Tuesday, October 25, 2011

Karangan Isu Pelancongan


Sektor pelancongan merupakan sumber pendapatan yang kedua pentingnya di negara kita.  Bincangkan langkah-langkah yang wajar diambil untuk mempromosikan sektor pelancongan negara ini.  Panjang karangan anda hendaklah lebih daripada 350 patah perkataan.

Cadangan jawaban
Sektor pelancongan di negara kita berkembang maju dan menjadi sumber pendapatan negara yang penting.  Hal ini menyebabkan tempat pelancongan di negara ini dibuka dengan banyak seperti cendawan selepas hujan.  Kerajaan telah menggerakkan semua agensinya untuk memastikan sektor pelancongan berkembang pesat sejajar dengan pembanguna negara yang pantas.  Namun, masih ada ruang dan luang yang wajar dimanfaatkan oleh semua pihak untuk memastikan semua pihak mendapat faedah daripada perkembangan sektor ini.  Jika ditinjau dengan mendalam terdapat beberapa langkah yang pragmatik untuk memajukan sektor pelancongan di negara kita.

            Antara langkah yang dapat diambil ialah pihak  kerajaan memperkenalkan produk pelancongan baharu yang dapat menarik minat pengunjung mancanegara.  Banyak produk pelancongan yanng wajar diterokai oleh pihak-pihak yang terbabit.  Misalnya, kerajaan menggalakkan masyarakat melibatkan diri dalam program inap desa dengan lebih banyak. Selain itu konsep pelancongan kesihatan, agropelancongan, ekopelancongan, dan seumpamanya hendaklah dikembangkan.  Kita juga wajar memperkenalkan pelancongan musim buah-buahan seperti musim durian, manggis, langsat, dan sebagainya.  Produk pelancongan yanng diperkenalkan mestilah dapat menarik hati pelancong-pelancong mancanegara.  Biasanya pelancongan luar mahu melihat sesuatu yang tidak ada di negara mereka.  Oleh itu, kita harus mengambil peluang untuk memperkenalkan keunikan negara ini dengan mengetengahkan budaya hidup dan kesenian masyarakat tempat. Sebagai contoh, pelancong wajar dibawa  untuk tinggal bersama-sama masyarakat luar bandar dan mendalami cara hidup mereka. Jadi, usaha kerajaan memperkenalkan produk pelancongan baharu dapat meningkatkan sektor berkenaan.

              Selain itu pihak kerajaan wajar menganjurkan karnival pelancongan di seluruh pelosok dunia Karnival pelancongan ialah kaedah yang berkesan untuk memperkenalkan negara kita sebagai destinasi pelancongan.  Dalam karnival ini, banyak perkara yang dapat diketengahkan.  Antaranya ialah tempat-tempat menarik di negara ini, makanan yang pelbagai, dan juga kebudayaan masyarakat pelbagai kaum. Selain itu karnival ini juga wajar menyediakan pakej-pakej pelancongan yang kompetetif kepada masyarakat antarabangsa.  Karnival seperti ini hendaklah diadakan di seluruh dunia.   Tumpuan hendaklah diberikan pada rantau yang jauh seperti di Amerika Selatan dan juga Afrika.  Sebagai contoh karnival wajar diadakan di Brazil untuk menarik minat pengunjung di sana datang ke Malaysia dan menghebahkan kehebatan negara kita, bak kata pepatah tak kenal maka tak cinta. Oleh yang demikian, penganjuran karnival pelancongan di luar negara merupakan langkah yang berkesan untuk mempromosikan negara kita sebagai destinasi pelancongan yang menarik.

Seterusnya, kerajaan Malaysia juga wajar menganjurkan pelbagai acara antarabangsa dengan lebih kerap.   Pelbagai acara antarabangsa wajar dilobi agar diadakan di negara ini.  Sebagai contoh, penganjuran acara sukan antarabangsa seperti Monsoon Cup, perlumbaan Formula 1, kejohanan badminton, dan seumpamanya merupakan acara yang sangat mendapat perhatian peminat antarabangsa.Dalam bidang seni pula, negara kita menjadi tuan rumah kepada beberapa acara antarabangsa, contohnya Festival Muzik  Dunia yang diadakan di Sarawak setiap tahun. Kemampuan negara untuk menganjurkan antarabangsa memang terbukti kejayaannya, bak kata pepatah duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara-negara lain di dunia. Acara antarabangsa ini hendaklah diadakan dengan lebih kerap dan dijadikan acara tahunan.  Dengan cara ini, lebih ramai pelancong akan mengunjung negara ini bukan sahaja untuk melibatkan diri dalam acara-acara yang dianjurkan, malahan untuk melawat tempat-tempat menarik di negara kita, bak kata pepatah sambil menyelam minum air.  Jadi, jelaslah penganjuran acara antarabangsa dapat meningkatkan promosi pelancongan di negara kita.


