajib seperti Kementerian Sains, Teknologi, dan Alam Sekitar wajar menguatkuasakan undang-undang yang sedia ada untuk menghukum pihak-pihak yang berkenaan. Hukuman yang dikenakan hendaklah setimpal dengan kesalahan pihak terbabit mencemarkan alam. Selain itu tindakan penguatkuasaan undang-undang hendaklah dilaksanakan tanpa sikap memilih bulu dan dilakukan secara tekal dan tidak seperti melepaskan batuk di tangga. Individu dan organisasi yang mencemarkan alam biasanya tidak serik dengan hukuman yang dikenakan. Mereka akan mengulangi perbuatan keji ini jika hukuman yang dikenakan terhadap mereka tidak begitu berat. Malahan ada yang sanggup membayar denda kerana mencemarkan alam sekitar kerana mereka tahu denda tersebut hanya sekali sahaja. Mereka bebas melakukan kesalahan setelah menjelaskan denda yang dikenakan. Oleh itu pihak berwajib mestilah lebih tegas dalam mengenakan hukuman terhadap pihak yang melakukan pencemaran.
Selain itu pihak sekolah hendaklah memperkenalkan pendidikan alam sekitar kepada murid-murid sekolah. Pendidikan alam sekitar melibatkan pelbagai aspek yang menjurus ke arah pengekalan alam yang sejahtera. Satu kurikulum yang khusus perlu digubal agar pendedahan yang sistematik dapat dilaksanakan. Kurikulum ini boleh diselitkan dalam mata-mata pelajaran lain dan boleh juga dijadikan mata pelajaran khusus. Hal ini bertujuan untuk menyemaikan kesedaran secara lebih berkesan. Murid sekolah khususnya yang belajar di sekolah rendah wajar didedahkan dengan pengetahuan tentang alam sekitar dengan lebih sistematik. Jika sejak kecil mereka diberikan pendedahan sedemikian, mereka akan berasa lebih bertanggungjawab terhadap alam sekitar apabila mereka dewasa nanti. Langkah ini akan mengatasi gejala pencemaran alam pada masa akan datang, bak kata pepatah melentur bulu biarlah dari rebungnya. Jadi, pengenalan pendidikan alam sekitar di peringkat sekolah merupakan satu langkah untuk mengatasi pencemaran alam.
Langkah untuk mengatasi pencemaran alam seterusnya ialah pihak kerajaan perlu melaksanakan kempen dengan lebih berkesan. Kempen merupakan kaedah yang paling berkesan untuk menyampaikan sesuatu maklumat tentang pelbagai perkara. Pelbagai media massa dapat digunakan untuk menjadi wadah penyampaian maklumat melalui kempen. Contohnya, televisyen merupakan media yang paling dekat dengan masyarakat. Pada umumnya setiap rumah di negara kita mempunyai set televisyen. Oleh itu televisyen wajar digunakan sebaik-baiknya untuk menyalurkan maklumat tentang langkah-langkah mengatasi pencemaran alam. Media-media lain seperti surat khabar dan radio juga wajar digunakan sepenuhnya untuk menjadi wadah kempen penjagaan alam sekitar. Selama ini kempen yang dilaksanakan tidak begitu berkesan. Pihak yang terbabit hanya melaksanakan kempen tidak ubah seperti pahat dengan penukul. Adakalannya kempen yang dilaksanakan bersifat aktiviti bermusim. Oleh yang demikian, kempen yang lebih berkesan dan dijalankan dengan bersungguh-sungguh dapat mengatasi masalah pencemaran alam sekitar.
Kesimpulannya, terdapat pelbagai langkah yang dikenal pasti dapat mengatasi masalah pencemaran alam sekitar jika dilaksanakan dengan penuh iltizam. Dalam hal ini, semua pihak perlulah bekerjasama untuk memastikan langkah-langkah yang dirancangkan dapat dilaksanakan dengan berkesan kerana alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan. Jika alam sekitar terus terabai, generasi akan datang pasti menghadapi masalah alam sekitar yang lebih buruk. Kerjasama dan kesungguhan semua pihak menyelesaikan masalah ini diharapkan dapat mengatasi gejala pencemaran alam dengan lebih berkesan.
(550 perkataan)

Tuesday, July 20, 2010

Rangka Karangan SPM

Sejak akhir-akhir ini pelbagai penyakit berbahaya sedang melanda masyarakat di negara kita. Pada pandangan anda, apakah peranan ibu bapa untuk menangai penularan penyakit berbahaya ini.

