Sunday, January 30, 2011

Persoalan-persoalan dalam Sutera dalam Lukisan

i. Persoalan tentang sikap prihatin dapat mengubah kelakuan seseorang. Bujei telah berubah setelah diberikan perhatian oleh Adila, seorang gadis yang terpelajar.
ii. Persoalan tentang sikap suka membuli dalam kalangan masyarakat terhadap golongan yang lemah. Alias sering mendera Bujei secara fizikal dan mental sehingga Bujei ketakutan apabila berhadapan dengan pemuda itu.
iii. Persoalan tentang budaya fitnah dalam kalangan masyarakat. Alias memfitnah dengan mengatakan Adila berpenyakit AIDS dan Bujei harus menjauhi Adila supaya tidak dijangkiti penyakit tersebut.
iv. Persoalan tentang perasan belas kasihan dan tanggungjawab sesama insan. Sidang Saman dan Mak Lamah sentiasa mengambil berat tentang Bujei dengan memberi makanan kepada Bujei dan melayan Bujei dengan baik.
v. Persoalan tentang sikap manusia tidak berhati perut demi perasaan tamak dan haloba. Harun telah mengambil kesempatan terhadap Fatimah dengan menghabiskan semua harta peninggalan arwah sumainya iaitu bapa Bujei.
vi. Persoalan tentang sikap tidak jujur dan tidak ikhlas dalam tindakan. Harun memaksa Bujei menandatangani borang pindah milik tanah pusaka ibu Bujei secara paksaan.
vii. Persoalan tentang perasaan cinta yang tidak mengenal latar belakang pendidikan. Adila menaruh perasaan sayang terhadap Bujei walaupun pada mulanya dia hanya sekadar mahu membantu pemuda itu hidup dengan sempurna.

Friday, January 14, 2011

Ulasan Cerpen Pahlawan Buntung


SINOPSIS

Khalid telah bertemu kembali dengan Pak Husain yang berkaki kudung. Pertemuan itu menyebabkan Khalit mengingat kembali kepada kisah lampau yang berlaku ketika tentera Jepun mendarat di Pengkalan Chepa. Khalid memberitahu ayahnya sudah meninggal dunia setahun yang lalu. Khalid terkenang peristiwa 34 tahun dahulu, sebelum dia bersama keluarganya telah berpindah ke kota.
Ketika tentera Jepun mendarat di Kelantan, Pak Husain berusia 30 tahun dan Khalid berusia 14 tahun. Mereka tinggal di Kampung Pulau Pak Amat. Tentera Jepun mendarat dan membunuh askar-askar Punjabi. Pak Husain telah mengarahkan keluarga Khalid dan penduduk kampung berpindah. Mereka mengekori langkah Pak Husain dari belakang sehinggalah mereka ditinggalkan di selekoh batas. Suasana ketika itu sangat mencemaskan kerana bedilan senapang dan letupan bom berlaku di mana-mana. Ketika mereka mahu menaiki perahu, sebuah ledakan jatuh di depan mereka. Rumah Mak Esah terbakar. Mak Esah dan anaknya telah menjadi korban tentera Jepun. Perahu bergerak pantas sebelum diserang oleh tentera Jepun. Dalam keadaan kelam-kabut itu mereka mendapati Pak Husain tiada bersama-sama mereka.
Penduduk kampung berkumpul di Kampung Dal. Khalid dan rakan-rakannya menyeberangi sungai Pangkalan Cepa. Mereka mendapati Pangkalan Cepa sudah terbakar. Mereka kemudiannya pulang semula ke Kampung Dal. Ketika itu Pak Husain ada bersama-sama. Pak Husain menceritakan punca kehilangannya. Dia telah ditahan oleh tentera Jepun dan menyuruhnya menggali kubur besar untuk menanam mayat mangsa perang yang terbunuh.
Setelah Jepun menyerah kalah pada tahun 1945, rompakan sering berlaku. Pak Husain telah menembak perompak tersebut yang masih di dalam perahu dengan menggunakan senapang yang diambil daripada mayat askar Punjabi. Pada satu pagi, Pak Husain terkena letupan bom peninggalan perang. Beliau tidak sedarkan diri dan dibawa ke Hospital Kota Bharu. Kaki Pak Husain dipotong.
Kisah silam terputus dan kini Khalid berhadapan dengan Pak Husain. Khalid menjemput Pak Husain ke rumahnya di Jalan Bayam, tetapi Pak Husain menolak kerana dia mahu ke Padang Bemban, rumah cucunya.

Tema

Perang meninggalkan kesan yang buruk secara fizikal dan mental terhadap mangsa-mangsanya. Khalid masih teringat akan peristiwa tentera Jepun menyerang Tanah Melayu walaupun peristiwa itu sudah lama berlaku. Pak Husain pula menderita akibat terkena bom peninggalan perang Dunia Kedua.


