Thursday, August 11, 2011

Tips untuk Bahagian Novel

i.       Ingat beberapa peristiwa penting dalam novel.
ii.      Peristiwa penting ini dapat digunakan untuk menjawab semua jenis soalan yang dikemukakan.
iii.     Peristiwa penting dijadikan bukti atau contoh dalam huraian jawaban.
iv.     Contohnya, peristiwa kematian Intan Maliana dalam novel Papa... (akhirnya kau tewas jua)  dapat  
         menjawab soalan tentang tema, persoalan, nilai, pengajaran, latar, dan sebagainya.
v.     Jangan lupa nyatakan novel yang digunakan sebagai jawaban.  Kalau soalan perbandingan, jangan lupa
        untuk menyatakan kedua-dua buah novel yang dikaji.
vi.    Kalau ingat nyatakan juga nama pengarang novel.
vii.   Nama pengarang dan judul novel hendaklah dieja dengan betul.
viii.   Gunakan bahasa yang terhindar daripada kesalahan untuk mendapat markah penuh.
ix.    Buat perenggan jika jawaban agak panjang.
x.     Jangan lupa untuk menulis kesimpulan dalam jawaban anda.

Friday, August 5, 2011

Baca petikan cerpen di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.


Hutan Rimba

Dahulu Pak Tua meninggalkan kampung leluhurnya kerana di sana sudah tidak ada lagi mata pencarian yang memberi pulangan yang lumayan.

“Seharusnya aku mengambil pengajaran daripada petaka yang melanda perairan kampungku.” Sesal Pak Tua semakin menghimpit dada. Begitulah yang terjadi kerana tidak adanya kesedaran alam sekitar. Pak Tua ikut terlibat dalam pemusnahan hidupan laut di kampungnya. Lantaran ingin mendapat tangkapan yang lumayan, Pak Tua dengan beberapa orang rakan nelayan sering menggunakan bom buatan sendiri untuk mendapatkan ikan yang banyak.

“Kami tidak sedar bahawa perbuatan kami itu telah memusnahkan terumbu karang dan hidupan laut yang lainnya. Terumbu karang tempat kehidupan plakton yang merupakan makanan ikan. Terumbu karang yang memakan masa jutaan tahun untuk membesar, dengan sekali lempar saja telah ranap oleh letupan bom buatan sendiri.” Terasa dada Pak Tua juga bagai ikut meletup bersama terumbu karang itu. Rasa sesal itu amat menyesakkan dada. Hidung Pak Tua kembang kempis menyedut udara yang terasa amat payah untuk dihirup. Terketar-ketar jemarinya mengurut dada untuk mengurangkan kesesakan yang semakin menyeksa.

Setelah kehidupan di kampung semakin susah kerana tangkapan sudah agak berkurangan, Pak Tua pun membawa diri ke negeri ini. Pak Tua harap di sini nanti dia boleh mengubah kehidupannya. Ternyata nasibnya memang berubah. Pak Tua bukan hanya mampu mendapatkan rezeki yang berlimpah, tetapi juga mampu membina rumah tangga dan memakmurkan kehidupan keluarganya.

1. Apakah yang dimaksudkan dengan ungkapan memberi pulangan yang lumayan seperti yang terdapat dalam petikancerpen di atas? [2 markah]
..........................................................................................................................................................

2. Pada pendapat anda, mengapakah manusia wajar menjaga kesejahteraan alam daripada dicemari? [3 markah]

...........................................................................................................................................................

3. Nyatakan dua pengajaran yang terdapat dalam petikan dan dua pengajaran yang terdapat dalam cerpen. [4 markah]

................................................................................................................................................................



Sunday, July 31, 2011

Ceramah di UM

Pada 31 Julai 2011 saya telah dijemput oleh sebuah badan NGO iaitu SMC untuk menyampaikan ceramah teknik menjawab soalan kertas 1 Bahasa Malaysia, di Fakulti Kejuruteraan, Universiti Malaya.  Saya sangat berterima kasih kepada pihak penganjur atas jemputan tersebut.

Friday, July 22, 2011

Peribahasa popular untuk digunakan dalam karangan.

i. Melentur buluh biarlah dari rebungnya.


ii. Kalau tidak dipecahkan ruyung, di mana akan mendapat sagunya.

iii. Hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah.

iv. Seperti aur dengan tebing.

v. Beringat sebelum kena, berjimat sebelum habis.

vi. Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung.

vii. Tiada rotan akar pun berguna.

viii.Bagaimana acuan, begitulah kuihnya.

ix. Bersatu teguh, bercerai runtuh.

x. Ke gunung sama didaki, ke lurah sama dituruni.

xi. Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.

xii. Seperti ketam mengajar anak berjalan betul.

xiii. Kerja bertangguh tidak menjadi, kerja beransur tidak bertahan.

xiv. Harapkan pagar, pagar makan padi.

xv.  Kemeyan sebesar lutut, tidak dibakar tiada baunya.



Ungkapan indah/madah pujangga

i. Peperangan dapat dihindarkan dengan sebuah senyuman - Mother Teresa.

ii. Perjalanan seribu batu bermula dengan langkah pertama - Lao Tze

iii. Tuntutlah ilmu sampai ke negeri China - Hadis.
 
iv.  Tuntutlah ilmu dari dalam buaian hingga ke liang lahad - Hadis.

Monday, July 18, 2011

Soalan dan jawaban contoh berdasarkan novel Interlok

Huraikan pengajaran yang terdapat dalam sebuah novel yang anda kaji.    [7 markah]

Novel yang saya kaji ialah novel Interlok karya Abdullah Hussain. Novel memaparkan banyak pengajaran untuk dimanfaatkan oleh pembaca. Antara pengajaran yang diketengahkan ialah kita hendaklah membantu orang yang berada alam kesusahan. Lebai Man mahu Seman dan ibunya tinggal di rumahnya terlebih dahulu setelah keluar dari rumah. Lazim pula sanggup bersama-sama penduduk kampung mendirikan rumah untuk didiami Seman. Selain itu kita hendaklah mengelakkan diri daripada menyembunyikan status diri. Maniam tidak menceritakan bahawa dia sudah berkahwin ketika di India. Namun statusnya akhirnya terbongkar dengan kedatangan Suppiah. Dia dihalau oleh bapa mentuanya keluar dari rumah kerana terlalu marah. Akhir sekali kita hendaklah bersikap jujur terhadap orang lain. Cina Panjang mendapat harta dengan cara menipu Musa yang tidak berpelajaran dan miskin dengan meletakkan nama Musa pada tanah yang dibeli. Akan tetapi apabila Musa meninggal dunia, Cina Panjang menghalau anaknya Seman dan Mak Limah

Thursday, July 14, 2011

Baca puisi di bawah dengan teliti kemudian jawab soalan berikutnya dengan menggunakan perkataan sendiri.

DIRGAHAYU BAHASAKU

Tempatmu di singgahsana
hati nurani bangsaku
warga yang berbudi
setia dan amanah

Bahasa itu maruah bangsa
yang mesti dipelihara martabatnya
agar tetap kukuh dan ampuh
melayari lautan bijaksana
salam ikatan mesra dan teguh

Cekal dan waja semangat pejuangku
hak bangsaku memilikimu
hak bangsaku mendaulatkanmu
di bumi bertuah ini
merentas dunia tak bertepi.

Sejarah bangsa mencatatkan kegemilangan
ke barat dan ke timur menjalin persaudaraan
gagah pelautku membelah lautan
ke utara dan ke selatan bahasaku mencengkam
dari pulau ke pulau menggilap mutiara silam.

Dirgahayu bahasaku
di arena antarabangsa suaramu tumbuh
menusuk kalbu lagu bahasamu
bahasamu bahasa minda
mudah akrab bertatasusila
daripada bangsa yang bernama Melayu
menempa kejayaan di alaf baru

Ahmad Sarju
Manuskrip luka Bangsa, 2006

1. Apakah yang dimaksudkan dengan baris ‘agar tetap kukuh dan ampuh’? [2 markah]

Maksud baris tersebut ialah supaya terus teguh dan kuat.

