Saturday, May 7, 2011

Karangan Contoh

Gejala ponteng sekolah masih menjadi masalah utama dalam sistem pendidikan di negara kita. Bincangkan punca-punca masalah ini berlaku.

Gejala ponteng sekolah dalam kalangan murid sekolah semakin menjadi-jadi sejak akhir-akhir ini. Hal ini telah mencetuskan kebimbangan yang berterusan dalam kalangan masyarakat terutamanya ibu bapa dan golongan pendidik. Pelbagai usaha telah dilaksanakan bagi memastikan gejala ini tidak menular. Namun demikian sehingga kini belum ada penyelesaian yang konkrit untuk mengatasi gejala ponteng sekolah. Sebenarnya, gejala ini berlaku akibat pelbagai punca yang dapat dikenal pasti.

         Salah satu punca yang menyebabkan gejala ponteng sekolah berlaku ialah murid-murid berkawan dengan remaja yang tidak lagi bersekolah. Sebagai seorang remaja murid sekolah memerlukan rakan sebaya untuk bersahabat. Pada peringkat perkembangan ini, rakan sebaya merupakan satu aspek penting yang dapat mempengaruhi kehidupan. Kecenderungan untuk bercampur gaul dengan rakan-rakan sebaya menyebabkan murid sekolah tidak berhati-hati dalam membuat pilihan rakan sebaya. Masalah akan timbul apabila murid sekolah berkawan dengan rakan sebaya yang sudah meninggalkan bangku sekolah. Golongan ini hanya menghabiskan masa dengan berfoya-foya tanpa tujuan. Apabila murid sekolah bergaul dengan golongan ini, mereka juga akan turut terikut-ikut dengan cara hidup tanpa tujuan ini. Akhirnya mereka akan ponteng sekolah untuk bersama-sama dengan rakan-rakan mereka yang tidak bersekolah . Oleh itu, jelaslah salah satu punca masalah ponteng sekolah ialah murid-murid sekolah berkawan dengan remaja yang tidak lagi bersekolah.

Punca masalah ponteng sekolah yang seterusnya ialah ibu bapa tidak mengambil berat terhadap anak-anak mereka yang masih bersekolah. Ibu bapa masa kini lebih mementingkan kerjaya kerana mahu meningkatkan taraf kehidupan. Mereka menghabiskan masa yang banyak untuk mencari kekayaan dan mengejar status. Mereka juga menyerahkan tanggungjawab menjaga anak-anak mereka kepada pihak sekolah. Anak-anak mereka pula sering diabaikan seperti anak ayam kehilangan ibu. Ibu bapa tidak memberikan kasih sayang yang sewajarnya diterima oleh anak-anak yang sedang membesar. Oleh sebab ibu bapa tidak begitu mengambil berat akan hal anak-anak, murid-murid sekolah mengambil peluang untuk melakukan apa-apa sahaja. Mereka berpendapat perlakuan mereka di luar rumah tidak akan diketahui oleh ibu bapa mereka. Jadi, sikap ibu bapa yang tidak mengambil berat tentang kebajikan anak-anak akan mencetuskan gejala ponteng sekolah dalam kalangan murid-murid.

Di samping itu, sikap masyarakat yang mementingkan diri sendiri turut menyebabkan gejala ponteng sekolah terus berleluasa. Masyarakat kita pada masa kini tidak lagi memiliki sikap tegur-menegur antara satu sama lain, apatah lagi untuk menegur anak-anak jiran yang didapati ponteng sekolah. Masyarakat mengamalkan cara hidup tidak ubah seperti enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing. Tiada lagi semangat kerjasama dan hubungan akrab antara anggota masyarakat, lebih-lebih lagi dalam kalangan masyarakat bandar. Oleh sebab masyarakat tidak mempunyai semangat kerjasama, masalah ponteng sekolah seolah-olah tiada penghujungnya. Murid-murid yang terlibat dengan gejala ini berasa bebas kerana kegiatan mereka tidak ditegur oleh sesiapa, termasuk orang-orang yang dikenali oleh mereka. Hal ini menyebabkan gejala ponteng terus menular. Oleh itu, nyatalah sikap masyarakat yang mementingkan diri turut mencetuskan gejala ponteng sekolah.