Persoalan

i. Persoalan tentang sikap bertanggungjawab seorang individu yang melindungi orang lain sehingga menyebabkan dirinya menderita. Pak Husain sanggup bersusah payah menyuruh penduduk kampung berpindah tetapi beliau sendiri ditahan oleh tentera Jepun.
ii. Persoalan tentang kekejaman pihak yang mahu berkuasa dengan menggunakan kekerasan. Pihak tentera Jepun mendarat di Pengkalan Chepa dan membunuh askar Punjabi.
iii. Persoalan tentang budi baik orang yang berjasa tidak akan dilupakan. Khalid tetap mengenang jasa baik Pak Husain menyelamatkan mereka ketika serangan tentera Jepun.
iv. Persoalan tentang penderitaan yang terpaksa diharungi ketika peperangan berlaku. Kematian dan kecederaan ialah perkara biasa yang harus dihadapi oleh mangsa perang.
`
Watak

Khalid

i. Dia seorang yang berusia dalam lingkungan 41 tahun.
ii. Dia seorang anak rakan baik Pak Husain semasa tinggal di Kampung Pulau Pak Amat.
iii. Dia seorang yang sangat mengenang budi. Dia masih ingat akan budi Pak Husain menyelamatkan mereka ketika tentera Jepun menyerang.
iv. Dia seorang yang berani. Khalid kembali ke Pengkalan Chepa untuk melihat keadaan tempat itu selepas diserang pihak Jepun.

Pak Husain

i. Dia berusia dalam lingkungan 64 tahun.
ii. Kakinya kudung. Dia terkena ledakan bom peninggalan Jepun selepas peperangan berakhir.
iii. Dia sangat berani. Pak Husain berani membantu orang kampung berpindah untuk mengelakkan serangan Jepun. Dia juga menggali kubur untuk menanam mayat mangsa perang kerana diarahkan oleh tentera Jepun.

Thursday, January 13, 2011

Tuesday, January 4, 2011

Ulasan Dirgahayu Bahasaku

PANTUN ENAM KERAT

Putik kelapa menjadi muda,
Kelapa muda jadi kemirau,
Sudah kemirau menjadi kotai;
Hati luka pura tiada,
Rasa pedih buat tak hirau,
Ibarat kaca jatuh ke lantai.

Ambil galah jolok kedondong,
Galah pendek buluh sumpitan,
Buluh bersisip tali jerami;
Bukan salah ibu mengandung,
Sudah takdir sudah suratan,
Sudah nasib jadi begini.

Sarat bermuat ikan cencaru,
Gelama tidak berumpan lagi,
Kail tersangkut di tepi batang;
Sudah dapat orang yang baru,
Yang lama tidak berkenan lagi,
Ibarat melukut di tepi gantang.

Md. Ali Bachik (Penyelenggara)
Khazanah Puisi Klasik Melayu, 2003

Maksud
Rangkap 1

Seseorang yang miskin dan tidak mempunyai wang biasanya tidak dihiraukan oleh orang lain. Hal ini akan membuatkan orang berkenaan berasa sangat kecewa.

Rangkap 2

Setiap masalah dan nasib malang yang dihadapi oleh seseorang bukan disebabkan oleh orang lain tetapi sememangnya takdir kehidupannya begitu.

Rangkap 3

Sudah menjadi resam dunia apabila orang itu memiliki sesuatu yang baharu, dia akan mengabaikan yang lama.

Tema : Kesedihan akibat kehidupan yang miskin, nasib yang sentiasa malang, dan sering disisih oleh masyarakat.

Persoalan :

i. Persoalan tentang masalah kewangan yang sering menjadikan seseorang itu sentiasa dibelenggu masalah.
ii. Persoalan tentang nasib yang menimpa diri seseorang sememangnya sudah ditakdirkan.
iii. Persoalan tentang sikap manusia yang mengabaikan sesuatu yang lama setelah mendapat sesuatu yang baharu.

Nilai

i. Kesabaran - manusia mestilah sentiasa sabar menghadapi masa-masa sukar kerana ketiadaan wang dan sebagainya.
ii. Bersyukur - manusia sentiasa bersyukur dan berserah apabila menerima nasib yang kurang baik.
iii. Mengenang jasa - manusia tidak harus mengamalkan sikap lupa daratan apabila mendapat sesuatu yang baharu.

Pengajaran

i. Kita hendaklah bersabar untuk menempuh segala masalah yang bakal dihadapi.
ii. Manusia hendaklah sentiasa bersyukur dan menerima segala dugaan yang ditakdirkan.
iii. Masyarakat mestilah mengenang jasa orang dan tidak mengamalkan sikap melupakan yang lama setelah memperoleh sesuatu yang baharu.

Bentuk
i. Terdiri daripada tiga rangkap pantun.
ii. Puisi ini merupakan pantun enam kerat kerana terdiri daripada enam baris dalam satu rangkap.
iii. Tiga baris pertamanya ialah pembayang dan tiga baris yang terakhir ialah maksud.
iv. Jumlah kata dalam baris adalah antara 3 – 4 patah.
v. Bilangan suku kata dalam baris antara 8 – 12 suku kata.
vi. Rima akhirnya ialah a,b, c, a,b, c.
vii. Puisi ini berbentuk terikat dengan ciri-ciri puisi tradisional


Gaya bahasa

i. Ada menyelitkan penggunaan kata arkaik/klasik seperti pura (wang).
ii. Ada unsur gaya bahasa perbandingan simile.

Contohnya :
Ibarat kaca jatuh ke lantai.
Ibarat melukut di tepi gantang.