Wednesday, October 14, 2009

Menilai Novel

Semasa saya berada di Kelantan pada hujung minggu lalu, Cikgu Nik Nor Ahmarizam bertanya saya. Katanya seorang penulis mempertikaikan buku-buku rujukan yang ada di pasaran semua salah menilai kemuncak novel tulisannya. (yang dijadikan teks Komsas). Oleh itu Cikgu Nik meminta pandangan saya tentang perkara tersebut.
Pada pandangan saya, bidang sastera turut melibatkan kritikan. Penulis dan penngkritik bergerak atas fungsi yang berbeza. Oleh yang demikian, penulis hanya berperanan untuk menghasilkan karya sastera. Selepas itu inisiatif untuk menilai karya tersebut menjadi tanggungjawab bidang kritikan pula. Tidak wajarlah seseorang penulis itu sendiri yang menilai karya tulisan sendiri dan menganggap hanya penilaiannya sahaja yang tepat.
Dalam kajian kritikan, sesebuah karya novel yang baik memiliki struktur yang baik dan mantap. Dalam pemilihan novel yang dijadikan teks sama ada untuk komponen sastera atau sastera elektif, aspek struktural hendaklah diberikan perhatian. Novel yang lengkap strukturnya mempunyai keteguhan dan saling melengkapi unsur dalamannya. Misalnya tema, persoalan, watak, latar, binaan plot, teknik plot, gaya bahasa, nilai, dan pengajaran mestilah saling melengkapi antara satu sama lain. Dengan adanya struktur yang utuh, kajian yang dibuat terhadap novel tersebut akan menjadi lebih jelas yang lengkap.
Dalam menentukan klimaks novel misalnya, kita tidak boleh meletakkan peristiwa klimaks itu sesuka hati atau memilih peristiwa yang paling dramatik untuk diangkat sebagai klimaks. Hal inji terjadi apabila seseorang pengkritik (penulis) tidak memiliki ilmu kritikan yang lengkap. Klimaks dalam sesebuah karya tidak boleh berdiri dengan sendirinya, melainkan berhubung dengan aspek dalaman karya yang lain. Klimaks hendaklah ada hubungannya dengan tema, watak utama novel, dan juga aspek-aspek lain seperti latar, persoalan, nilai, pengajaran, dan sebagainya. Malah judul juga mempunyai kaitan dengan peristiwa yang diangkat sebagai klimaks dalam binaan plot novel. Sebagai contoh, novel Bukit Kepong merupakan sebuah novel yang kukuh strukturnya kerana semua aspek dalaman termasuk judulnya dapat menyerlahkan peristiwa yang diangkat sebagai klimaks. Begitu juga novel Konserto Terakhir, Perlumbaan Kedua, dan sebagainya. Sebaliknya novel-novel seperti Di Hadapan Pulau, Putera Gunung Tahan, tidak mempunyai struktur yang kuat bagi memudahkan pengkaji menghubungkaitkan semua aspek dalamannya untuk menjelaskan klimaks novel berkenaan.
Novel Anak Din Biola sering membangkitkan kekeliruan pada pengkaji kerana peristiwa yang dramatik dalam novel berkenaan tidak dapat dijadikan klimaks. Hal ini demikian peristiwa yang dramatik itu tidak ada kaitan dengan tema dan watak utamanya. Biasanya pembaca akan mengangkat peristiwa penangkapan Pak Mat Tukang Masak sebagai klimaks, tetapi sebenarnya tidak tepat. Hal ini demikian kerana watak utamanya ialah Budiman dan temanya berkaitan amanat arwah bapa Budiman. Pak Mat langsung tidak ada kaitan dalam perkara tersebut.
Begitu juga halnya dengan novel Pahlawan Pasir Salak. Peristiwa yang dramatik dalam novel tersebut ialah pembunuhan JWW Birch. Banyak pembaca yang menganggap peristiwa tersebut sebagai klimaks novel. Pada hal peristiwa itu langsung tidak melibatkan watak utamanya dan juga tema novel berkenaan.
Jika pengkritik tidak dapat menetapkan klimaks novel dengan sempurna, jelas bahawa struktur novel berkenaan tidak mantap. Jadi, sesebuah novel yang wajar dipilih dan dijadikan bahan bacaan hendaklah mengambil kira aspek berkenaan. Sktruktur novel yang kukuh akan memudahkan guru mengajarkan novel tersebut dan juga memudahkan murid untuk mempelajarinya.

Tuesday, October 13, 2009

Buku-buku Baharu Saya

Novel Dari Lembah ke Puncak ini bukan buku baharu saya. Cuma yang saya masukkan ialah versi baharu yang diubahsuaikan untuk dijadikan teks Kesusasteraan Melayu KBSM bermula tahun 2010.



Sepanjang tahun 2009 beberapa buah buku saya telah digunakan dengan meluas di seluruh negara. Buku Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan Tingkatan 5 telah digunakan sejak tahun 2009 di zon pantai timur. Buku-buku kerja yang terpapar di atas baru sahaja diterbitkan dan sudah ada di pasaran. Buku-buku tersebut adalah untuk kegunaan 2010.

