Sunday, July 31, 2011

Ceramah di UM

Pada 31 Julai 2011 saya telah dijemput oleh sebuah badan NGO iaitu SMC untuk menyampaikan ceramah teknik menjawab soalan kertas 1 Bahasa Malaysia, di Fakulti Kejuruteraan, Universiti Malaya.  Saya sangat berterima kasih kepada pihak penganjur atas jemputan tersebut.

Friday, July 22, 2011

Peribahasa popular untuk digunakan dalam karangan.

i. Melentur buluh biarlah dari rebungnya.


ii. Kalau tidak dipecahkan ruyung, di mana akan mendapat sagunya.

iii. Hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah.

iv. Seperti aur dengan tebing.

v. Beringat sebelum kena, berjimat sebelum habis.

vi. Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung.

vii. Tiada rotan akar pun berguna.

viii.Bagaimana acuan, begitulah kuihnya.

ix. Bersatu teguh, bercerai runtuh.

x. Ke gunung sama didaki, ke lurah sama dituruni.

xi. Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.

xii. Seperti ketam mengajar anak berjalan betul.

xiii. Kerja bertangguh tidak menjadi, kerja beransur tidak bertahan.

xiv. Harapkan pagar, pagar makan padi.

xv.  Kemeyan sebesar lutut, tidak dibakar tiada baunya.



Ungkapan indah/madah pujangga

i. Peperangan dapat dihindarkan dengan sebuah senyuman - Mother Teresa.

ii. Perjalanan seribu batu bermula dengan langkah pertama - Lao Tze

iii. Tuntutlah ilmu sampai ke negeri China - Hadis.
 
iv.  Tuntutlah ilmu dari dalam buaian hingga ke liang lahad - Hadis.

Monday, July 18, 2011

Soalan dan jawaban contoh berdasarkan novel Interlok

Huraikan pengajaran yang terdapat dalam sebuah novel yang anda kaji.    [7 markah]

Novel yang saya kaji ialah novel Interlok karya Abdullah Hussain. Novel memaparkan banyak pengajaran untuk dimanfaatkan oleh pembaca. Antara pengajaran yang diketengahkan ialah kita hendaklah membantu orang yang berada alam kesusahan. Lebai Man mahu Seman dan ibunya tinggal di rumahnya terlebih dahulu setelah keluar dari rumah. Lazim pula sanggup bersama-sama penduduk kampung mendirikan rumah untuk didiami Seman. Selain itu kita hendaklah mengelakkan diri daripada menyembunyikan status diri. Maniam tidak menceritakan bahawa dia sudah berkahwin ketika di India. Namun statusnya akhirnya terbongkar dengan kedatangan Suppiah. Dia dihalau oleh bapa mentuanya keluar dari rumah kerana terlalu marah. Akhir sekali kita hendaklah bersikap jujur terhadap orang lain. Cina Panjang mendapat harta dengan cara menipu Musa yang tidak berpelajaran dan miskin dengan meletakkan nama Musa pada tanah yang dibeli. Akan tetapi apabila Musa meninggal dunia, Cina Panjang menghalau anaknya Seman dan Mak Limah

Thursday, July 14, 2011

Baca puisi di bawah dengan teliti kemudian jawab soalan berikutnya dengan menggunakan perkataan sendiri.

DIRGAHAYU BAHASAKU

Tempatmu di singgahsana
hati nurani bangsaku
warga yang berbudi
setia dan amanah

Bahasa itu maruah bangsa
yang mesti dipelihara martabatnya
agar tetap kukuh dan ampuh
melayari lautan bijaksana
salam ikatan mesra dan teguh

Cekal dan waja semangat pejuangku
hak bangsaku memilikimu
hak bangsaku mendaulatkanmu
di bumi bertuah ini
merentas dunia tak bertepi.

Sejarah bangsa mencatatkan kegemilangan
ke barat dan ke timur menjalin persaudaraan
gagah pelautku membelah lautan
ke utara dan ke selatan bahasaku mencengkam
dari pulau ke pulau menggilap mutiara silam.

Dirgahayu bahasaku
di arena antarabangsa suaramu tumbuh
menusuk kalbu lagu bahasamu
bahasamu bahasa minda
mudah akrab bertatasusila
daripada bangsa yang bernama Melayu
menempa kejayaan di alaf baru

Ahmad Sarju
Manuskrip luka Bangsa, 2006

1. Apakah yang dimaksudkan dengan baris ‘agar tetap kukuh dan ampuh’? [2 markah]

Maksud baris tersebut ialah supaya terus teguh dan kuat.

2. Pada pandangan anda, bagaimanakah martabat bahasa dapat dipertingkatkan?
[4 markah]

Pada pandangan saya martabat bahasa dapat dipertingkatkan dengan cara menjadikan bahasa tersebut sebagai bahasa perhubungan rasmi, mewajibkan seluruh masyarakat menggunakannya, menjadikan penguasaan bahasa sebagai satu syarat untuk mendapatkan pekerjaan, dan menjalankan usaha mengantarabangsakan bahasa tersebut.

3. Huraikan tema dan dua persoalan puisi di atas? [3 markah]

Tema sajak tersebut ialah semangat cinta akan bahasa ibunda yang tinggi martabat dan kedudukannya. Persoalan sajak pula ialah persoalan tentang peranan bahasa sebagai lambang jati diri sesuatu bangsa dan persoalan tentang tanggungjawab bangsa untuk mempertahankan kedudukan bahasa ibunda.