Wednesday, November 5, 2008

Pelbagai Pandangan tentang Klimaks Novel

Dalam kajian novel Komponen Sastera dalam BM, terdapat pelbagai pandangan tentang klimaks novel kajian. Misalnya novel Meniti Kaca telah mencetuskan pelbagai pandangan tentang peristiwa yang diangkat sebagai klimaks. Mengikut pandangan awal saya, peristiwa watak utama iaitu Nazar berjaya memasuki sekolah berasrama penuh sebagai klimaknya. Pandangan ini berdasarkan tema novel iaitu kegigihan remaja berhadapan dengan pelbagai cabaran.
Namun demikian, setelah diteliti kembali, tema novel ini lebih tepat jika dikatakan sebagai cabaran-cabaran yang dihadapi oleh remaja dalam menempuh kehidupan. Oleh yang demikian, jika tema ini diambil kira, peristiwa yang paling tepat dianggap klimaks ialah peristiwa kematian ibu Nazar iaitu Mahyun. Pemergian ibu Nazar merupakan puncak cabaran yang dihadapi oleh remaja tersebut. Hal ini jelas jika dikaitkan dengan judul novel berkenaan iaitu Meniti Kaca yang melambangkan cabaran yang menyakitkan.
Jadi, dalam menentukan klimaks dalam novel aspek tema hendaklah dipastikan bertepatan dengan kandungan novel berkenaan. Kesilapan penentuan tema akan menjejaskan kajian aspek lain novel tersebut.

No comments: