Thursday, February 12, 2009

Biodata Pengarang

Terminal Tiga


Novel Terminal Tiga dikarang oleh Othman Puteh. Beliau dilahirkan di Kampung Kuala, Kuala Sungai Baru, Melaka pada 4 Januari 1944.

Beliau meneruskan pelajaran di Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim. Setelah tamat latihan keguruan pada tahun 1964, beliau ditugaskan mengajar di beberapa buah sekolah. Semasa bertugas sebagai guru, beliau telah berusaha untuk belajar sehingga mendapat ijazah Doktor Falsafah dalam bidang kesusasteraan pada tahun 1992. Dengan kelulusan itu, beliau telah memegang jawatan sebagai pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia. <> Dalam bidang penulisan, Othman Puteh memang terkenal sebagai nama yang besar. Beliau menghasilkan karya dalam pelbagai bidang, terutamanya dalam bidang sastera remaja. Novel dan cerpen beliau banyak berkisar tentang kehidupan remaja. Beliau juga banyak memberi bimbingan kepada penulis-penulis baharu yang ingin menceburkan dalam bidang penulisan.
<>
<> Beliau menerima pelbagai hadiah, penghargaan, dan pengiktirafan dalam bidang kesusasteraan. Antaranya ialah Hadiah Karya Sastera 1974, Hadiah Sastera Utusan Melayu-Public Bank, dan sebagainya. Pada tahun 1998, Othman Puteh merupakan penulis Malaysia yang ke-20 menerima anugerah SEA Write Award daripada kerajaan Thai.

SETEGUH KARANG

<>Novel Seteguh Karang ditulis oleh Tuan Faridah Syed Abdullah. Beliau dilahirkan di Dungun Terengganu pada 21 November 1967. Beliau mendapat pendidikan awal di Terengganu dan melanjutkan pelajaran di Institut Teknologi Mara cawangan Perlis. Kemudian meneruskan pengajian di ITM, Shah Alam sehingga mendapat ijazah Sarjana Muda Perakaunan.

Beliau memulakan kerjaya sebagai Eksekutif Akaun dan Pegawai Tadbir di beberapa firma. Beliau kemudian mengikuti kursus Diploma Pendidikan di Maktab Perguruan Batu Pahat, pada tahun 1997. Kini beliau bertugas sebagai seorang pendidik di Kuala Terengganu.

Beliau telah melibatkan diri dalam dunia penulisan sejak di bangku sekolah. Beliau juga pernah mengikuti Bengkel Penulisan Remaja anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka. Antara novel-novel beliau termasuklah Pada Garis Perkenalan (1989), Indarti (1993), dan Harapan Masih Bersemi (1993). Novel Seteguh Karang pernah memenangi tempat kedua dalam Peraduan Menulis Novel Remaja 1990.

PUTERA GUNUNG TAHAN

<>Novel Putera Gunung Tahan dikarang oleh Ishak Haji Muhammad. Beliau lebih dikenali dengan nama samarannya Pak Sako. Beliau dilahirkan pada bulan September 1909 di Kampung Bukit Siguntang, Temerloh, Pahang. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Kampung Tengah, Temerloh. Kemudian beliau melanjutkan pelajaran di Sekolah Inggeris Clifford, Kuala Lipis pada tahun 1924 – 1930.

Beliau melanjutkan pelajaran di Maktab Melayu Kuala Kangsar. Pada 1931 beliau memulakan tugas sebagai pegawai dalam latihan di Pejabat Daerah Temerloh. Beliau juga pernah bertugas sebagai majistret di Kuala Lumpur sehingga tahun 1935. Beliau meletak jawatan majistret dan menjadi guru bahasa kepada pegawai-pegawai Inggeris.

Beliau mula menceburi bidang penulisan semasa mengembara seluruh tanah air. Beliau pernah bertugas dengan Warta Melayu di Singapura, Utusan Melayu dan pernah menjadi Ketua Pengarang akhbar Berita Malai semasa pendudukan Jepun. Beliau juga seorang yang aktif dalam bidang politik.

Antara novel-novel beliau termasuklah Putera Gunung Tahan (1938), Anak Mat Lela Gila (1941), Jalan ke Kota Bharu (1956), Budak Beca (1957), Judi Karan (1958), dan lain-lain. Beliau juga menghasilkan beberapa kumpulan cerpen seperti Segar (1961), Dongeng Merdeka (1985), dan beberapa buah antologi bersama.

Untuk menghargai jasa beliau dalam bidang kesusasteraan, Pak Sako dikurniakan beberapa anugerah. Pada tahun 1976 beliau diberikan anugerah Pejuang Sastera. Beliau juga dianugerahi Ijazah Kehormat Doktor Kesusasteraan pada tahun 1973. Beliau meninggal dunia pada tahun 1991.

PERLUMBAAN KEDUA

<> Novel ini dikarang oleh Marwilis bin Haji Yusof. Beliau dilahirkan di Ulu Bernam, Selangor pada 5 Jun 1944. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Setapak. Kemudian beliau meneruskan pelajaran di Sekolah Rendah Cina Lee Rubber. Seterusnya beliau melanjutkan pelajaran di Sekolah Menengah Chong Hwa, Jalan Gombak sehingga lulus peperiksaan Senior Middle Three. Pendidikan tertinggi beliau ialah Sijil Tinggi Persekolahan.

Dalam bidang kerjaya pula, beliau pernah menjadi guru. Beliau juga pernah menjadi kerani di sebuah institusi kewangan. Beliau kemudian menjadi wartawan di Utusan Melayu. Ketika menjadi wartawan, beliau mula melibatkan diri dalam bidang penulisan.

Marwilis juga pernah menjadi Setiausaha Akhbar kepada Dato’ Harun Idris. Pada tahun 1977, beliau dilantik menjadi Setiausaha Akhbar kepada Timbalan Perdana Menteri ketika itu. Dato’ Musa Hitam. Pada tahun 1982, beliau telah menjadi wakil rakyat setelah memenangi pilihan raya. Beliau dilantik menjadi Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Selangor selama sepenggal hingga tahun 1986. Selepas itu beliau membuka perniagaan sendiri.

Antara karya-karya Marwilis termasuklah novel Izin Dalam Paksa, Jalan Seribu Kirai, Bukan Kail Kita Yang Dinantikan, Terbuang Tapi Terbilang, Buai Diayun Anak Dicubit, Bila Rindu Berputik, Bila Kompang Berbunyi, dan lain-lain. Beliau pernah menerima hadiah penghargaan melalui novel Bila Kompang Berbunyi, iaitu pertandingnan sempena ulang tahun GAPENA 30 tahun.