Tuesday, June 21, 2011

Kajian Sajak Dirgahayu Bahasaku

DIRGAHAYU BAHASAKU


Tempatmu di singgahsana
hati nurani bangsaku
warga yang berbudi
setia dan amanah

Bahasa itu maruah bangsa
yang mesti dipelihara martabatnya
agar tetap kukuh dan ampuh
melayari lautan bijaksana
salam ikatan mesra dan teguh

Cekal dan waja semangat pejuangku
hak bangsaku memilikimu
hak bangsaku mendaulatkanmu
di bumi bertuah ini
merentas dunia tak bertepi.

Sejarah bangsa mencatatkan kegemilangan
ke barat dan ke timur menjalin persaudaraan
gagah pelautku membelah lautan
ke utara dan ke selatan bahasaku mencengkam
dari pulau ke pulau menggilap mutiara silam.

Dirgahayu bahasaku
di arena antarabangsa suaramu tumbuh
menusuk kalbu lagu bahasamu
bahasamu bahasa minda
mudah akrab bertatasusila
daripada bangsa yang bernama Melayu
menempa kejayaan di alaf baru

Ahmad Sarju
Manuskrip luka Bangsa, 2006

Maksud

Rangkap 1

Bahasa merupakan keutamaan masyarakat yang berbudi, setia, dan amanah.

Rangkap 2

Bahasa merupakan maruah bangsa yang perlu dijaga kedudukannya. Keteguhan bahasa membolehkan kehidupan yang penuh kebijaksanaan, kesejahteraan, dan kebahagiaan.

Rangkap 3

Pejuang-pejuang bahasa sentiasa memiliki kecekalan hati untuk mendaulatkan bahasa di tanah air sendiri dan bakal merebak pengaruhnya ke seluruh dunia.

Rangkap 4

Sejarah membuktikan bahawa masyarakat tempatan memang diakukan kehebatannya. Mereka telah mewujudkan perhubungan dengan negara-negara lain, menyebarkan bahasa yang dipandang tinggi pada suatu ketika dahulu.

Rangkap 5

Bahasa Melayu berpotensi berkembang dan melebarkan pengaruhnya kerana ketinggian falsafahnya, berperanan sebagai wahana pemikiran dan komunikasi, dan semakin mendapat perhatian pada alaf baharu.

Tema

Semangat cinta akan bahasa ibunda yang tinggi martabat dan kedudukannya.

Persoalan
i. Persoalan tentang peranan bahasa sebagai lambang jati diri sesuatu bangsa.

ii. Persoalan tentang tanggungjawab bangsa untuk mempertahankan kedudukan bahasa ibunda.

iii. Persoalan tentang sejarah kegemilangan bahasa yang tersebar luas pada suatu masa dahulu.

iv. Persoalan tentang bahasa Melayu yang semakin berkembang dan diiktiraf di peringkat antarabangsa.

v. Persoalan tentang bahasa Melayu yang pertama menjadi wahana komunikasi yang berpengaruh di nusantara.

No comments: