Wednesday, June 18, 2014

Meringkaskan petikan (GCE O Level Brunei Darussalam)

Meringkaskan petikan.
Panduan membuat ringkasan.
Kemahiran membuat ringkasan memerlukan awda mengesan isi tersurat yang terdapat dalam petikan yang diberikan.  Oleh yang demikian, awda perlu membaca keseluruhan petikan untuk memahami keseluruhan isi petikan.  Apabila awda memahami keseluruhan maksud petikan, barulah awda dapat membezakan isi-isi tersurat dengan huraian dan contohnya.  Harus diingat bahawa huraian dan contoh tidak perlu dimasukkan ke dalam ringkasan kerana jumlah perkataan biasanya telah ditetapkan.  Untuk mengelakkan ringkasan melebihi jumlah perkataan awda perlu memilih hanya isi penting atau isi tersurat sahaja.
            Isi tersurat dalam petikan selalunya dipaparkan sebayat ayat topik dalam perenggan isi. Namun demikian, isi tersurat tidak semestinya ditulis sebagai ayat pertama dalam setiap perenggan.  Kemahiran mengesan isi tersurat dapat dikuasai melalui latihan yang berterusan.  Ketika membaca petikan, garisi isi tersurat secara keseluruhan. Setelah lengkap semuanya, tulis kembali isi-isi tersurat dalam satu perenggan. 
            Proses pemurnian hendaklah dilakukan iaitu dengan menambah dan mengurangkan perkataan. Selain itu aspek tatabahasa hendaklah dimurnikan agar ringkasan tersebut bukan sahaja tepat isinya, malahan juga mematuhi rumus-rumus tatabahasa bahasa Melayu yang standard.


Soalan tahun 2010
Baca petikan berikut dengan teliti kemudian ringkaskan hingga menjadi kira-kira 100 patah perkataan sahaja. Penggunaan kata-kata kamu sendiri dalam susunan maksudnya yang asal akan diberi perhatian utama dalam pemarkahan.
[40 markah]
Salah satu budaya yang dimiliki oleh bangsa yang maju di dunia ialah budaya menegur. Budaya menegur ini ialah budaya yang menggalakkan anggota masyarakatnya menegur antara satu sama lain dengan tujuan untuk memperbaiki keadaan. Dalam budaya Melayu, perkataan tegur-menegur bermaksud bersapa dan saling bercakap. Tegur-menegur bermaksud saling bercakap dengan tujuan untuk memberikan nasihat dan tunjuk ajar.
Budaya tegur-menegur dapat dikaitkan dengan kehidupan berkomuniti, kehidupan berkampung dan kehidupan berjiran yang dapat membentuk perpaduan dalam sistem perhubungan sosial Melayu. Jadi, apabila orang Melayu menegur kelakuan seseorang, bukanlah bertujuan untuk menimbulkan perselisihan, tetapi untuk menasihati seseorang itu.
Dalam budaya tegur-menegur ini, orang yang menegur seharusnya mempunyai kelayakan ilmu dan mempunyai moral yang dapat diteladani oleh pihak yang ditegur. Selain itu, tidak ada proses tegur-menegur jikalau pihak yang menegur bersikap bahawa hanya pendapatnya sahaja yang betul, manakala pendapat orang yang ditegurnya salah. Oleh itu, dalam bahasa Melayu, ungkapan tegur-menegur membayangkan ciri interaksi antara kedua-dua belah pihak. Melalui proses ini, pihak yang menegur juga dapat belajar daripada pihak yang ditegur.
Bagaimana pun, budaya ini berbeza dengan amalan mengutuk dan memberi pandangan kritis. Budaya mengutuk bercanggah dengan prinsip agama sementara pandangan kritis dianggap lebih menjurus kepada profesionalisme dan akan menjejaskan keputusan yang dibuat oleh pihak yang berkuasa.
Amalan menegur ini sudah lama wujud di alam Melayu dan dilakukan secara halus, tersirat, bertatatertib, beradat dan berakal budi. Mereka menggunakan kiasan, perumpamaan, sindiran, tamsil dan ibarat termasuk bahasa berlapik sehingga kesannya dapat meresap ke dalam jiwa orang yang ditegur.
Namun begitu, tidak bermakna orang Melayu tidak ada keberanian menegur secara berterus-terang. Dalam masyarakat Melayu lama, terbukti bahawa orang bawahan berani mencabar raja-raja Melayu yang melanggar adat Melayu.
Oleh itu, budaya ini mesti dihidupkan semula bagi memperbaiki kesilapan yang dilakukan oleh sesuatu pihak dalam usaha kita memajukan masyarakat. Jika orang Melayu yang prihatin dan berkelayakan tidak membuat teguran, lama-kelamaan kesilapan demi kesilapan yang dilakukan akan memusnahkan masa depan bangsa sendiri.

Jawaban contoh:
Budaya menegur ialah budaya yang menggalakkan anggota masyarakat menegur antara satu sama lain. Tegur-menegur bermaksud saling bercakap dengan tujuan untuk memberikan nasihat dan tunjuk ajar. Budaya tegur-menegur dapat dikaitkan dengan kehidupan berkomuniti, kehidupan berkampung dan kehidupan berjiran. Orang yang menegur seharusnya mempunyai kelayakan ilmu dan mempunyai moral yang dapat diteladani. Budaya ini berbeza dengan amalan mengutuk dan memberi pandangan kritis. Amalan menegur dilakukan secara halus, tersirat, bertatatertib, beradat dan berakal budi. Namun, dengan budaya ini tidak bermakna orang Melayu tidak ada keberanian menegur secara berterus-terang.  Budaya ini mesti dihidupkan semula bagi memperbaiki kesilapan yang dilakukan oleh sesuatu pihak.  (98 perkataan)


No comments: