Gejala ponteng sekolah dalam kalangan murid sekolah semakin menjadi-jadi sejak akhir-akhir ini. Hal ini telah mencetuskan kebimbangan yang berterusan dalam kalangan masyarakat terutamanya ibu bapa dan golongan pendidik. Pelbagai usaha telah dilaksanakan bagi memastikan gejala ini tidak menular. Namun demikian sehingga kini belum ada penyelesaian yang konkrit untuk mengatasi gejala ponteng sekolah. Sebenarnya, gejala ini berlaku akibat pelbagai punca yang dapat dikenal pasti.
Salah satu punca yang menyebabkan gejala ponteng sekolah berlaku ialah murid-murid berkawan dengan remaja yang tidak lagi bersekolah. Sebagai seorang remaja murid sekolah memerlukan rakan sebaya untuk bersahabat. Pada peringkat perkembangan ini, rakan sebaya merupakan satu aspek penting yang dapat mempengaruhi kehidupan. Kecenderungan untuk bercampur gaul dengan rakan-rakan sebaya menyebabkan murid sekolah tidak berhati-hati dalam membuat pilihan rakan sebaya. Masalah akan timbul apabila murid sekolah berkawan dengan rakan sebaya yang sudah meninggalkan bangku sekolah. Golongan ini hanya menghabiskan masa dengan berfoya-foya tanpa tujuan. Apabila murid sekolah bergaul dengan golongan ini, mereka juga akan turut terikut-ikut dengan cara hidup tanpa tujuan ini. Akhirnya mereka akan ponteng sekolah untuk bersama-sama dengan rakan-rakan mereka yang tidak bersekolah . Oleh itu, jelaslah salah satu punca masalah ponteng sekolah ialah murid-murid sekolah berkawan dengan remaja yang tidak lagi bersekolah.
Punca masalah ponteng sekolah yang seterusnya ialah ibu bapa tidak mengambil berat terhadap anak-anak mereka yang masih bersekolah. Ibu bapa masa kini lebih mementingkan kerjaya kerana mahu meningkatkan taraf kehidupan. Mereka menghabiskan masa yang banyak untuk mencari kekayaan dan mengejar status. Mereka juga menyerahkan tanggungjawab menjaga anak-anak mereka kepada pihak sekolah. Anak-anak mereka pula sering diabaikan seperti anak ayam kehilangan ibu. Ibu bapa tidak memberikan kasih sayang yang sewajarnya diterima oleh anak-anak yang sedang membesar. Oleh sebab ibu bapa tidak begitu mengambil berat akan hal anak-anak, murid-murid sekolah mengambil peluang untuk melakukan apa-apa sahaja. Mereka berpendapat perlakuan mereka di luar rumah tidak akan diketahui oleh ibu bapa mereka. Jadi, sikap ibu bapa yang tidak mengambil berat tentang kebajikan anak-anak akan mencetuskan gejala ponteng sekolah dalam kalangan murid-murid.
Di samping itu, sikap masyarakat yang mementingkan diri sendiri turut menyebabkan gejala ponteng sekolah terus berleluasa. Masyarakat kita pada masa kini tidak lagi memiliki sikap tegur-menegur antara satu sama lain, apatah lagi untuk menegur anak-anak jiran yang didapati ponteng sekolah. Masyarakat mengamalkan cara hidup tidak ubah seperti enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing. Tiada lagi semangat kerjasama dan hubungan akrab antara anggota masyarakat, lebih-lebih lagi dalam kalangan masyarakat bandar. Oleh sebab masyarakat tidak mempunyai semangat kerjasama, masalah ponteng sekolah seolah-olah tiada penghujungnya. Murid-murid yang terlibat dengan gejala ini berasa bebas kerana kegiatan mereka tidak ditegur oleh sesiapa, termasuk orang-orang yang dikenali oleh mereka. Hal ini menyebabkan gejala ponteng terus menular. Oleh itu, nyatalah sikap masyarakat yang mementingkan diri turut mencetuskan gejala ponteng sekolah.
Kesimpulannya, terdapat pelbagai punca yang menyebabkan gejala ponteng sekolah berleluasa. Dalam hal ini, semua pihak hendaklah berganding bahu untuk membanteras gejala ini hingga ke akar umbi. Jika tidak gejala ponteng sekolah akan mencetuskan pelbagai masalah lain yang lebih buruk kesannya kerana kudis akan menjadi tokak jika tidak diubati. Kerjasama dan sikap prihatin masyarakat akan membantu pihak sekolah menangani gejala ponteng sekolah dengan lebih berkesan kerana generasi muda hari ini ialah pemimpin masa depan.
(540 perkataan)
No comments:
Post a Comment