Diam tak diam, peperiksan awam semakin hampir. Anak-anak yang mengambil peperiksaan sudah tentu menumpukan perhatian yang penuh terhadap pelajaran. Pada saat-saat akhir ini, perkara yang dipelajari akan lebih berkesan. Oleh sebab itu sekolah-sekolah akan menganjurkan pelbagai program untuk meningkatkan prestasi murid.
Untuk calon-calon STPM, masa sekarang sangat sesuai untuk menjawab soalan-soalan tahun-tahun yang lalu dan juga soalan-soalan latihan mirip soalan peperiksaan sebenar. Cubalah cari seberapa banyak soalan latihan dan cuba menjawabnya. Kemudian semak jawapan yang dibuat dan buatlah penambahbaikan jika jawapan kurang memuaskan.
Semasa saya menduduki STPM dahulu (sebagai calon persendirian) saya telah menghabiskan dua bulan terakhir dengan menjawab soalan-soalan latihan. Setiap malam saya akan mula menelaah pelajaran bermula pukul 10.00 mlm hingga 2.00 pagi. Masa tersebut sangat sesuai untuk belajar. Khusus satu mata pelajaran untuk satu malam. InsyaAllah anda akan dapat menjawab soalan dengan baik.
Sama juga halnya dengan calon SPM. Tambahkan usaha pada masa-masa terakhir ini. Selalunya, belajar pada masa begini murid akan lebih cepat menguasai. Wujudkan kumpulan perbincangan. Bahagikan topik kepada ahli kumpulan. Semasa berbincang setiap ahli akan membentangkan dan mengajar rakan-rakan ahli yang lain. Cara ini bukan sahaja dapat membantu rakan-rakan tetapi dapat memantapkan pengetahuan dalam bidang tersebut.
Perkara yang penting diingat adalah jaga kesihatan agar dapat menjalani peperiksaan dengan sempurna.
No comments:
Post a Comment