Thursday, January 15, 2009

Kaedah Pengembangan Isi Karangan TFFP

Saya memperkenalkan satu kaedah mengembangkan isi karangan. Kaedah ini saya namakan TFFP, dan merupakan satu komponen dalam kaedah mengarang menggunakan formula yang saya perkenalkan beberapa tahun yang lalu. Yang berikut ialah penerangan ringkas tentang penggunaan kaedah TFFP.
Makalah ini memperkenalkan satu kaedah menulis perenggan isi yang senang diikuti dan digunakan apabila menjawab soalan karangan jenis pendapat, perbincangan, atau fakta, mahupun jenis-jenis lain yang bercorak deskriptif. Malah jika dikuasai dengan baik, kaedah ini juga dapat membantu calon menulis karangan-karangan jenis lain termasuk karangan jenis syarahan, perbahasan, keperihalan, dan seumpamanya. Kaedah ini dinamakan Kaedah TFFP. Kaedah ini agak berlainan daripada panduan-panduan yang pernah diketengahkan sebelum ini. Hal ini demikian kerana penulisan ayat isi bagi sesuatu perenggan dipecahkan kepada empat bahagian iaitu:

i. Ayat Topik ( T )
ii. Huraian Frasa 1 (F1)
iii. Huraian Frasa 2 (F2)
iv. Penegasan/Rumusan Perenggan. (P)

Ayat Topik (T)

Ayat Topik ialah ayat untuk mengetengahkan isi bagi karangan. Isi pula ialah idea utama atau perkara penting yang merujuk kepada soalan karangan yang ditulis. Pelajar dinasihati menggarisi kata kunci dalam soalan sebelum menyenaraikan isi karangan. Amalan ini akan mengelakkan karangan yang ditulis itu terkeluar daripada tajuk perbincangan.

Ayat topik digalakkan untuk ditulis dengan memasukkan dua unsur penting dalam dua frasa. Frasa pertama menjadi fokus isi. Frasa kedua pula merupakan pelengkap kepada fokus isi berkenaan. Ayat isi yang hanya menyertakan fokus sahaja tidak begitu baik kerana tidak lengkap dan tidak menampakkan kematangan fikiran orang yang menulisnya. Cuba bandingkan kedua-dua ayat yang yang berikut:

1(a) Satu langkah untuk mengatasi krisis air adalah dengan melaksanakan kempen.
1(b) Satu langkah untuk mengatasi krisis air adalah dengan melaksanakan kempen yang lebih berkesan.
2(a) Punca gejala cetak rompak terus berleluasa adalah disebabkan tidak ada tindakan yang tegas.
2(b) Punca gejala cetak rompak terus berleluasa adalah disebabkan tidak ada tindakan yang tegas dilaksanakan terhadap pembeli, penjual, dan pengilang yang terlibat.
3(a) Antara kesan pelaksanaan sekolah satu sesi adalah pelajar mempunyai lebih banyak masa untuk belajar.
3(b) Antara kesan pelaksanaan sekolah satu sesi adalah pelajar mempunyai lebih banyak masa untuk belajar di bawah penyeliaan guru-guru.

Ayat 1(b), 2(b), dan 3(b) lebih mantap kerana lebih jelas dan lengkap. Semasa membuat huraian, ayat 1(b), 2(b), dan 3(b) memberi ruang yang lebih bagi pelajar menunjukkan kematangan fikiran mereka. Justeru pelajar mempunyai lebih banyak idea untuk dikembangkan. Perkara ini akan membantu pelajar untuk mengatasi masalah ketidakcukupan jumlah perkataan dalam karangan.

Biasanya ayat topik atau isi utama ialah isi karangan yang telah ditetapkan oleh pelajar semasa membuat draf atau perancangan menulis karangan. Cara inilah yang biasanya diajar oleh guru-guru di sekolah. Amalan merancang atau menulis isi terlebih dahulu sebelum menulis adalah baik kerana mengelakkan pelajar daripada lupa. Jadi, pelajar dinasihati supaya mengamalkan cara ini setiap kali menulis karangan. Yang penting, guru-guru perlu melatih pelajar supaya menulis ayat topik yang terdiri daripada dua frasa yang boleh dihuraikan dengan lebih panjang.