Pendahuluan

Sejak akhir-akhir ini masyarakat Malaysia dikejutkan dengan pelbagai jenis penyakit berbahaya. Hal ini telah membangkitkan kebimbangan semua pihak terutamanya ibu bapa yang bimbang akan keselamatan anak-anak mereka. Kerajaan telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk membendung dan menangani penularan penyakit berbahaya ini. Namun demikian, usaha gigih ini belum menampakkan hasil yang diharapkan. Jika dilihat secara tuntas, ibu bapa mempunyai peranan yang besar untuk mengekang penularan penyakit berbahaya ini.
Isi
i. Ibu bapa perlu memastikan persekitaran kawasan tempat tinggal b erada dalam keadaan bersih.
- tidak ada air yang bertakung - yang boleh menyebabkan nyamuk membiak
- sampah sarap dibuang ke tempat yang disediakan.
ii. Ibu bapa perlu mengingatkan anak-anak tentang kepentingan menjaga kebersihan dan kesihatan.
- Anak-anak diingatkan supaya membasuh tangan selalu.
- Tidak bermain di tempat-tempat yang kotor.
- Menggunakan sabun berubat untuk membersihkan diri.
iii. Ibu bapa perlu membawa ahli keluarga untuk mendapatkan rawatan sekiranya ada tanda-tanda jangkitan penyakit berbahaya.
- Mendapatkan rawatan di hospital yang bertauliah.
- Menempatkan ahli keluarga di wad untuk mendapat rawatan susulan.
- Ibu bapa selalu mendapatkan nasihat doktor tentang bahaya penyakit dan cara-cara menanganinya.
iv. Ibu bapa perlu peka dengan maklumat atau hebahan yang dibuat oleh pihak berkuasa.
- Mengingatkan anak-anak supaya memakai topeng muka.
- mendapatkan suntikan pencegahan di pusat kesihatan berdekatan.
- mengambil makanan yang dapat mengurangkan risiko serangan penyakit.
Kesimpulan
Kesimpulannya penularan penyakit berbahaya merupakan satu ancaman yang datang tanpa diundang. Ibu bapa dan seluruh masyarakat hendaklah sentiasa peka dengan perkembangan untuk bertindak kerana menyesal dahulu pendapatan menyesal kemudian tidak berguna. Semua pihak hendaklah menggemblengkan tenaga untuk menangani wabak penyakit berbahaya. Jika tidak seluruh keluarga akan mendapat musibah. Kerjasama semua pihak akan dapat menghindarkan seluruh masyarakat daripada menjadi mangsa penyakit berbahaya kerana mencegah itu lebih baik daripada mengubati.

Thursday, July 15, 2010

Panduan Merumus Bahasa Malaysia SPM

Saya memperkenalkan satu kata singkatan supaya mudah diingat apabila murid menjawab soalan rumusan. Singkatan tersebut ialah PASSTDAADK (Pandang Awang Senyum-senyum, Tengok Dahi Awang, Ada Daun Kering) Singkatan tersebut merupakan perkataan pertama bagi setiap baris rumusan termasuk penanda wacananya. Kaedah ini semua untuk mereka yang mahu menjimatkan masa dan malas nak fikir penanda wacana yang lain.

P = Petikan membincangkan
A = Antara (isi tersurat)
S = Selain itu
S = Seterusnya
T = Tambahan pula
D = Di samping itu
A = Akhirnya
A = Antara (isi tersirat)
D = Di samping itu
K = Kesimpulannya

Kaedah ini hanya sebagai panduan sahaja. Saya cipta untuk kegunaan murid-murid saya sahaja.

Thursday, July 1, 2010

Buku Ulasan Novel

Tulisan terkini saya bersama-sama Encik Ishak Abd Rahman. Buku ini dapat digunakan oleh guru dan murid-murid mata pelajaran Kesusasteraan Melayu Elektif. Sesiapa yang berminat hendak membeli boleh membuat tempahan secara online. Emel saya glateh@hotmail.com. Harga : RM8.60 termasuk bayaran pos.