2. Pada pandangan anda, bagaimanakah martabat bahasa dapat dipertingkatkan?
[4 markah]

Pada pandangan saya martabat bahasa dapat dipertingkatkan dengan cara menjadikan bahasa tersebut sebagai bahasa perhubungan rasmi, mewajibkan seluruh masyarakat menggunakannya, menjadikan penguasaan bahasa sebagai satu syarat untuk mendapatkan pekerjaan, dan menjalankan usaha mengantarabangsakan bahasa tersebut.

3. Huraikan tema dan dua persoalan puisi di atas? [3 markah]

Tema sajak tersebut ialah semangat cinta akan bahasa ibunda yang tinggi martabat dan kedudukannya. Persoalan sajak pula ialah persoalan tentang peranan bahasa sebagai lambang jati diri sesuatu bangsa dan persoalan tentang tanggungjawab bangsa untuk mempertahankan kedudukan bahasa ibunda.

Tuesday, June 21, 2011

Kajian Sajak Dirgahayu Bahasaku

DIRGAHAYU BAHASAKU


Tempatmu di singgahsana
hati nurani bangsaku
warga yang berbudi
setia dan amanah

Bahasa itu maruah bangsa
yang mesti dipelihara martabatnya
agar tetap kukuh dan ampuh
melayari lautan bijaksana
salam ikatan mesra dan teguh

Cekal dan waja semangat pejuangku
hak bangsaku memilikimu
hak bangsaku mendaulatkanmu
di bumi bertuah ini
merentas dunia tak bertepi.

Sejarah bangsa mencatatkan kegemilangan
ke barat dan ke timur menjalin persaudaraan
gagah pelautku membelah lautan
ke utara dan ke selatan bahasaku mencengkam
dari pulau ke pulau menggilap mutiara silam.

Dirgahayu bahasaku
di arena antarabangsa suaramu tumbuh
menusuk kalbu lagu bahasamu
bahasamu bahasa minda
mudah akrab bertatasusila
daripada bangsa yang bernama Melayu
menempa kejayaan di alaf baru

Ahmad Sarju
Manuskrip luka Bangsa, 2006

Maksud

Rangkap 1

Bahasa merupakan keutamaan masyarakat yang berbudi, setia, dan amanah.

Rangkap 2

Bahasa merupakan maruah bangsa yang perlu dijaga kedudukannya. Keteguhan bahasa membolehkan kehidupan yang penuh kebijaksanaan, kesejahteraan, dan kebahagiaan.

Rangkap 3

Pejuang-pejuang bahasa sentiasa memiliki kecekalan hati untuk mendaulatkan bahasa di tanah air sendiri dan bakal merebak pengaruhnya ke seluruh dunia.

Rangkap 4

Sejarah membuktikan bahawa masyarakat tempatan memang diakukan kehebatannya. Mereka telah mewujudkan perhubungan dengan negara-negara lain, menyebarkan bahasa yang dipandang tinggi pada suatu ketika dahulu.

Rangkap 5

Bahasa Melayu berpotensi berkembang dan melebarkan pengaruhnya kerana ketinggian falsafahnya, berperanan sebagai wahana pemikiran dan komunikasi, dan semakin mendapat perhatian pada alaf baharu.

Tema

Semangat cinta akan bahasa ibunda yang tinggi martabat dan kedudukannya.

Persoalan
i. Persoalan tentang peranan bahasa sebagai lambang jati diri sesuatu bangsa.

ii. Persoalan tentang tanggungjawab bangsa untuk mempertahankan kedudukan bahasa ibunda.

iii. Persoalan tentang sejarah kegemilangan bahasa yang tersebar luas pada suatu masa dahulu.

iv. Persoalan tentang bahasa Melayu yang semakin berkembang dan diiktiraf di peringkat antarabangsa.

v. Persoalan tentang bahasa Melayu yang pertama menjadi wahana komunikasi yang berpengaruh di nusantara.