Tuesday, July 27, 2010

Karangan Rencana menggunakan teknik formula

Masalah pencemaran alam semakin meruncing sejak akhir-akhir ini. Anda ingin menulis rencana tentang langkah-langkah untuk mengatasi masalah tersebut. Tulis rencana anda selengkapnya.

Langkah-langkah untuk Mengatasi Pencemaran Alam
Oleh Hamzani Hamzah

Pencemaran alam merupakan isu yang sering menjadi buah mulut masyarakat sejak belakangan ini. Setiap hari terdapat laporan media tentang gejala pencemaran alam. Hal ini telah menyebabkan pelbagai pihak berasa bimbang akan gejala tersebut. Pihak kerajaan dengan pertubuhan bukan kerajaan telah melaksanakan pelbagai usaha untuk memastikan alam sekitar terpelihara. Walau bagaimanapun, gejala pencemaran alam masih lagi berleluasa seolah-olah tidak ada penghujungnya. Jika ditinjau dengan mendalam, terdapat beberapa langkah yang konkrit untuk menangani gejala ini.
Salah satu langkah yang dapat digunakan untuk mengatasi pencemaran alam ialah pihak berwajib menghukum individu atau organisasi yang telah didapati bersalah mencemarkan alam sekitar. Pihak berwajib seperti Kementerian Sains, Teknologi, dan Alam Sekitar wajar menguatkuasakan undang-undang yang sedia ada untuk menghukum pihak-pihak yang berkenaan. Hukuman yang dikenakan hendaklah setimpal dengan kesalahan pihak terbabit mencemarkan alam. Selain itu tindakan penguatkuasaan undang-undang hendaklah dilaksanakan tanpa sikap memilih bulu dan dilakukan secara tekal dan tidak seperti melepaskan batuk di tangga. Individu dan organisasi yang mencemarkan alam biasanya tidak serik dengan hukuman yang dikenakan. Mereka akan mengulangi perbuatan keji ini jika hukuman yang dikenakan terhadap mereka tidak begitu berat. Malahan ada yang sanggup membayar denda kerana mencemarkan alam sekitar kerana mereka tahu denda tersebut hanya sekali sahaja. Mereka bebas melakukan kesalahan setelah menjelaskan denda yang dikenakan. Oleh itu pihak berwajib mestilah lebih tegas dalam mengenakan hukuman terhadap pihak yang melakukan pencemaran.
Selain itu pihak sekolah hendaklah memperkenalkan pendidikan alam sekitar kepada murid-murid sekolah. Pendidikan alam sekitar melibatkan pelbagai aspek yang menjurus ke arah pengekalan alam yang sejahtera. Satu kurikulum yang khusus perlu digubal agar pendedahan yang sistematik dapat dilaksanakan. Kurikulum ini boleh diselitkan dalam mata-mata pelajaran lain dan boleh juga dijadikan mata pelajaran khusus. Hal ini bertujuan untuk menyemaikan kesedaran secara lebih berkesan. Murid sekolah khususnya yang belajar di sekolah rendah wajar didedahkan dengan pengetahuan tentang alam sekitar dengan lebih sistematik. Jika sejak kecil mereka diberikan pendedahan sedemikian, mereka akan berasa lebih bertanggungjawab terhadap alam sekitar apabila mereka dewasa nanti. Langkah ini akan mengatasi gejala pencemaran alam pada masa akan datang, bak kata pepatah melentur bulu biarlah dari rebungnya. Jadi, pengenalan pendidikan alam sekitar di peringkat sekolah merupakan satu langkah untuk mengatasi pencemaran alam.
Langkah untuk mengatasi pencemaran alam seterusnya ialah pihak kerajaan perlu melaksanakan kempen dengan lebih berkesan. Kempen merupakan kaedah yang paling berkesan untuk menyampaikan sesuatu maklumat tentang pelbagai perkara. Pelbagai media massa dapat digunakan untuk menjadi wadah penyampaian maklumat melalui kempen. Contohnya, televisyen merupakan media yang paling dekat dengan masyarakat. Pada umumnya setiap rumah di negara kita mempunyai set televisyen. Oleh itu televisyen wajar digunakan sebaik-baiknya untuk menyalurkan maklumat tentang langkah-langkah mengatasi pencemaran alam. Media-media lain seperti surat khabar dan radio juga wajar digunakan sepenuhnya untuk menjadi wadah kempen penjagaan alam sekitar. Selama ini kempen yang dilaksanakan tidak begitu berkesan. Pihak yang terbabit hanya melaksanakan kempen tidak ubah seperti pahat dengan penukul. Adakalannya kempen yang dilaksanakan bersifat aktiviti bermusim. Oleh yang demikian, kempen yang lebih berkesan dan dijalankan dengan bersungguh-sungguh dapat mengatasi masalah pencemaran alam sekitar.
Kesimpulannya, terdapat pelbagai langkah yang dikenal pasti dapat mengatasi masalah pencemaran alam sekitar jika dilaksanakan dengan penuh iltizam. Dalam hal ini, semua pihak perlulah bekerjasama untuk memastikan langkah-langkah yang dirancangkan dapat dilaksanakan dengan berkesan kerana alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan. Jika alam sekitar terus terabai, generasi akan datang pasti menghadapi masalah alam sekitar yang lebih buruk. Kerjasama dan kesungguhan semua pihak menyelesaikan masalah ini diharapkan dapat mengatasi gejala pencemaran alam dengan lebih berkesan.
(550 perkataan)

Tuesday, July 20, 2010

Rangka Karangan SPM

Sejak akhir-akhir ini pelbagai penyakit berbahaya sedang melanda masyarakat di negara kita. Pada pandangan anda, apakah peranan ibu bapa untuk menangai penularan penyakit berbahaya ini.

Pendahuluan

Sejak akhir-akhir ini masyarakat Malaysia dikejutkan dengan pelbagai jenis penyakit berbahaya. Hal ini telah membangkitkan kebimbangan semua pihak terutamanya ibu bapa yang bimbang akan keselamatan anak-anak mereka. Kerajaan telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk membendung dan menangani penularan penyakit berbahaya ini. Namun demikian, usaha gigih ini belum menampakkan hasil yang diharapkan. Jika dilihat secara tuntas, ibu bapa mempunyai peranan yang besar untuk mengekang penularan penyakit berbahaya ini.
Isi
i. Ibu bapa perlu memastikan persekitaran kawasan tempat tinggal b erada dalam keadaan bersih.
- tidak ada air yang bertakung - yang boleh menyebabkan nyamuk membiak
- sampah sarap dibuang ke tempat yang disediakan.
ii. Ibu bapa perlu mengingatkan anak-anak tentang kepentingan menjaga kebersihan dan kesihatan.
- Anak-anak diingatkan supaya membasuh tangan selalu.
- Tidak bermain di tempat-tempat yang kotor.
- Menggunakan sabun berubat untuk membersihkan diri.
iii. Ibu bapa perlu membawa ahli keluarga untuk mendapatkan rawatan sekiranya ada tanda-tanda jangkitan penyakit berbahaya.
- Mendapatkan rawatan di hospital yang bertauliah.
- Menempatkan ahli keluarga di wad untuk mendapat rawatan susulan.
- Ibu bapa selalu mendapatkan nasihat doktor tentang bahaya penyakit dan cara-cara menanganinya.
iv. Ibu bapa perlu peka dengan maklumat atau hebahan yang dibuat oleh pihak berkuasa.
- Mengingatkan anak-anak supaya memakai topeng muka.
- mendapatkan suntikan pencegahan di pusat kesihatan berdekatan.
- mengambil makanan yang dapat mengurangkan risiko serangan penyakit.
Kesimpulan
Kesimpulannya penularan penyakit berbahaya merupakan satu ancaman yang datang tanpa diundang. Ibu bapa dan seluruh masyarakat hendaklah sentiasa peka dengan perkembangan untuk bertindak kerana menyesal dahulu pendapatan menyesal kemudian tidak berguna. Semua pihak hendaklah menggemblengkan tenaga untuk menangani wabak penyakit berbahaya. Jika tidak seluruh keluarga akan mendapat musibah. Kerjasama semua pihak akan dapat menghindarkan seluruh masyarakat daripada menjadi mangsa penyakit berbahaya kerana mencegah itu lebih baik daripada mengubati.

Thursday, July 15, 2010

Panduan Merumus Bahasa Malaysia SPM

Saya memperkenalkan satu kata singkatan supaya mudah diingat apabila murid menjawab soalan rumusan. Singkatan tersebut ialah PASSTDAADK (Pandang Awang Senyum-senyum, Tengok Dahi Awang, Ada Daun Kering) Singkatan tersebut merupakan perkataan pertama bagi setiap baris rumusan termasuk penanda wacananya. Kaedah ini semua untuk mereka yang mahu menjimatkan masa dan malas nak fikir penanda wacana yang lain.

