Soalan novel Komsas merangkumi 15 markah. Banyak tu! Jadi anak-anak perlu memastikan agar anak-anak mendapat markah tinggi. Salah satu cara untuk menguasai bahagian ini adalah dengan mengingati beberapa peristiwa penting dalam novel. Sekurang-kurang anda perlu ingat DUA peristiwa penting. Hal ini demikian daripada peristiwa tersebut, berbagai-bagai soalan dapat dijawab.
Sebagai contoh, peristiwa Hilmi sedang sakit tenat di hospital (Novel Konserto Terakhir) dapat digunakan untuk menjawab pelbagai bentuk soalan. Antaranya termasuklah soalan tentang latar, nilai, persoalan, perwatakan, pengajaran, dan sebagainya. Jika soalan tentang latar anda gunakan latar wad hospital sebagai jawapan, jika soalan tentang nilai, ketengahkan nilai kasih sayang atau nilai keinsafan wataknya. Soalan tentang pengajaran juga dapat digarap melalui peristiwa tersebut. Malah apa-apa sahaja soalan dapat dijawab dengan berdasarkan peristiwa yang sama.
Jika novel Julia, ambil peristiwa pertemuan Julia dengan Jun di tanah perkuburan sebagai peristiwa utama. Banyak perkara yang dapat diambil daripada peristiwa tersebut seperti nilai kasih sayang, latar tempat, pengajaran, perwatakan Julia, dan lain-lain.
Begitu juga dengan novel-novel lain. Yang penting anda kaji peristiwa tersebut dengan mendalam dan ingat butir-butirnya dengan baik. Selamat maju jaya!
Saya kurang mengemas kini blog ini kerana terlau sibuk untuk mengumpulkan bahan yang sesuai. Namun saya tetap akan memasukkan beberapa bahan pengajaran yang dapat dikongsikan dengan pengunjung-pengunjung blog ini. Hal ini demikian kerana blog ini lebih bersifat akademik dan memerlukan bahan yang bersifat akademik juga.
Selepas ini saya akan masukkan bahan tentang kaedah pengajaran dan pembelajaran KOMSAS untuk dibaca dan dikomen oleh rakan-rakan pengunjung blog.
Hasrat Kementerian Pelajaran Malaysia untuk mengehadkan 10 mata pelajaran bagi calon Sijil Pelajaran Malaysia mencetuskan pelbagai reaksi dan pandangan.Sebagai seorang pendidik, saya juga terpanggil untuk menyuarakan pandangan saya dalam hal ini.Bagi saya, cadangan tersebut merupakan satu transformasi yang wajar diterima dengan positif.Sistem pendidikan negara ini telah melalui pelbagai perubahan sebelum ini.Sebagai satu entity yang dinamik kita tidak harus berasa janggal untuk membuat perubahan.
Mengikut dasar yang dicadangkan, hanya empat subjek akan diangkat sebagai subjek teras.Hal ini telah membimbangkan banyak pihak kerana beberapa subjek penting juga akan tercicir daripada senarai subjek teras tersebut.Untuk mengatasi masalah ini saya mencadangkan pakej mata pelajaran diwujudkan seperti berikut, iaitu subjek teras, subjek subteras, dan subjek elektif.Bagi murid-murid mereka diperlukan mengambil empat teras, dua subteras, dan dua elektif untuk memenuhi kuota 10 subjek dalam peperiksaan.
Subjek teras hendaklah dirombak daripada subjek-subjek yang ada sekarang.Empat subjek teras cadangan saya ialah Bahasa dan Kesusasteraan Melayu, Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris, Kenegaraan Malaysia (yang terdiri daripada sejarah dan tamadun bangsa), dan Pendidikan Insaniah (yang terdiri daripada Pendidikan Agama Islam, Pendidikan Moral, dan Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan).