Tuesday, May 18, 2010

Musim Peperiksaan

Musim peperiksaan datang lagi. Kebanyakan sekolah menjalankan peperiksaan pertengahan tahun 2010. Perkara yang menarik perhatian saya ialah kebocoran soalan peperiksaan. Persoalannya, adakah calon-calon berasa sangat seronok mendapat soalan bocor? Saya lihat ramai yang berasa sanngat teruja setelah mendapat soalan yang bocor. Pada saya, mendapat soalan bocor bukanlah sesuatu yang baik. Hal ini demikian kerana perkara ini tidak membantu calon dalam peperiksaan sebenarnya. Selain itu keupayaan calon tidak diuji secara yang sah. Tidak ada maknanya jika calon mendapat markah yang tinggi jika mereka mendapat soalan lebih awal.
Satu lagi persoalannya ialah pihak yang membocorkan soalan. Dalam peperiksaan dalaman seperti peperiksaan pertengahan tahun, siapakah yang membocorkan soalan jika bukan guru. Pihak yang begini sangat tidak bertanggungjawab. Saya tidak mahu mengulas panjang tetapi saya menyimpulkan guru yang membocorkan soalan ialah pengkhianat terhadap murid sendiri.

Tuesday, April 20, 2010

Petua untuk Membina Ayat

Membina ayat merupakan salah satu bahagian dalam kertas 2 Bahasa Malaysia SPM. Pada calon bahagian ini dilihat sebagai mudah. Namun, untuk membina ayat, sebenarnya bukanlah satu perkara yang mudah. Arahan soalan menyatakan ayat yang dibina itu hendaklah menunjukkan maksud perkataan atau ungkapan yang diberikan. Contohnya, apabila calon diminta membina ayat berdasarkan kata 'tegas'.
i. Cikgu Halil sangat tegas. Ayat tersebut betul dari aspek tatabahasanya, tetapi maksud yang diutarakan oleh ayat tersebut masih kabur dan tidak jelas. Oleh itu, ayat tersebut tidak boleh dianggap sebagai ayat yang baik. Sepatutnya;
ii. Cikgu Halil sangat tegas dalam membuat keputusan kerana setiap keputusan yang dibuat tidak mungkin akan diubah.
Ayat yang kedua menampakkan maksud kata 'tegas' itu apabila dikaitkan dengan ungkapan 'keputusan yang dibuat tidak akan diubah'.
Contoh seterusnya ialah perkataan 'berulang-alik'. Biasanya calon akan membina ayat seperti di bawah;
iii. Bapa berulang-alik ke Kuala Lumpur setiap hari.
Ayat iii itu betul dari aspek tatabahasanya tetapi tidak jelas dari aspek maksudnya. Oleh yang demikian calon mestilah memikirkan cara untuk menjelaskan maksud kata 'ulang-alik' dengan lebih jelas.
iv. Bapa berulang-alik ke Kuala Lumpur setiap hari kerana tidak ada tempat tinggal disediakan oleh pihak majikan untuknya.
Jadi, calon perlulah membina ayat yang panjang sedikit untuk membolehkan maksud kata diserlahkan. Adalah lebih baik calon menggunakan ayat majmuk supaya dapat memenuhi keperluan bahagian binaan ayat ini.

Thursday, April 15, 2010

Tulisan Saya dalam MInda Pelajar

Sejak Januari saya telah diberikan satu muka surat dalam sisipan Minda Pelajar terbitan akhbar Berita Harian. Terbitan kolum saya itu adalah pada hari Selasa setiap minggu. Saya memperkatakan aspek tatabahasa, panduan, tip, dialog, binaan ayat, dan sebagainya. Mudah-mudahan bahan tersebut dalam dimanfaatkan oleh murid-murid PMR dan SPM juga. Selamat membaca.

Thursday, March 11, 2010

Keputusan SPM diumumkan

Akhirnya, keputusan SPM 2009 pun diumumkan. Bekas murid saya datang ke sekolah dengan hati yang berdebar-debar. Saya bersyukur, sekolah saya mencapai keputusan 99.3% kelulusan. Malangnya keputusan tersebut tidak dapat mengekalkan keputusan 100% tahun 2008. Seorang daripada calon tidak lulus BM. Keadaan ini telah dijangkakan kerana calon ini tidak mahu menulis dalam peperiksaan. Calon berkenaan juga gagal dalam peperiksaan percubaan. Walau bagaimanapun, dari segi kualitinya, tahun ini ada peningkatan. Bilangan murid yang mendapat A+ untuk mata pelajaran Bahasa Malaysia amat memberangsangkan.
Saya berasa amat terharu apabila beberapa orang pelajar Cina mengucapkan terima kasih kepada saya kerana keputusan BM mereka yang cemerlang. Ada yang memperkenalkan saya kepada ibu bapa mereka. Bagi saya pencapaian mereka merupakan hasil usaha gigih mereka. Guru-guru hanya membantu dan bertindak sebagai pemudah cara. Tahniah dan syabas kepada semua.

Friday, February 26, 2010

Buku Terbaru Saya

Dapatkan buku ulang kaji tulisan saya dan Cikgu Ghalib di pasaran sekarang. Disertakan juga ulasan novel Komsas tingkatan empat terkini yang ditulis oleh Penulis dan Penyair Aminhad.

Friday, February 19, 2010

Panduan Mengarang 2

Panduan Menulis Kesimpulan Karangan
Sama seperti bahagian pendahuluan, bahagian kesimpulan karangan juga sangat penting untuk diberikan perhatian oleh calon-calon. Kesimpulan yang baik dan mantap akan menyerlahkan kematangan calon dalam membicarakan sesuatu isu yang diperlukan oleh soalan. Oleh itu, calon-calon perlu menulis kesimpulan yang baik untuk karangan mereka. Sesebuah karangan yang baik akan terjejas kualitinya jika bahagian kesimpulan tidak diberikan perhatian yang serius. Makalah ini menerangkan beberapa panduan asas yang perlu dilakukan oleh calon semasa membuat kesimpulan karangan.
Dalam bahagian kesimpulan beberapa perkara harus dititikberatkan untuk menunjukkan calon menguasai isu yang diperkatakan. Setiap kesimpulan yang ditulis calon perlu membuat rumusan perbincangan, memberikan cadangan, menyatakan peringatan atau amaran dan akhir sekali menyatakan harapan calon terhadap sesuatu isu yang dibangkitkan dalam perbicangan isi. Perkara-perkara tersebut boleh disusun seperti berikut;
i. Rumusan perbincangan ( R )
ii. Cadangan ( C )
iii. Peringatan/Amaran ( A )
iv. Harapan ( H )

Bagi memudahkan calon mengingat perkara-perkara tersebut, singkatan berikut boleh digunakan iaitu RCAH. Jadi dengan mengingat singkatan berkenaan calon-calon tidak lupa akan perkara-perkara yang perlu disertakan dalam kesimpulan karangan mereka.

i. Rumusan Perbincangan
Bahagian ini memerlukan calon membuat rumusan berdasarkan perbincangan isi-isi yang diutarakan. Rumusan tersebut dibuat secara ringkas tetapi mengaitkan kehendak soalan. Calon dinasihati untuk memberikan penekanan terhadap fokus soalan. Jika soalan tersebut meminta calon menyatakan kesan-kesan sesuatu isu, maka beri penekanan pada kesan-kesan semasa membuat rumusan perbincangan.

Soalan contoh :
Bidang teknologi makllumat dan komunikasi merupakan bidang baharu yang perlu dikuasai oleh masyarakat masa ini. Anda ingin menulis sebuah karangan untuk menyatakan kebaikan-kebaikan teknologi maklumat dan komunikasi terhadap masyarakat. Tulis karangan anda selengkapnya.

Kesimpulan contoh:
Bidang teknologi maklumat dan komunikasi sememangnya mempunyai banyak kebaikan untuk dihitung. (RUMUSAN PERBINCANGAN) Oleh itu sudah tiba masanya seluruh masyarakat digalakkan untuk mempelajari bidang berkenaan dengan lebih serius. (CADANGAN) Jika tidak, masyarakat kita akan terus tercicir dan tersisih daripada perkembangan perdana dunia hari ini. (PERINGATAN ATAU AMARAN) Masyarakat yang dapat menguasai bidang canggih ini, diharap dapat bersaing dalam era globalisasi yang semakin mencabar. (HARAPAN)

Kesimpulan contoh 2.
Tidak dapat dinafikan gejala sumbang mahram mempunyai kesan yang sangat buruk terhadap individu dan masyarakat. Semua pihak perlu berganding bahu untuk membanteras gejala ini daripada terus berleluasa. Jika tindakan sewajarnya tidak diambil, imej masyarakat seluruhnya akan musnah dan dipandang hina. Harapan kita, dengan usaha-usaha yang bersungguh-sungguh, gejala jijik ini dapat diatasi, sekali gus mengembalikan keharmonian dalam masyarakat selaras dengan pembinaan masyarakat madani menjelang tahun 2020.