P = Petikan membincangkan
A = Antara (isi tersurat)
S = Selain itu
S = Seterusnya
T = Tambahan pula
D = Di samping itu
A = Akhirnya
A = Antara (isi tersirat)
D = Di samping itu
K = Kesimpulannya

Kaedah ini hanya sebagai panduan sahaja. Saya cipta untuk kegunaan murid-murid saya sahaja.

Thursday, July 1, 2010

Buku Ulasan Novel

Tulisan terkini saya bersama-sama Encik Ishak Abd Rahman. Buku ini dapat digunakan oleh guru dan murid-murid mata pelajaran Kesusasteraan Melayu Elektif. Sesiapa yang berminat hendak membeli boleh membuat tempahan secara online. Emel saya glateh@hotmail.com. Harga : RM8.60 termasuk bayaran pos.

Tuesday, May 18, 2010

Musim Peperiksaan

Musim peperiksaan datang lagi. Kebanyakan sekolah menjalankan peperiksaan pertengahan tahun 2010. Perkara yang menarik perhatian saya ialah kebocoran soalan peperiksaan. Persoalannya, adakah calon-calon berasa sangat seronok mendapat soalan bocor? Saya lihat ramai yang berasa sanngat teruja setelah mendapat soalan yang bocor. Pada saya, mendapat soalan bocor bukanlah sesuatu yang baik. Hal ini demikian kerana perkara ini tidak membantu calon dalam peperiksaan sebenarnya. Selain itu keupayaan calon tidak diuji secara yang sah. Tidak ada maknanya jika calon mendapat markah yang tinggi jika mereka mendapat soalan lebih awal.
Satu lagi persoalannya ialah pihak yang membocorkan soalan. Dalam peperiksaan dalaman seperti peperiksaan pertengahan tahun, siapakah yang membocorkan soalan jika bukan guru. Pihak yang begini sangat tidak bertanggungjawab. Saya tidak mahu mengulas panjang tetapi saya menyimpulkan guru yang membocorkan soalan ialah pengkhianat terhadap murid sendiri.

Tuesday, April 20, 2010

Petua untuk Membina Ayat

Membina ayat merupakan salah satu bahagian dalam kertas 2 Bahasa Malaysia SPM. Pada calon bahagian ini dilihat sebagai mudah. Namun, untuk membina ayat, sebenarnya bukanlah satu perkara yang mudah. Arahan soalan menyatakan ayat yang dibina itu hendaklah menunjukkan maksud perkataan atau ungkapan yang diberikan. Contohnya, apabila calon diminta membina ayat berdasarkan kata 'tegas'.
i. Cikgu Halil sangat tegas. Ayat tersebut betul dari aspek tatabahasanya, tetapi maksud yang diutarakan oleh ayat tersebut masih kabur dan tidak jelas. Oleh itu, ayat tersebut tidak boleh dianggap sebagai ayat yang baik. Sepatutnya;
ii. Cikgu Halil sangat tegas dalam membuat keputusan kerana setiap keputusan yang dibuat tidak mungkin akan diubah.
Ayat yang kedua menampakkan maksud kata 'tegas' itu apabila dikaitkan dengan ungkapan 'keputusan yang dibuat tidak akan diubah'.
Contoh seterusnya ialah perkataan 'berulang-alik'. Biasanya calon akan membina ayat seperti di bawah;
iii. Bapa berulang-alik ke Kuala Lumpur setiap hari.
Ayat iii itu betul dari aspek tatabahasanya tetapi tidak jelas dari aspek maksudnya. Oleh yang demikian calon mestilah memikirkan cara untuk menjelaskan maksud kata 'ulang-alik' dengan lebih jelas.
iv. Bapa berulang-alik ke Kuala Lumpur setiap hari kerana tidak ada tempat tinggal disediakan oleh pihak majikan untuknya.
Jadi, calon perlulah membina ayat yang panjang sedikit untuk membolehkan maksud kata diserlahkan. Adalah lebih baik calon menggunakan ayat majmuk supaya dapat memenuhi keperluan bahagian binaan ayat ini.

Thursday, April 15, 2010

Tulisan Saya dalam MInda Pelajar

Sejak Januari saya telah diberikan satu muka surat dalam sisipan Minda Pelajar terbitan akhbar Berita Harian. Terbitan kolum saya itu adalah pada hari Selasa setiap minggu. Saya memperkatakan aspek tatabahasa, panduan, tip, dialog, binaan ayat, dan sebagainya. Mudah-mudahan bahan tersebut dalam dimanfaatkan oleh murid-murid PMR dan SPM juga. Selamat membaca.