Subjek subteras pula hendaklah dipakejkan dalam bentuk dua subjek satu pakej.Misalnya Fizik dan Kimia,Biologi dan Sains Am,Perdagangan dan Perakaunan, Matematik Moden dan Matematik Tambahan, Sains Komputer dan ICT, Geografi dan Pendidikan Alam Sekitar, dan subjek-subjek lain yang berada dalam kategori yang sama.Sementara itu subjek elektif pula terdiri daripada subjek seperti Pendidikan Seni, Sains Pertanian, Kemahiran Hidup, Tasawur, Syariah, dan lain-lain. Dengan cara ini murid dapat menjuruskan hala tuju mereka dengan mengambil subjek yang ada kaitan dengan kursus-kursus yang ditawarkan di institusi pengajian tinggi. Cara ini juga dapat mengembangkan potensi murid dalam bidang yang digemari oleh mereka.
Dalam usaha memartabatkan bahasa dan kesusasteraan Melayu, dua subjek iaitu Bahasa Malaysia dan Kesusasteraan Melayu digabungkan.Kaedah bahan kesusasteraan hanya sebagai komponen juga perlu dirombak dengan menitikberatkan aspek penghayatan dan aplikasi kesusasteraan dalam memupuk jati diri generasi muda.Kesusasteraan tidak harus dilihat sebagai bahan pemahaman semata-mata tetapi sebagai pelahiran bakat dan penghayatan nilai murni yang terkandung dalam bahan-bahan sastera itu sendiri.Oleh sebab Bahasa Inggeris dianggap sebagai bahasa global dan teknologi, subjek ini juga diangkat sebagai teras untuk menggantikan PPSMI yang semakin hangat dibantah.Dalam hal ini bahasa dan kesusasteraan Inggeris wajar dilihat sebagai satu kaedah untuk meningkatkan penguasaan bahasa tersebut.
Subjek kenegaraan pula melibatkan aspek sejarah dan tamadun bangsa Malaysia.Di peringkat institusi pengajian tinggi subjek ini telah pun diajarkan, jadi tidak menjadi masalah kepada penggubal kurikulum untuk merendahkan tahapnya bagi disesuaikan dengan peringkat umur remaja belasan tahun.Untuk menambahkan penerapan jati diri, subjek Pendidikan Insaniah dicadangkan yang merangkumi Pendidikan Agama Islam bagi murid yang beragama Islam, Pendidikan Moral dan Pendidikan Sivik disatukan untukmurid bukan Islam.Melalui subjek ini aspek penerapannilai insaniah dititikberatkan bagi melahirkan generasi muda yang berjati diri dan modal insan yang syumul.
Subjek subteras yang dicadangkan pula perlu diperhalusi bagi membolehkan penyebarannnya seimbang dan menjurus ke arah kursus-kursus yang ditawarkan di university. Pihak Kementerian Pelajaran mempunyai kepakaran untuk menyusun perkara ini agar relevan dengan keperluan masa kini dan masa hadapan.Bagi subjek elektif pula murid diberikan kebebasan sepenuhnya untuk membuat pilihan agar dapat membantu mereka lulus dengan baik dalam peperiksaan. Malahan murid juga diberikan kebenaran jika tidak berminat untuk mempelajari pakej elektif. Hal ini kerana mereka akan mengambil sekurang-kurangnya lapan subjek iaitu subjek teras dan subjek subteras.
Kesimpulannya, cadangan untuk mengehadkan subjek dalam peperiksaan SPM perlu dillihat secara kritis dan positif.Dengan pelaksanaan cadangan ini, semua murid akan menduduki peperiksaan yang agak seimbang iaitu antara lapan hingga 10 subjek.Sekarang ini keadaannya amat tidak seimbang. Ada calon yang mengambil tujuh subjek sahaja dan ada pula yang mengambil lebih daripada 20 subjek.
Terdapat banyak blog yang dibangunkan oleh guru-guru Bahasa Melayu di negara ini. Perkembangan ini amat baik bagi membantu murid dan guru lain mendapat input tentang proses pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu. Antara blog yang boleh kita lawati ialah blog Cikgu Ghalib, Guru Cemerlang Cikgu Khir Kassim, Cikgu Zaki, Cikgu Razak (sekadar meyebut beberapa nama). Blog-blog dapat dimanfaatkan kerana memaparkan banyak perkara, panduan, dan soal jawab tentang Bahasa Melayu. Penghargaan juga wajar diberikan kepada Cikgu Ghalib yang mengambil inisiatif menghantarkan bahan-bahan tatabahasa kepada sesiapa sahaja yang berminat dengan Bahasa Melayu.
Bermula tahun 2010, mata pelajaran Bahasa Melayu akan menggunakan bahan komsas yang baharu bagi tingkatan 1 dan tingkatan 4. Kita perlu menunggu hingga tahun depan untuk mengetahui bahan-bahan baharu ini. Walau bagaimanapun, kita berharap bahan-bahan ini lebih baik, lebih berkesan, dan lebih mudah untuk diajarkan oleh guru-guru yang terlibat.
Saya menngucapkan tahniah kepada murid-murid saya yang telah menunjukkan kehebatan dalam SPM 2008. Keputusan SPM 100% merupakan sejarah sekolah yang tidak pernah dicapai sebelum ini. Khususnya bagi kelas-kelas yang saya ajar, anda telah melakukan yang terbaik dengan keputusan yang sangat cemerlang.
Begitu juga murid-murid STPM saya yang mencapai 99 % kelulusan. Saya berdoa kalian akan terus melakar kejayaan. InsyaAllah.
Novel Terminal Tiga dikarang oleh Othman Puteh.Beliau dilahirkan di Kampung Kuala, Kuala Sungai Baru, Melaka pada 4 Januari 1944.
Beliau meneruskan pelajaran di Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim.Setelah tamat latihan keguruan pada tahun 1964, beliau ditugaskan mengajar di beberapa buah sekolah.Semasa bertugas sebagai guru, beliau telah berusaha untuk belajar sehingga mendapat ijazah Doktor Falsafah dalam bidang kesusasteraan pada tahun 1992.Dengan kelulusan itu, beliau telah memegang jawatan sebagai pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia. <>Dalam bidang penulisan, Othman Puteh memang terkenal sebagai nama yang besar. Beliau menghasilkan karya dalam pelbagai bidang, terutamanya dalam bidang sastera remaja.Novel dan cerpen beliau banyak berkisar tentang kehidupan remaja.Beliau juga banyak memberi bimbingan kepada penulis-penulis baharu yang ingin menceburkan dalam bidang penulisan.
<>
<>Beliau menerima pelbagai hadiah, penghargaan, dan pengiktirafan dalam bidang kesusasteraan.Antaranya ialah Hadiah Karya Sastera 1974,Hadiah Sastera Utusan Melayu-Public Bank, dan sebagainya.Pada tahun 1998, Othman Puteh merupakan penulis Malaysia yang ke-20 menerima anugerah SEA Write Award daripada kerajaan Thai.
SETEGUH KARANG
<>Novel Seteguh Karang ditulis oleh Tuan Faridah Syed Abdullah.Beliau dilahirkan di Dungun Terengganu pada 21 November 1967.Beliau mendapat pendidikan awal di Terengganu dan melanjutkan pelajaran di Institut Teknologi Mara cawangan Perlis.Kemudian meneruskan pengajian di ITM, Shah Alam sehingga mendapat ijazah Sarjana Muda Perakaunan.
Beliau memulakan kerjaya sebagai Eksekutif Akaun dan Pegawai Tadbir di beberapa firma.Beliau kemudian mengikuti kursus Diploma Pendidikan di Maktab Perguruan Batu Pahat, pada tahun 1997.Kini beliau bertugas sebagai seorang pendidik di Kuala Terengganu.
Beliau telah melibatkan diri dalam dunia penulisan sejak di bangku sekolah.Beliau juga pernah mengikutiBengkel Penulisan Remaja anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka. Antara novel-novel beliau termasuklah Pada Garis Perkenalan (1989),Indarti (1993),dan Harapan Masih Bersemi (1993).Novel Seteguh Karang pernah memenangi tempat kedua dalam Peraduan Menulis Novel Remaja 1990.
PUTERA GUNUNG TAHAN
<>Novel Putera Gunung Tahan dikarang oleh Ishak Haji Muhammad. Beliau lebih dikenali dengan nama samarannya Pak Sako.Beliau dilahirkan pada bulan September 1909 di Kampung Bukit Siguntang, Temerloh, Pahang.Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Kampung Tengah, Temerloh. Kemudian beliau melanjutkan pelajaran di Sekolah Inggeris Clifford, Kuala Lipis pada tahun 1924 – 1930.
Beliau melanjutkan pelajaran di Maktab Melayu Kuala Kangsar.Pada 1931 beliau memulakan tugas sebagai pegawai dalam latihandi Pejabat Daerah Temerloh.Beliau juga pernah bertugas sebagai majistret di Kuala Lumpur sehingga tahun 1935.Beliau meletak jawatan majistret dan menjadi guru bahasa kepada pegawai-pegawai Inggeris.
Beliau mula menceburi bidang penulisan semasa mengembara seluruh tanah air. Beliau pernah bertugas dengan Warta Melayu di Singapura, Utusan Melayu dan pernah menjadi Ketua Pengarang akhbar Berita Malai semasa pendudukan Jepun. Beliau juga seorang yang aktif dalam bidang politik.
Antara novel-novel beliau termasuklah Putera Gunung Tahan (1938),Anak Mat Lela Gila (1941),Jalan ke Kota Bharu (1956),Budak Beca (1957),Judi Karan (1958), dan lain-lain.Beliau juga menghasilkan beberapa kumpulan cerpen seperti Segar (1961), Dongeng Merdeka (1985), dan beberapa buah antologi bersama.
Untuk menghargai jasa beliau dalam bidang kesusasteraan, Pak Sako dikurniakan beberapa anugerah. Pada tahun 1976 beliau diberikan anugerah Pejuang Sastera.Beliau juga dianugerahi Ijazah Kehormat Doktor Kesusasteraan pada tahun 1973.Beliau meninggal dunia pada tahun 1991.
PERLUMBAAN KEDUA
<> Novel ini dikarang oleh Marwilis bin Haji Yusof. Beliau dilahirkan di Ulu Bernam, Selangor pada 5 Jun 1944.Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Setapak.Kemudian beliau meneruskan pelajaran di Sekolah Rendah Cina Lee Rubber.Seterusnya beliau melanjutkan pelajaran di Sekolah Menengah Chong Hwa, Jalan Gombak sehingga lulus peperiksaan Senior Middle Three. Pendidikan tertinggi beliau ialah Sijil Tinggi Persekolahan.
Dalam bidang kerjaya pula, beliau pernah menjadi guru. Beliau juga pernah menjadi kerani di sebuah institusi kewangan.Beliau kemudian menjadi wartawan di Utusan Melayu.Ketika menjadi wartawan, beliau mula melibatkan diri dalam bidang penulisan.
Marwilis juga pernah menjadi Setiausaha Akhbar kepada Dato’ Harun Idris.Pada tahun 1977, beliau dilantik menjadi Setiausaha Akhbar kepada Timbalan Perdana Menteri ketika itu. Dato’ Musa Hitam. Pada tahun 1982, beliau telah menjadi wakil rakyat setelah memenangi pilihan raya.Beliau dilantik menjadi Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Selangor selama sepenggal hingga tahun 1986.Selepas itu beliau membuka perniagaan sendiri.
Antara karya-karya Marwilis termasuklah novel Izin Dalam Paksa, Jalan Seribu Kirai, Bukan Kail Kita Yang Dinantikan,Terbuang Tapi Terbilang, Buai Diayun Anak Dicubit, Bila Rindu Berputik, Bila Kompang Berbunyi, dan lain-lain. Beliau pernah menerima hadiah penghargaan melalui novelBila Kompang Berbunyi, iaitu pertandingnan sempena ulang tahun GAPENA 30 tahun.