Semasa saya berada di Kelantan pada hujung minggu lalu, Cikgu Nik Nor Ahmarizam bertanya saya. Katanya seorang penulis mempertikaikan buku-buku rujukan yang ada di pasaran semua salah menilai kemuncak novel tulisannya. (yang dijadikan teks Komsas). Oleh itu Cikgu Nik meminta pandangan saya tentang perkara tersebut.
Pada pandangan saya, bidang sastera turut melibatkan kritikan. Penulis dan penngkritik bergerak atas fungsi yang berbeza. Oleh yang demikian, penulis hanya berperanan untuk menghasilkan karya sastera. Selepas itu inisiatif untuk menilai karya tersebut menjadi tanggungjawab bidang kritikan pula. Tidak wajarlah seseorang penulis itu sendiri yang menilai karya tulisan sendiri dan menganggap hanya penilaiannya sahaja yang tepat.
Dalam kajian kritikan, sesebuah karya novel yang baik memiliki struktur yang baik dan mantap. Dalam pemilihan novel yang dijadikan teks sama ada untuk komponen sastera atau sastera elektif, aspek struktural hendaklah diberikan perhatian. Novel yang lengkap strukturnya mempunyai keteguhan dan saling melengkapi unsur dalamannya. Misalnya tema, persoalan, watak, latar, binaan plot, teknik plot, gaya bahasa, nilai, dan pengajaran mestilah saling melengkapi antara satu sama lain. Dengan adanya struktur yang utuh, kajian yang dibuat terhadap novel tersebut akan menjadi lebih jelas yang lengkap.
Dalam menentukan klimaks novel misalnya, kita tidak boleh meletakkan peristiwa klimaks itu sesuka hati atau memilih peristiwa yang paling dramatik untuk diangkat sebagai klimaks. Hal inji terjadi apabila seseorang pengkritik (penulis) tidak memiliki ilmu kritikan yang lengkap. Klimaks dalam sesebuah karya tidak boleh berdiri dengan sendirinya, melainkan berhubung dengan aspek dalaman karya yang lain. Klimaks hendaklah ada hubungannya dengan tema, watak utama novel, dan juga aspek-aspek lain seperti latar, persoalan, nilai, pengajaran, dan sebagainya. Malah judul juga mempunyai kaitan dengan peristiwa yang diangkat sebagai klimaks dalam binaan plot novel. Sebagai contoh, novel Bukit Kepong merupakan sebuah novel yang kukuh strukturnya kerana semua aspek dalaman termasuk judulnya dapat menyerlahkan peristiwa yang diangkat sebagai klimaks. Begitu juga novel Konserto Terakhir, Perlumbaan Kedua, dan sebagainya. Sebaliknya novel-novel seperti Di Hadapan Pulau, Putera Gunung Tahan, tidak mempunyai struktur yang kuat bagi memudahkan pengkaji menghubungkaitkan semua aspek dalamannya untuk menjelaskan klimaks novel berkenaan.
Novel Anak Din Biola sering membangkitkan kekeliruan pada pengkaji kerana peristiwa yang dramatik dalam novel berkenaan tidak dapat dijadikan klimaks. Hal ini demikian peristiwa yang dramatik itu tidak ada kaitan dengan tema dan watak utamanya. Biasanya pembaca akan mengangkat peristiwa penangkapan Pak Mat Tukang Masak sebagai klimaks, tetapi sebenarnya tidak tepat. Hal ini demikian kerana watak utamanya ialah Budiman dan temanya berkaitan amanat arwah bapa Budiman. Pak Mat langsung tidak ada kaitan dalam perkara tersebut.
Begitu juga halnya dengan novel Pahlawan Pasir Salak. Peristiwa yang dramatik dalam novel tersebut ialah pembunuhan JWW Birch. Banyak pembaca yang menganggap peristiwa tersebut sebagai klimaks novel. Pada hal peristiwa itu langsung tidak melibatkan watak utamanya dan juga tema novel berkenaan.
Jika pengkritik tidak dapat menetapkan klimaks novel dengan sempurna, jelas bahawa struktur novel berkenaan tidak mantap. Jadi, sesebuah novel yang wajar dipilih dan dijadikan bahan bacaan hendaklah mengambil kira aspek berkenaan. Sktruktur novel yang kukuh akan memudahkan guru mengajarkan novel tersebut dan juga memudahkan murid untuk mempelajarinya.
No comments:
Post a Comment