Frasa 1 dan Frasa 2

Seperti yang disarankan, ayat topik hendaklah terdiri daripada dua frasa. Contohnya, cuba lihat ayat-ayat topik yang berikut:
i. Satu langkah untuk mengatasi krisis air adalah dengan melaksanakan kempen yang lebih berkesan.
ii. Pihak berkuasa perlu mengambil tindakan tegas terhadap orang yang mencuri air.
iii. Langkah lain yang boleh dilaksanakan untuk mengatasi krisis bekalan air adalah dengan mengawal penebangan hutan di kawasan tadahan.
iv. Seterusnya, krisis bekalan air juga dapat ditangani dengan menggantikan saluran paip yang rosak dengan paip yang tahan lebih lama.

Jika diperhatikan ayat-ayat topik yang disenaraikan, setiap ayat dibina dengan menggunakan dua frasa yang utama dan boleh dihuraikan secara berasingan. Ayat (i) misalnya, Frasa 1 (F1) ialah melaksanakan kempen. Frasa 2 (F2) pula ialah yang lebih berkesan.

Dalam ayat (ii) F1 ialah mengambil tindakan tegas, dan F2 pula ialah orang yang mencuri air. Semasa membuat huraian, pelajar boleh menghuraikan kedua-dua frasa tersebut secara berasingan sebelum merumuskan kedua-dua dalam satu atau dua ayat yang lengkap. Contoh-contoh boleh disertakan semasa menghuraikan kedua-dua frasa berkenaan. Begitu juga halnya dengan isi-isi yang lain. Perkara penting yang perlu dikuasai oleh pelajar ialah cara untuk membahagikan ayat isi mereka kepada frasa-frasa yang dapat dihuraikan dengan sistematik.

Penegasan/Rumusan Perenggan (P)

Setiap perenggan wajar disimpulkan dengan rumusan bagi perenggan berkenaan. Penanda wacana yang disesuaikan wajar digunakan bagi menunjukkan bahawa perenggan tersebut telah ditutup dengan baik. Contohnya:
i. Jadi, dengan kempen yang lebih berkesan, krisis air yang berlaku sekarang dapat diatasi dengan lebih cepat.
ii. Oleh hal yang demikian, pihak berkuasa wajar bertindak tegas terhadap orang yang mencuri air untuk memastikan krisis air dapat ditangani secepat yang mungkin.
iii. Justeru, penebangan hutan di kawasan tadahan perlu dikawal agar krisis air tidak terus mengancam kehidupan masyarakat.
iv. Jadi, penggantian saluran paip yang lama perlu disegerakan agar krisis air yang berlaku sekarang tidak berterusan.

Menulis perenggan isi

Setelah mengenal pasti perkara-perkara tersebut, maka pelajar boleh menulis perenggan mengikut kaedah yang dicadangkan iaitu kaedah T, F1, F2, dan P. Dalam setiap perenggan, keempat-empat perkara tersebut perlu dititikberatkan supaya perenggan yang ditulis itu lengkap dan menarik. Selain itu calon dapat menulis dalam jumlah perkataan yang lebih banyak.
Ayat (i) dapat dihuraikan dengan mudah apabila pelajar menghuraikannya mengikut frasa yang telah ditetapkan. Frasa 1 boleh dihuraikan seperti yang berikut:

Huraian F1 (melaksanakan kempen)

Kempen merupakan cara yang paling mudah untuk menyampaikan maklumat kepada masyarakat. Pelbagai media boleh digunakan oleh menyalurkan maklumat tentang kepentingan amalan penjimatan air. Contohnya, surat khabar, radio, dan televisyen ialah media yang sentiasa dekat dengan masyarakat. Selain itu kempen secara langsung dari rumah ke rumah juga wajar dilaksanakan.

