Friday, November 7, 2008

Pemahaman Cerpen Virus Zel Untuk Abah

Virus Zel Untuk Abah

“Setiap manusia ada menyimpan ego. Tak ada kekecualian antara lelaki dan wanita.” Kata-kata Win kembali menyelit. Ma ada ego? Ma hendak tunjuk egonya? Yang akhirnya membuatkan mereka terpisah? Kami terpisah?
Oh, tidak! Mama Zel tidak begitu. Setinggi-tinggi ma terbang, asas kehidupan – ketauhidan, ibadah, nilai hidup islamik tidak pernah kering daripada membasahi kulit harian ma. Malah bagiku ma yang masih setia dengan tudung litupnya walau ke mana sekalipun, merupakan model muslimah alias srikandi masa ini. Tidak keterlaluan kukira.
Pantas aku nyahkan jauh-jauh andaian buruk tentang mama. Kupejamkan mata rapat-rapat sambil menyimpul keyakinan bahawa mama merupakan insan terbaik dan insan yang paling kucintai. Hanya mama. Keyakinan itu kusimpul menjadi kesatuan yang utuh. Malah pernah aku simpan keyakinan itu untuk semua wanita, semua ibu di dunia ini. Di setiap pelosok jagat raya.
Semua ibu?
Mungkin tidak. Mungkin ada pengecualian. Mungkin Aunt Syarifah tidak. Aunt Syarifah?

(i) Bagaimanakah keperibadian mama seperti yang digambarkan dalam cerpen? [3 markah]
Keperibadian mama berdasarkan petikan tersebut ialah ma seorang wanita yang patuh akan ajaran agama. Beliau sentiasa bertudung dan mengamalkan cara hidup Islam. Beliau juga memiliki sifat srikandi itu wanita yang berhati waja.


(ii) Pada pandangan anda, mengapakah Aunt Syarifah dikecualikan oleh Zel daripada golongan wanita atau ibu yang baik?
[3 markah]

Aunt Syarifah dikecaulikan daripada sifat-sifat wanita yang baik kerana Zel berasa cemburu dengan wanita itu. Hal ini demikian Aunt Syarifah merupakan isteri baru kepada bapanya. Aunt Syarifah dianggap sebagai perampas kebahagiaan keluarga Zel.

(iii) Huraikan satu nilai dalam petikan dan dua nilai dalam cerpen.
[3 markah]
Nilai yang terdapat petikan ialah nilai kasih sayang. Zel sangat sayang akan ibunya. Sementara itu, nilai-nilai dalam cerpen tersebut ialah nilai ketabahan ialah ketabahan ibu Zel meningkatkan kerjayanya sebagai wanita korporat, serta nilai kebijaksanaan yang menampilkan kebijaksanaan Zel mencipta virus komputer untuk memusnahkan program komputer bapanya.

Thursday, November 6, 2008

Pemahaman Sajak


Baca puisi di bawah dengan teliti kemudian jawab soalan berikutnya dengan menggunakan perkataan sendiri.


Keindahan Yang Hilang
I
Sayup-sayup undan tua berlagu hiba
terbang beriring di rembang petang
renik-renik mengirai bulu carik
melayang satu-satu berbaur debu
lesu berapungan di air lalu.

Daun-daun menghijau alangkah segar
kemilau danau disinar mentari
kali tenang betapa lembut mengalir ke muara
kedamaian melingkar rimba
lalu tumpah kasih nan jernih
erat bertaut cinta kasih.

Malam hiba dadanya ungu luka
pungguk tersedu pilu di atas batu
bulan tiada lagi mendandan wajah
bintang malam pudar sinarnya.

II
Orang bicara bulan bintang di makmal
pada buku, data dan komputer
lalu bulan dan cakerawala bisa diteroka
bisa kembara di planet dan angkasa.

Undan patah sayap gugur bulunya bertaburan
Suara siapa parau mendera di malam lara
Kali tenang tiba-tiba airnya bengis melanda
Kepada siapa anak-anak kota desa berhutang nyawa?

III
Bulan kini bukan menara kasih jernih
bintang-bintang bukan lagi saksi sumpah kekasih.


(i) Apakah yang menjadi agenda manusia selaras dengan kemajuan sains dan teknologi seperti yang tergambar dalam puisi di atas? [3 markah]

Perkara yang menjadi agenda manusia selaras dengan kemajuan sains dan teknologi ialah manusia menjalankan kajian-kajian sains, mengkaji ilmu dengan menggunakan komputer bagi membolehkan manusia meneroka ke angkasa lepas termasuk planet-planet yang lain.


(ii) Pada pendapat anda, apakah kesan-kesan negatif yang terjadi akibat alam sekitar tidak dipelihara dengan baik. [3 markah]


Pada pendapat saya, kesan-kesan negatif akibat alam sekitar yang tidak dipelihara ialah kepupusan flora dan fauna, menjejaskan kesihatan manusia, dan pencemaran alam berleluasa.

(iii) Huraikan dua pengajaran yang terdapat dalam puisi di atas. [3 markah]


Dua pengajaran yang terdapat dalam puisi tersebut ialah manusia hendaklah memelihara alam sekitar dengan baik. Hal ini demikian alam sekitar yang tidak dijaga menyebabkan pencemaran. Selain itu manusia janganlah terlalu ghairah dengan kemajuan sains sehingga mengabaikan alam sekitar. Hal ini demikian kerana kemajuan sains yang tidak dikawal menyebabkan manusia lupa akan tanggungjawabnya terhadap alam.




Wednesday, November 5, 2008

Pelbagai Pandangan tentang Klimaks Novel

Dalam kajian novel Komponen Sastera dalam BM, terdapat pelbagai pandangan tentang klimaks novel kajian. Misalnya novel Meniti Kaca telah mencetuskan pelbagai pandangan tentang peristiwa yang diangkat sebagai klimaks. Mengikut pandangan awal saya, peristiwa watak utama iaitu Nazar berjaya memasuki sekolah berasrama penuh sebagai klimaknya. Pandangan ini berdasarkan tema novel iaitu kegigihan remaja berhadapan dengan pelbagai cabaran.
Namun demikian, setelah diteliti kembali, tema novel ini lebih tepat jika dikatakan sebagai cabaran-cabaran yang dihadapi oleh remaja dalam menempuh kehidupan. Oleh yang demikian, jika tema ini diambil kira, peristiwa yang paling tepat dianggap klimaks ialah peristiwa kematian ibu Nazar iaitu Mahyun. Pemergian ibu Nazar merupakan puncak cabaran yang dihadapi oleh remaja tersebut. Hal ini jelas jika dikaitkan dengan judul novel berkenaan iaitu Meniti Kaca yang melambangkan cabaran yang menyakitkan.
Jadi, dalam menentukan klimaks dalam novel aspek tema hendaklah dipastikan bertepatan dengan kandungan novel berkenaan. Kesilapan penentuan tema akan menjejaskan kajian aspek lain novel tersebut.

Monday, October 27, 2008

Selamat Datang

Laman ini ialah laman sampingan dari blog asal saya di glateh@blogspot.com. Melalui laman ini saya akan masukkan bahan-bahan yang berkaitan akademik, termasuk bahan-bahan daripada buku-buku tulisan saya, bahan-bahan seminar, kertas kerja, dan tips-tips peperiksaan untuk dimanfaatkan oleh guru-guru dan murid-murid seluruh negara. Bahan-bahan yang termuat dalam laman saya ialah tulisan saya sendiri melainkan bahan-bahan yang saya muat turun daripada laman-laman lain yang saya nyatakan sumbernya. Bahan-bahan dalam laman ini tertakluk pada hak cipta. Oleh yang demikian, pengunjung dilarang mengambil mana-mana bahagian daripada bahan-bahan tersebut tanpa kebenaran saya.