Sunday, August 2, 2009

Teknik Cerita Lain

Penulisan rumusan pada peringkat STPM memerlukan kemahiran yang tertentu. Terdapat pelbagai kaedah yang telah diperkenalkan oleh guru-guru yang berpengalaman, guru cemerlang, pensyarah-pensyarah, dan sebagainya. Saya telah memperkenalkan satu teknik untuk menulis rumusan STPM. Teknik ini saya namakan sebagai Teknik Cerita Lain. (TCL).
Teknik ini memerlukan calon membaca petikan secara keseluruhan terlebih dahulu untuk mendapatkan Idea Utama petikan. Kemudian setelah itu, calon perlu membaca sekali lagi petikan untuk mengenal pasti idea sampingan pula. Untuk tujuan mendapatkan idea sampingan, calon perlu mempunyai kemahiran untuk membezakan antara isi penting dan huraian isi. Caranya adalah dengan mengenal pasti cerita baharu (isi baharu) yang diperkenalkan. Cerita lain ialah isi baharu yang diketengahkan selepas huraian isi yang sebelumnya. Setiap kali calon menjumpai cerita lain yang baharu, maka cerita tersebut dianggap sebagai idea sampingan yang dapat diketengahkan dalam rumusan.
Demikian secara ringkas penerangan tentang TCL. Sebenarnya teknik ini sama juga dengan kaedah yang biasa digunakan. Cuma apabila diberikan nama, maka calon mudah mengingatinya. Calon mestilah membuat latihan yang banyak untuk memahirakan diri dalam penulisan rumusan. Saya berdoa agar semua calon berjaya dalam peperiksaan.

Friday, July 24, 2009

Tips Menulis Rumusan STPM

Menulis rumusan STPM agak berbeza daripada rumusan SPM. Oleh yang demikian murid mestilah menguasai teknik tertentu untuk menulisnya. Saya memperkenalkan satu teknik yang saya nama TEKNIK CERITA LAIN. Teknik ini bertujuan untuk membolehkan murid mencari isi sampingan dengan cara mudah tetapi meyakinkan.
Penjelasan tentang teknik ini akan saya buat jika ada orang yang berminat untuk mengetahuinya. Saya telahpun menggunakan teknik ini untuk murid-murid saya sendiri.

Tips untuk Menjawab Soalan Novel Komsas

Soalan novel Komsas merangkumi 15 markah. Banyak tu! Jadi anak-anak perlu memastikan agar anak-anak mendapat markah tinggi. Salah satu cara untuk menguasai bahagian ini adalah dengan mengingati beberapa peristiwa penting dalam novel. Sekurang-kurang anda perlu ingat DUA peristiwa penting. Hal ini demikian daripada peristiwa tersebut, berbagai-bagai soalan dapat dijawab.

Sebagai contoh, peristiwa Hilmi sedang sakit tenat di hospital (Novel Konserto Terakhir) dapat digunakan untuk menjawab pelbagai bentuk soalan. Antaranya termasuklah soalan tentang latar, nilai, persoalan, perwatakan, pengajaran, dan sebagainya. Jika soalan tentang latar anda gunakan latar wad hospital sebagai jawapan, jika soalan tentang nilai, ketengahkan nilai kasih sayang atau nilai keinsafan wataknya. Soalan tentang pengajaran juga dapat digarap melalui peristiwa tersebut. Malah apa-apa sahaja soalan dapat dijawab dengan berdasarkan peristiwa yang sama.

Jika novel Julia, ambil peristiwa pertemuan Julia dengan Jun di tanah perkuburan sebagai peristiwa utama. Banyak perkara yang dapat diambil daripada peristiwa tersebut seperti nilai kasih sayang, latar tempat, pengajaran, perwatakan Julia, dan lain-lain.

Begitu juga dengan novel-novel lain. Yang penting anda kaji peristiwa tersebut dengan mendalam dan ingat butir-butirnya dengan baik. Selamat maju jaya!

Wednesday, July 22, 2009

Kelewatan mengemas kini blog

Saya kurang mengemas kini blog ini kerana terlau sibuk untuk mengumpulkan bahan yang sesuai. Namun saya tetap akan memasukkan beberapa bahan pengajaran yang dapat dikongsikan dengan pengunjung-pengunjung blog ini. Hal ini demikian kerana blog ini lebih bersifat akademik dan memerlukan bahan yang bersifat akademik juga.
Selepas ini saya akan masukkan bahan tentang kaedah pengajaran dan pembelajaran KOMSAS untuk dibaca dan dikomen oleh rakan-rakan pengunjung blog.

Wednesday, June 3, 2009

Rombak Pakej Subjek SPM


Hasrat Kementerian Pelajaran Malaysia untuk mengehadkan 10 mata pelajaran bagi calon Sijil Pelajaran Malaysia mencetuskan pelbagai reaksi dan pandangan. Sebagai seorang pendidik, saya juga terpanggil untuk menyuarakan pandangan saya dalam hal ini. Bagi saya, cadangan tersebut merupakan satu transformasi yang wajar diterima dengan positif. Sistem pendidikan negara ini telah melalui pelbagai perubahan sebelum ini. Sebagai satu entity yang dinamik kita tidak harus berasa janggal untuk membuat perubahan.