Huraian F2 (yang lebih berkesan)

Selama ini kempen yang dilaksanakan kurang berkesan kerana tidak dilakukan dengan bersungguh-sungguh. Pihak yang berkenaan melaksanakannya tidak ubah seperti melepaskan batuk di tangga. Kini tibalah masanya pihak-pihak nyang terbabit bertindak dengan lebih agresif agar kempen penjimatan air mencapai matlamat yang diharapkan.

Kedua-dua huraian ini dicantumkan dalam satu perenggan bersama-sama ayat isi dan juga rumusan perenggan. Maka perenggan tersebut akan menjadi sebuah perenggan yang lengkap seperti yang berikut.

Satu langkah untuk menjimatkan air adalah dengan melaksanakan kempen yang lebih berkesan. Kempen merupakan cara yang paling mudah untuk menyampaikan maklumat kepada masyarakat. Pelbagai media boleh digunakan untuk menyalurkan maklumat tentang kepentingan amalan penjimatan air. Contohnya, surat khabar, radio, dan televisyen ialah media yang sentiasa dekat dengan masyarakat. Selain itu kempen secara langsung dari rumah ke rumah juga wajar dilaksanakan. Selama ini kempen yang dilaksanakan kurang berkesan kerana tidak dilakukan dengan bersungguh-sungguh. Pihak yang berkenaan melaksanakannya tidak ubah seperti melepaskan batuk di tangga. Kini, tibalah masanya pihak-pihak yang terbabit bertindak dengan lebih agresif agar kempen penjimatan air mencapai matlamat yang diharapkan. Jadi, dengan kempen yang lebih berkesan, krisis air yang berlaku sekarang dapat diatasi dengan lebih cepat. (110 perkataan)

Dengan berdasarkan penjelasan yang diberi, pelajar-pelajar boleh mencuba untuk membahagikan ayat-ayat topik yang berikut kepada F1 dan F2. Selepas itu cuba huraikan setiap frasa itu dengan jelas dan cantumkan huraian-huraian itu supaya menjadi perenggan isi yang lengkap.

a. Antara punca pencemaran sungai ialah pembuangan sisa toksik oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.
b. Aktiviti kokurikulum mendidik pelajar supaya menjadi lebih berdisiplin.
c. Salah satu cara untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya adalah dengan menguatkuasakan undang-undang yang tegas terhadap pengguna jalan raya yang ingkar.

Perenggan contoh

Ayat topik : Punca gejala cetak rompak terus berleluasa adalah disebabkan tidak ada tindakan yang tegas dilaksanakan terhadap pembeli, penjual, dan pengilang yang terlibat.

F1 : tidak ada tindakan yang tegas
F2 : terhadap pembeli, penjual, dan pengilang yang terlibat.

Huraian lengkap

Punca gejala cetak rompak terus berleluasa adalah disebabkan tidak ada tindakan yang tegas dilaksanakan terhadap pembeli, penjual, dan pengilang yang terlibat. Selama ini tindakan yang dilaksanakan bersifat mengikut musim. Pegawai yang diamanahkan untuk bertindak memiliki sikap tidak ubah seperti pahat dengan pemukul. Tindakan hanya dilakukan dalam tempoh yang terhad. Selain itu tindakan yang dijalankan juga tidak begitu tegas dan hanya untuk memenuhi rutin kerja pegawai-pegawai yang terbabit. Ada juga unsur-unsur penyelewengan yang berlaku sehingga menyebabkan gejala ini tidak dapat diatasi. Satu bentuk tindakan yang menyeluruh patut dikuatkuasakan terhadap semua pihak yang menyebabkan gejala ini berlaku. Tindakan patut dikenakan terhadap pembeli, penjual, dan pengilang bahan-bahan cetak rompak. Ketiga-tiga golongan ini merupakan penyebab utama berlaku gejala tersebut. Tindakan terhadap satu pihak sahaja tidak akan meninggalkan kesan yang diharapkan. Oleh yang demikian satu bentuk tindakan yang lebih tegas patut dilaksanakan meliputi semua pihak yang terbabit dalam gejala ini. (140 perkataan)