Kesimpulan contoh 3.
Bekerja sambil belajar ternyata mempunyai kebaikan dan keburukan yang tersendiri. Mereka yang terlibat secara langsung dengan perkara ini perlu bijak mengurus masa agar tidak mengabaikan perkara yang penting dalam kehidupan. Jika tidak, ada kemungkinan mereka menyesal dengan tindakan mereka suatu hari nanti. Dengan pengurusan masa yang baik dan fikiran yang rasional, kita harap generasi muda akan lebih berdikari dan berterampilan dalam menempuh hari depan yang semakin mencabar.

Sunday, January 31, 2010

Panduan Mengarang 1

Panduan Menulis Pendahuluan Karangan
Langkah 1
Calon-calon perlu memahami kehendak soalan dengan membaca soalan berulang-ulang kali. Setelah kehendak soalan dikenal pasti, calon boleh bergerak ke langkah yang berikutnya.

Langkah 2
Perkara-perkara yang hendak ditulis dalam pendahuluan dikategorikan seperti berikut;
Isu (I)
Kesan isu (K)
Tindakan umum (T)
Hasil tindakan (H)
Hubungkaitkan dengan soalan. (H)
Untuk memudahkan calon mengingat perkara-perkara tersebut, singkatan berikut boleh digunakan iaitu IKTHH atau IKT2H.

a. Isu
Bahagian isu boleh ditulis dalam satu atau dua ayat. Bahagian ini meliputi isu-isu yang dibangkitkan dalam soalan. Perkara yang ditulis pada bahagian ini terdiri daripada dua perkara iaitu takrif isu dan senario umum tentang isu berkenaan. Namun begitu jika calon menulis senario umum tentang isu sahaja pun sudah memadai. Misalnya, jika soalan memerlukan calon membincangkan cara-cara membanteras gejala cetak rompak, calon perlu menggambarkan senario gejala berkenaan masa kini. Contohnya,
Isu cetak rompak merupakan duri dalam daging industri hiburan di negara kita.
Gejala cetak rompak telah wujud sekian lama dan menjejaskan industri hiburan di negara kita.

b. Kesan isu

Perkara yang kedua yang dimasukkan ke dalam pendahuluan ialah kesan isu yang dibicarakan. Kesan yang dimaksudkan ialah kesan umum yang sudah diketahui. Contohnya,
Masalah cetak rompak menjejaskan artis-artis kerana titik peluh mereka seolah-olah dirampas oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
Gejala cetak rompak menjejaskan pendapatan artis-artis dan karyawan seni kerana hasil karya mereka telah dicuri dengan sewenang-wenangnya oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

c. Tindakan umum

Seterusnya calon memasukkan tindakan secara umum yang diambil pihak-pihak tertentu untuk mengatasi masalah berkenaan. Bahagian ini hanya menyatakan tindakan atau langkah secara umum dan tidak diperincikan. Contohnya;
Pelbagai langkah telah diambil oleh pihak yang berwajib untuk menyelesaikan masalah ini.
Usaha-usaha yang praktikal telah dilaksanakan untuk membanteras gejala yang semakin menular ini.

d. Hasil tindakan

Setelah menyatakan tindakan umum, perkara yang perlu dimasukkan ke bahagian pendahuluan ialah kesan tindakan tersebut. Kesan-kesan itu mungkin kesan positif atau sebaliknya bergantung kepada isu dan kehendak soalan yang dikemukakan dalam tajuk karangan. Contohnya;
Namun begitu, sehingga kini belum ada penyelesaian yang konkrit untuk menyelesaikan masalah ini.
Walau bagaimanapun, gejala yang sudah lama mencengkam hati ini, belum ada ubat yang mujarab untuk menyelesaikannya.

e. Hubung kait dengan soalan

Akhir sekali, calon perlu menghubungkaitkan kehendak soalan dengan pendahuluan. Pada masa inilah calon akan memfokuskan perkara yang bakal dibincangkan dalam bahagian isi karangan. Contohnya;
Sesungguhnya, gejala cetak rompak meninggalkan kesan yang besar terhadap industri hiburan negara kita. (Jika soalan menghendaki calon membincangkan kesan-kesan gejala cetak rompak)
Dalam hal ini, terdapat banyak punca yang menyebabkan gejala cetak rompak berleluasa dan tidak dapat ditangani sepenuhnya. (jika soalan menghendaki calon membincangkan punca-punca gejala cetak rompak)