             Selain itu, satu daripada langkah-langkah untuk mempromosikan sektor pelancongan negara ini adalah dengan mengadakan kempen Tahun Malaysia Malaysia dengan lebih berkesan dan melibatkan lebih banyak penyertaan.  Tahun Melawat Malaysia ialah kempen untuk menggalakkan pelancong datang ke negara kita dengan lebih besar bilangannya.  Kempen yang diadakan sepanjang tahun ini mennyediakan pelbagai acara untuk menarik minat pelancong datang ke negara ini. Misalnya, pelbagai acara kebudayaan pelbagai kaum dipersembahkan untuk para pelancong.  Penyertaan pelbagai pihak digalakkan untuk memeriahkan lagi sambutan Tahun Melawat Malaysia ini. Selain badan-badan kerajaan, pihak swasta juga memikul tanggungjawab untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang kompetetif, bak kata pepatah berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.  Hotel-hotel, syarikat penerbangan, dan syarikat pengangkutan awam mestilah melibatkan diri untuk menjayakan kempen ini.  Jelaslah, kempen Tahun Melawat Malaysia dapat meningkatkan sektor pelancongan di negara kita.
 
              Kesimpulannya,  terdapat pelbagai langkah yang dapat dirancang dan dilaksanakan untuk meningkatkan sektor pelancongan di negara kita.  Semua pihak hendaklah tampil dan menunjukkan iltizam yang tinggi untuk membantu kerajaan mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang hebat, bak kata pepatah kalau tidak dipecahkan ruyung, di mana akan mendapat sagunya.  Jika tidak, segala keunikan dan kehebatan budaya pelbagai kaum di negara ini akan sia-sia dan tidak dapat diketengahkan untuk dinikmati oleh pelancongan tempatan dan mancanegara.  Kerjasama dan kesungguhan semua pihak yang terbabit akan menonjolkan Malaysia sebagai sebuah destinasi pelancongan yang terkenal di dunia.

               

Thursday, October 20, 2011

Latar Masyarakat dan Pengajaran dalam Interlok

(a) Huraikan dua latar masyarakat yang terdapat dalam salah satu novel yang anda kaji. [7 markah]

(b) Huraikan pengajaran-pengajaran yang terdapat dalam sebuah novel yang anda kaji.
[8 markah]

(a) Novel yang saya kaji ialah novel Interlok karangan Sasterawan Negara Abdullah Hussain. Novel ini mengetengahkan pelbagai latar masyarakat yang utama. Antaranya ialah masyarakat Melayu yang tidak berpendidikan dan sering ditipu oleh pihak yang suka mengambil kesempatan. Seman yang tidak bersekolah tidak tahu membaca perjanjian antara bapanya dengan Cina Panjang. Akibatnya kehidupan Seman terumbang-ambing setelah bapanya meninggal dunia.  Selain itu latar masyarakat yang diketengahkan ialah masyarakat yang nekad berhijrah untuk mengubah nasib. Lee Kim Lock dan anaknya Cing Huat telah berhijrah dari negara kelahirannya China untuk membina kehidupan di Malaya. Akhirnya golongan ini berjaya menguasai bidang ekonomi di Malaya. Maniam juga merupakan seorang yang berhijrah untuk memperbaiki kehidupan di Tanah Melayu. Hasil kesungguhannya Maniam akhirnya berjaya bekerja sebagai mandur estet.  Kesimpulannya, novel Interlok mengetengahkan latar masyarakat yang menarik kerana terdiri daripada pelbagai bangsa dan keturunan.




(b) Novel yang saya kaji ialah Interlok karya Sasterawan Negara Abdullah Hussain. Terdapat banyak pengajaran yang termuat dalam novel ini. Antaranya ialah manusia perlulah berani membuat keputusan untuk kebaikan diri. Lee Kim Lock berani membuat keputusan untuk berpindah ke Tanah Melayu untuk mengubah kehidupan yang sukar di tanah air sendiri. Selain itu kita hendaklah membantu orang yang berada alam kesusahan. Lebai Man mahu Seman dan ibunya tinggal di rumahnya terlebih dahulu setelah keluar dari rumah. Lazim pula sanggup bersama-sama penduduk kampung mendirikan rumah untuk didiami Seman. Seterusnya kita hendaklah mengelakkan diri daripada menyembunyikan status diri. Maniam tidak menceritakan bahawa dia sudah berkahwin ketika di India. Namun statusnya akhirnya terbongkar dengan kedatangan Suppiah. Dia dihalau oleh bapa mentuanya keluar dari rumah kerana terlalu marah. Akhirnya kita hendaklah bersikap jujur terhadap orang lain. Cina Panjang mendapat harta dengan cara menipu Musa yang tidak berpelajaran dan miskin dengan meletakkan nama Musa pada tanah yang dibeli. Akan tetapi apabila Musa meninggal dunia, Cina Panjang menghalau anaknya Seman dan Mak Limah.   Kesimpulannya, novel Interlok memaparkan banyak pengajaran yang wajar diteladani oleh pembaca.

Esensi Bahasa Malaysia SPM untuk 2012

Buku rujukan Bahasa Malaysia terbaru terbitan Pearson Longman Malaysia akan berada di pasaran tidak lama lagi.  Sesiapa yang berminat jangan lupa untuk mendapatkan buku rujukan ini di mana-mana kedai buku seluruh negara.

Sunday, October 16, 2011

Langkah-langkah untuk Mengatasi Jenayah Ragut.

Pendahuluan
Jenayah ragut semakin berleluasa dan sering dilaporkan media.
Mencetuskan kebimbangan masyarakat.
Kerajaan melakukan pelbagai langkah pencegahan, namun masalah ini masih wujud.
Terdapat pelbagai langkah untuk menangani gejala ini.
Peribahasa :  api dalam sekam. duri dalam daging.

Isi 1
Tingkatkan pengawasan polis di kawasan panas.Contoh, tempat tumpuan umum, stesen bas,LRT, pusat beli-belah dll.
Rondaan yang lebih kerap. dan berterusan.
Tempatkan polis berpakaian awam.
Menambah bilangan polis bantuan.
Peribahasa : mencegah lebih baik daripada mengubati.

Isi 2
Memasang kameralitar tertutup di tempat awam. Disambungkan dengan balai polis berhampiran.
Tujuannya untuk mengesan pergerakan peragut.
Dapat menghalang peragut kerana bimbang aktiviti mereka dikesan.
Peribahasa :  sediakan payung sebelum hujan.

Isi 3
Kesedaran masyarakat tentang jenayah dipertingkatkan.
Mengelakkan pemakaian barangan kemas yang berlebihan.
Tidak membawa wang tunai dalam jumlah yang banyak.
Menggunakan kad kredit untuk transaksi.
Peribahasa :  hendak seribu daya tak hendak seribu dalih.

Isi 4

Merancang waktu dan tempat tujuan.
Bergerak dalam kumpulan agar tidak terdedah pada gejala  ragut.
Tidak melalui kawasan sunyi.
Mengelakkan waktu puncak dan masa-masa sesak.
Peribahasa :  air tenang jangan disangka tiada buaya.


Isi 5

Sentiasa peka dengan persekitaran.
Kaum wanita tidak membawa beg tangan secara sambalewa.
Memastikan barang berharga disimpan di tempat yang selamat,contohnya poket  rahsia.
Hindarkan diri daripada orang-orang yang mencurigakan.
Belajar seni pertahanan diri.
Membawa bahan-bahan pertahanan diri seperti serbu cili, semburan pemedih mata,dsb.
Peribahasa :  sesal dahulu pendapatan,sesal kemudian tiada berguna.

Isi 6

Badan sukarela turut berperanan menjaga ketenteraman awam,contohnya Jabatan Pertahanan Awam, RELA,dsb.
Menempatkan anggota di tempat-tempat strategik untuk memantau keadaan.
Menganjurkan ceramah dan kempen antiragut secara lebih kerap.
Peribahasa :  beringat sebelum kena, berjimat sebelum habis.

Kesimpulan.
Jenayah ragut perlu dibendung. Pelbagai langkah dapat diaplikasikan.
Semua pihak perlu memberikan kerjasama untuk mengatasinya.
Jika tidak imej negara akan terjejas dengan teruk.
Keselamatan rakyat perlu diutamakan sejajar dengan semangat 1 Malaysia.
Peribahasa :  ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni.

Friday, October 14, 2011

Sumbangan kepada Negara yang Mengalami Bencana Alam

Soalan :  Bencana alam seperti tsunami, gempa bumi, banjir, dan sebagainya sering berlaku di serata dunia.  Sebagai sebuah negara yang prihatin, negara kita sering menghulurkan sumbangan untuk membantu negara-negara berkenaan.  Jelaskan bentuk-bentuk sumbangan yang dapat diberikan kepada negara-negara yang mengalami bencana alam.

Rangka karangan

Pendahuluan
Terangkan maksud (definisi) bencana alam.  Berikan beberapa contoh bencana alam yang besar.  Nyatakan negeri-negeri yang pernah dilanda bencana alam.  Kaitkan dengan kata kunci soalan.