Rasionalnya, jika satu perenggan isi mengandungi lebih daripada 100 perkataan, karangan calon sudah pasti dapat memenuhi kehendak jumlah perkataan seperti dalam soalan. Oleh itu calon layak mendapat markah yang tinggi dengan syarat isi-isi tersebut adalah mantap, bahasa baik dan bervariasi, menepati tajuk, dan dipersembahkan dengan baik. Selain itu contoh-contoh dapat diberi dengan lebih banyak iaitu semasa menghuraikan kedua-dua frasa dalam ayat topik secara berasingan. Maka cara ini dapat membantu calon mengatasi beberapa kelemahan dalam menulis karangan, terutama dari aspek jumlah perkataan.

Monday, January 12, 2009

Tips untuk rumusan STPM

Baca petikan dengan teliti. Pastikan idea utama digarap dengan jelas berdasarkan tema petikan. Idea-idea sampingan biasanya tercetus apabila timbulnya 'isi lain'. Misalnya, ketika membaca petikan, tiba-tiba hal lain pula yang dibangkitkan dalam ayat. Jadi, hal lain itu akan menjadi isi sampingan yang baharu. Jadi setiap kali perkara ini berlaku, isi sampingan baharu dalam dicetuskan.
Walau bagaimanapun, ada antara huraian isi sampingan yang berfungsi seperti isi dan boleh dijadikan isi sampingan yang tersendiri. Hal ini wajar diambil kira untuk memastikan syarat jumlah perkataan yang ditetapkan dapat dipenuhi. Jika tidak rumusan akan menjadi pendek dan tidak mencapai jumlah perkataan yang dihasratkan.

Latihan Rumusan 3 STPM (Latihan daripada blog Cikgu Khir Kassim, GC Bahasa Melayu)