Mengikut dasar yang dicadangkan, hanya empat subjek akan diangkat sebagai subjek teras. Hal ini telah membimbangkan banyak pihak kerana beberapa subjek penting juga akan tercicir daripada senarai subjek teras tersebut. Untuk mengatasi masalah ini saya mencadangkan pakej mata pelajaran diwujudkan seperti berikut, iaitu subjek teras, subjek subteras, dan subjek elektif. Bagi murid-murid mereka diperlukan mengambil empat teras, dua subteras, dan dua elektif untuk memenuhi kuota 10 subjek dalam peperiksaan.

Subjek teras hendaklah dirombak daripada subjek-subjek yang ada sekarang. Empat subjek teras cadangan saya ialah Bahasa dan Kesusasteraan Melayu, Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris, Kenegaraan Malaysia (yang terdiri daripada sejarah dan tamadun bangsa), dan Pendidikan Insaniah (yang terdiri daripada Pendidikan Agama Islam, Pendidikan Moral, dan Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan).

Subjek subteras pula hendaklah dipakejkan dalam bentuk dua subjek satu pakej. Misalnya Fizik dan Kimia, Biologi dan Sains Am, Perdagangan dan Perakaunan, Matematik Moden dan Matematik Tambahan, Sains Komputer dan ICT, Geografi dan Pendidikan Alam Sekitar, dan subjek-subjek lain yang berada dalam kategori yang sama. Sementara itu subjek elektif pula terdiri daripada subjek seperti Pendidikan Seni, Sains Pertanian, Kemahiran Hidup, Tasawur, Syariah, dan lain-lain. Dengan cara ini murid dapat menjuruskan hala tuju mereka dengan mengambil subjek yang ada kaitan dengan kursus-kursus yang ditawarkan di institusi pengajian tinggi. Cara ini juga dapat mengembangkan potensi murid dalam bidang yang digemari oleh mereka.

Dalam usaha memartabatkan bahasa dan kesusasteraan Melayu, dua subjek iaitu Bahasa Malaysia dan Kesusasteraan Melayu digabungkan. Kaedah bahan kesusasteraan hanya sebagai komponen juga perlu dirombak dengan menitikberatkan aspek penghayatan dan aplikasi kesusasteraan dalam memupuk jati diri generasi muda. Kesusasteraan tidak harus dilihat sebagai bahan pemahaman semata-mata tetapi sebagai pelahiran bakat dan penghayatan nilai murni yang terkandung dalam bahan-bahan sastera itu sendiri. Oleh sebab Bahasa Inggeris dianggap sebagai bahasa global dan teknologi, subjek ini juga diangkat sebagai teras untuk menggantikan PPSMI yang semakin hangat dibantah. Dalam hal ini bahasa dan kesusasteraan Inggeris wajar dilihat sebagai satu kaedah untuk meningkatkan penguasaan bahasa tersebut.

Subjek kenegaraan pula melibatkan aspek sejarah dan tamadun bangsa Malaysia. Di peringkat institusi pengajian tinggi subjek ini telah pun diajarkan, jadi tidak menjadi masalah kepada penggubal kurikulum untuk merendahkan tahapnya bagi disesuaikan dengan peringkat umur remaja belasan tahun. Untuk menambahkan penerapan jati diri, subjek Pendidikan Insaniah dicadangkan yang merangkumi Pendidikan Agama Islam bagi murid yang beragama Islam, Pendidikan Moral dan Pendidikan Sivik disatukan untuk murid bukan Islam. Melalui subjek ini aspek penerapan nilai insaniah dititikberatkan bagi melahirkan generasi muda yang berjati diri dan modal insan yang syumul.

Subjek subteras yang dicadangkan pula perlu diperhalusi bagi membolehkan penyebarannnya seimbang dan menjurus ke arah kursus-kursus yang ditawarkan di university. Pihak Kementerian Pelajaran mempunyai kepakaran untuk menyusun perkara ini agar relevan dengan keperluan masa kini dan masa hadapan. Bagi subjek elektif pula murid diberikan kebebasan sepenuhnya untuk membuat pilihan agar dapat membantu mereka lulus dengan baik dalam peperiksaan. Malahan murid juga diberikan kebenaran jika tidak berminat untuk mempelajari pakej elektif. Hal ini kerana mereka akan mengambil sekurang-kurangnya lapan subjek iaitu subjek teras dan subjek subteras.

Kesimpulannya, cadangan untuk mengehadkan subjek dalam peperiksaan SPM perlu dillihat secara kritis dan positif. Dengan pelaksanaan cadangan ini, semua murid akan menduduki peperiksaan yang agak seimbang iaitu antara lapan hingga 10 subjek. Sekarang ini keadaannya amat tidak seimbang. Ada calon yang mengambil tujuh subjek sahaja dan ada pula yang mengambil lebih daripada 20 subjek.