Kesimpulannya, terdapat pelbagai punca yang menyebabkan gejala ponteng sekolah berleluasa. Dalam hal ini, semua pihak hendaklah berganding bahu untuk membanteras gejala ini hingga ke akar umbi. Jika tidak gejala ponteng sekolah akan mencetuskan pelbagai masalah lain yang lebih buruk kesannya kerana kudis akan menjadi tokak jika tidak diubati. Kerjasama dan sikap prihatin masyarakat akan membantu pihak sekolah menangani gejala ponteng sekolah dengan lebih berkesan kerana generasi muda hari ini ialah pemimpin masa depan.

(540 perkataan)

Saturday, April 23, 2011

Kertas Model SPM 2011

Kertas Model SPM  Bahasa Malaysia 2011, terbitan Pearson Longman telah pun diterbitkan.  Buku ini saya tulis bersama-sama penulis-penulis tersohor dan hebat iaitu Encik Abdul Ghalib Yunus dan Aminhad.  Jika berminat, buku ini boleh dibeli di pasaran. 

Friday, April 22, 2011

Ceramah Teknik Menjawab Soalan BM Kertas 1




Saya telah dijemput untuk menyampaikan ceramah tentang teknik menjawab soalan kertas 1, Bahasa Malaysia SPM.  Peserta-peserta yang terlibat ialah murid-murid kelas aliran agama dari empat buah sekolah di Kuala Langat.  Saya harap ceramah tersebut dapat membantu calon-calon untuk menulis karangan dengan lebih baik dan menjawab keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan nanti.  InsyaAllah.

Monday, March 21, 2011

Sudah terbit. Esensi Bahasa Malaysia SPM

Buku Esensi Bahasa Malaysia SPM 2011 telah terbit dan berada di pasaran.  Buku ini khusus untuk calon-calon SPM dan sesuai juga untuk murid-murid tingkatan 4.  Dapatkan di pasaran.

Saturday, March 5, 2011

Sinopsis Novel Kabus di Perbukitan

Faridah, berpisah dengan adik kembarnya Rahayu apabila bapa dan ibunya bercerai. Rahayu yang belajar di UPM mencerita akibat penyakit lukemia. Faridah mengalami kemalangan jalan raya dan hilang di kawasan tanah tinggi menghala ke Raub. Mejar (B) Kamarudin telah mengambil keputusan untuk mencari anaknya Faridah di kawasan Bukit Kutu. Mereka mendapat petunjuk melalui Rahayu yang sering mengigau tentang kakaknya Faridah.

Kehilangan Faridah sangat misteri dan akhirnya ditemukan dengan bantuan orang asli Temuan. Semasa koma, Faridah seolah-olah dapat berhubung dengan adik kembarnya. Rahayu meninggal dunia ketika melawat Faridah. Selepas itu Faridah sedar daripada komanya. Kematian Rahayu meninggalkan kesan mendalam terhadap ibunya Salmah.

Faridah berkahwin dengan Ghazali, namun Ghazali telah meninggal dunia akibat terlibat dalam kemalangan jalan raya. Faridah telah berpeluang untuk berkursus di New Zealand selama enam bulan. Selepas tamat kursus Faridah menetap di New Zealand dan berkahwin dengan Soleh Johnsons, seorang hartawan New Zealand. Faridah dikurniakan sepasang anak kembar iaitu Melina dan Anne. Melina telah berkahwin dengan Benny, seorang hartawan keturunan Arab yang suka belayar. Akhirnya Melina mengikut suaminya menetap di Marang kerana Benny bekerja di syarikat milik keluarganya dalam perusahaan penerokaan minyak di luar pantai Terengganu.

Benny telah berkawan dengan seorang ekstremis agama iaitu Mohamed Attar dan nyaris ditangkap oleh pihak polis antarabangsa. Benny melarikan diri dan pulang ke Dubai. Melina ditinggalkan tanpa berita. Akhirnya mereka bertemu kembali apabila Soleh dan Melina pergi ke Dubai. Benny mengambil keputusan untuk menetap di Dubai bersama-sama Melina kerana dia tidak selamat untuk keluar dari negara kelahirannya itu.