Fahami petikan di bawah ini, dan kemudian rumuskan petikan ini dengan padat dan ringkas tanpa menjejaskan isi kandungannnya. Rumusan hendaklah dibuat tidak lebih daripada tiga perenggan dan panjangnya antara 170 - 180 patah perkataan. Jumlah perkataan dalam jawapan hendaklah ditulis pada akhir jawapan. [ 20 markah ]
Jenayah yang melibatkan kes ragut kini dikategorikan sebagai jenayah rompak dan mereka yang didapati bersalah boleh dikenakan hukuman penjara 14 tahun dan sebatan. Polis juga sudah mengambil beberapa langkah dengan memudahkan mangsa ragut membuat laporan di semua balai polis, pondok polis dan polis peronda dengan tujuan untuk mengatasi masalah kesukaran membuat aduan mengenai kejadian berkenaan. Namun, yang membimbangkan kita ialah peragut kini sanggup melakukan kekerasan sehingga menyebabkan kecederaan dan kehilangan nyawa. Contoh yang terbaru, kes yang membabitkan pelajar di Wangsa Maju baru-baru ini bukan lagi dianggap kes ragut tetapi kes bunuh. Kejadian yang bermula dengan rompakan harta benda sudah bertukar menjadi kes jenayah kekerasan hingga menyebabkan kecederaan dan kematian. Apakah dalam kemelut sebegini, kita selaku anggota masyarakat hanya mampu melihat perkara ini berlaku tanpa mengambil sebarang tindakan? Walaupun kita tidak boleh bertindak bersendirian, kita masih boleh menjadi mata dan telinga pihak berkuasa bagi membantu pihak berkuasa untuk menangani kes yang semakin menjadi-jadi ini. Masyarakat boleh membuat aduan di balai polis yang terdekat atau menghubungi polis dengan segera jika mereka melihat ada kelakuan orang tertentu yang boleh menimbulkan syak. Kebanyakan kes ragut ini berlaku di kawasan bandar-bandar besar dan juga di kawasan yang lengang. Peragut juga biasanya melakukan aktiviti mereka itu apabila menyedari bahawa mangsa mereka bersendirian. Sebenarnya kes ragut berpunca daripada sikap individu yang ingin mendapat wang dengan jalan yang mudah. Selain itu juga mereka hendak mendapatkan wang dalam jangka masa yang singkat. Oleh itu mereka terpaksa meragut beg tangan atau barang-barang kemas yang dipakai oleh kaum wanita.
Kebiasaannya juga peragut tidak mempunyai pekerjaan yang tetap. Hal ini menyebabkan mereka tidak mempunyai pendapatan yang tetap untuk menyara hidup mereka. Selain itu mereka juga malas untuk melakukan kerja yang halal kerana pendapatannya tidak lumayan. Perkara ini menyebabkan mereka akan meragut beg tangan mangsa yang lemah.
Antara cara untuk menangani kes ini daripada menjadi lebih serius adalah dengan mengadakan kawalan dan rondaan yang lebih ketat. Kawalan tersebut patut dilakukan oleh anggota polis dalam usaha untuk mencekup peragut yang bermaharajalela. Selain itu anggota polis yang berpakaian biasa perlu ditempatkan di tempat awam agar mudah bagi mereka untuk menangkap peragut yang tidak bertanggungjawab itu.
Bagi kita, adalah lebih baik menghalang sesuatu perbuatan jenayah itu sebelum jenayah itu berlaku. Kita bersetuju dengan pendapat yang mengatakan bahawa tanggungjawab untuk membanteras jenayah termasuk curi dan ragut tidak seharusnya diserahkan kepada polis semata-mata. Polis tidak mungkin dapat mengatasi masalah jenayah ini sepenuhnya memandangkan wujudnya jurang atau nisbah yang begitu besar antara jumlah anggota polis dengan bilangan penduduk. Justeru, semua pihak perlulah memainkan peranan untuk mencegah kejadian jenayah seperti kes ragut, rompakan, pecah rumah, dan pecah kereta dengan memberi maklumat kepada pihak berkuasa. Tanpa kerjasama daripada semua pihak dalam masyarakat sudah tentu usaha untuk menangani kes ragut menjadi semakin sukar. Oleh hal yang demikian, marilah kita menjadikan angka kes ragut yang begitu tinggi itu sebagai satu kejutan untuk kita memerangi jenayah ini bersama-sama. Semoga masalah ini akan dapat ditangani dengan berkesan dalam usaha menjamin keselamatan dan kesejahteraan masyarakat negara ini.
(Dipetik dan diubahsuaikan daripada‘Rakyat Kena Bantu Polis Perangi Kes Jenayah Ragut’,Berita Harian, 7 Ogos 2006)

Sunday, January 11, 2009

BM STPM 2009

Untuk latihan pelajar-pelajar STPM 2009 (6A1 dan 6A3)
1. Isu keracunan makanan dalam kalangan murid sekolah. Punca-punca dan langkah-langkahmengatasi.
2. Isu kenaikan harga barang keperluan di pasaran. Punca dan kesan terhadap masyarakat.
3. Isu peningkatan kadar jenayah berat di negara ini. Punca dan langkah mengatasinya.
4. Konsep agropelancongan dan 'homestay'. Kepentingan dan langkah galakan untukmenyemarakkan industri pelancongan negara.
5. Penyalahgunaan teknologi maklumat dan komunikasi. Kesan dan langkah mengatasinya.
6. Isu penggunaan kad kredit, kebaikan dan keburukannya.
7. Kekurangan penyertaan bukan bumiputera dalam pasukan keselamatan. Punca dan langkahmengatasinya.
8. Isu Program Latihan Khidmat Negara: Kebaikan dan langkah untuk meningkatkankeberkesanan.
9. Jenayah ragut. Kesan dan langkah mengatasi.
10. Perumahan di tanah tinggi. Risiko dan langkah keselamatan.