Isi 1
Bantuan kepakaran mencari dan menyelamat.
-   Hantar pasukan SMART iaitu pasukan mencari dan menyelamat ke negara berkenaan.
-   Dilengkapi dengan pelbagai peralatan dan anjing pengesan.
-   Dapat membantu mencari mangsa yang mungkin terselamat.
-  Memberikan bantuan kecemasan kepada mangsa yang memerlukan.
- Peribahasa :  ke bukit sama didakim ke lurah sama dituruni.

Isi 2
Masyarakat Malaysia menganjurkan kutipan derma.
-  Dimulakan dengan kempen oleh pihak kerajaan.
-  Pejabat-pejabat kerajaan turut membuat kutipan.
-  Murid-murid sekolah dapat memberikan derma melalui sekolah.
-  Masyarakat awam boleh mengutip derma melalui institusi agama seperti masjid, kuil, persatuan, dan lain.
Peribahasa :  hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah.

Isi 3
Bantuan keperluan asas.
-  Barang-barang keperluan harian seperti pakaian, selimut, khemah, air bersih, dan makanan.
-  Berikan juga ubat-ubatan kerana kawasan bencana sering dilanda penyakit.
-  Peralatan dapur seperti peralatan memasak, pisau, dan sebagainya.
Peribahasa :  mencegah lebih baik daripada mengubati.

Isi 4
Bantuan dalam bentuk motivasi dan sokongan moral.
-  Membuat sesi kaunseling untuk mangsa bencana.
-  Mencipta puisi dan lagu untuk menaikkan semangat dan keyakinan mangsa.
-  Mendengar rintihan dan luahan perasaan mangsa.
Peribahasa :  berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.

Isi 5
Bantuan dalam bentuk pendidikan.
-  Menghantarkan tenaga pengajar sementara.
-  Mendirikan bangunan sekolah sementara untuk anak-anak mangsa.
-  Membekalkan alat tulis, buku, dan beg sekolah untuk anak-anak mangsa.
Peribahasa :  hidup ibarat roda, sekali ke atas sekali ke bawah.

Kesimpulan
Pelbagai bentuk bantuan dapat diberikan kepada mangsa bencana alam.
Semua pihak mesti bekerjasama untuk membantu pihak yang malang.
Jika tidak keadaan mangsa tidak terbela dan memudaratkan.
Bantuan yang diberikan dapat mengurangkan beban mangsa.
Peribahasa :  cubit paha kanan, paha kiri terasa juga.

Wednesday, October 5, 2011

Tokoh Pendidik Bahasa dan Sastera Kuala Langat 2011

Penulis menerima anugerah Tokoh Pendidik Bahasa dan Sastera Kuala Langat daripada Tuan Pegawai Pelajaran Kuala Langat sempena pelancaran Bulan Bahasa dan Sastera Kebangsaan pada 3 Oktober 2011.  Terima kasih diucapkan walaupun penulis tidak pernah terfikir untuk mendapat pengiktirafan kerana penglibatan penulis dalam bidang bahasa dan sastera hanya pada peringkat minimal.

Sunday, October 2, 2011

Persoalan-persoalan dalam novel Kabus di Perbukitan

1. Persoalan tentang hubungan istimewa antara saudara kembar. Faridah dan Rahayu mempunyai hubungan yang istimewa walaupun mereka terpisah akibat perpecahan keluarga.


2. Persoalan tentang identiti bangsa tidak akan hilang walaupun telah lama meninggalkan tanah air. Faridah tetap menjaga jati dirinya sebagai seorang Melayu walaupun tidak kembali ke tanah air selama 25 tahun.

3. Persoalan tentang takdir Tuhan mengatasi segala-galanya. Azrul merancang untuk mendirikan rumah tangga dengan Rahayu tetapi tidak kesampaian apabila Rahayu meninggal dunia akibat penyakit lukemia.

4. Persoalan tentang kegiatan ekstremis yang mendatangkan masalah kepada masyarakat. Mohamed Attar merupakan seorang ekstremis yang cuba mempengaruhi Benny agar ikut serta dalam perjuangan jihadnya.

5. Persoalan tentang kesederhaan orang Melayu dalam apa-apa sahaja tindakan dan perlakuan. Haji Awang dan Ustaz Hassan Syukri sentiasa bersikap sederhana dalam menyemarakkan syiar Islam.

6. Persoalan tentang bidang pertanian yang sangat penting dalam ekonomi sesebuah negara. Datuk Azrul berjaya dalam hidupnya walaupun menceburkan diri dalam bidang pertanian selepas menamatkan pengajian di UPM.

7. Persoalan tentang kewujudan aspek bawah sedar dalam kehidupan manusia. Faridah mengalami peristiwa yang aneh sepanjang koma akibat kemalangan jalan raya. Dia seolah-olah kembali ke zaman penjajahan di sebuah lokasi yang misteri.