Anne pula berkenalan dengan Zain, iaitu anak Datuk Azrul. Datuk Azrul merupakan bekas teman lelaki arwah Rahayu semasa di universiti. Akhirnya ketika urusan pertunangan, barulah Faridah tahu bahawa Zain itu anak Datuk Azrul. Hubungan kekeluargaan kembali terjalin. Faridah kembali ke kampung halamannya di Sungai Besar setelah meninggalkannya selama 25 tahun.

Soleh Johnson telah bekerjasama dengan Datuk Azrul untuk mengusahakan kawasan tanah tinggi Lojing sebagai kawasan agropelancongan. Usaha mereka sangat berjaya. Faridah tinggal di Cameron Highland. Walaupun sudah lama berada di luar negara, Faridah tetap tidak lupa akan tanah airnya. Anne dan Zain menetap di New Zealand untuk menguruskan perniagaan Soleh di sana.

Tuesday, February 15, 2011

Persoalan novel Kabus di Perbukitan

1. Persoalan tentang hubungan istimewa antara saudara kembar. Faridah dan Rahayu mempunyai hubungan yang istimewa walaupun mereka terpisah akibat perpecahan keluarga.


2. Persoalan tentang identiti bangsa tidak akan hilang walaupun telah lama meninggalkan tanah air. Faridah tetap menjaga jati dirinya sebagai seorang Melayu walaupun tidak kembali ke tanah air selama 25 tahun.

3. Persoalan tentang takdir Tuhan mengatasi segala-galanya. Azrul merancang untuk mendirikan rumah tangga dengan Rahayu tetapi tidak kesampaian apabila Rahayu meninggal dunia akibat penyakit lukemia.

4. Persoalan tentang kegiatan ekstremis yang mendatangkan masalah kepada masyarakat. Mohamed Attar merupakan seorang ekstremis yang cuba mempengaruhi Benny agar ikut serta dalam perjuangan jihadnya.

5. Persoalan tentang kesederhaan orang Melayu dalam apa-apa sahaja tindakan dan perlakuan. Haji Awang dan Ustaz Hassan Syukri sentiasa bersikap sederhana dalam menyemarakkan syiar Islam.

Sunday, February 6, 2011

Persoalan-persoalan dalam novel Kembara Amira

i. Persoalan tentang kepakaran kaum wanita dalam bidang-bidang profesional. Profesor Zaidah mengetuai projek cari gali arkeologi di Bukit Mat Raya.


ii. Persoalan tentang penggunaan masa cuti dengan cara yang berfaedah. Amira bersama Jacinta ke Bukit Mat Raya membantu ibunya, Profesor Zaidah yang mengetuai cari gali bahan artifak yang tinggi nilainya di samping memastikan kehijauan hutan dikekalkan daripada pembalakan dan pengusaha cari gali emas.

iii. Persoalan tentang sikap seorang anak yang tidak dapat menerima hakikat kehadiran ibu tiri. Jacinta tidak dapat menerima kenyataan yang ayahnya kahwin semula.

iv. Persoalan tentang kehebatan orang asli dalam ikhtiar hidup dan kelangsungan hidup di hutan. Itai dan Tau dapat menggunakan herba sebagai ubat-ubatan yang mujarab.

v. Persoalan tentang sikap prihatin dan kesanggupan menghadapi cabaran untuk menyelamatkan orang yang dikenali. Amira dengan dibantu Itai, Jacinta, Pak Lias, dan Roslan menghadapi cabaran mendaki Gunung Gua Gajah untuk menyelamatkan Malique yang diculik oleh lembaga yang berbulu beruang.

vi. Persoalan tentang penyesalan seorang ibu kerana mengabaikan perasaan anaknya. Profesor Zaidah menyesali akan sikapnya yang kurang memberi perhatian terhadap Amira setelah Amira hampir lemas.

vii. Persoalan tentang sikap masyarakat yang tidak menerima perbezaan warna kulit. Orang asli tidak menerima Ipah dalam masyarakatnya kerana Ipah berkulit putih dan bermata biru sehingga menyebabkan dirinya dipulaukan.