Thursday, June 19, 2014

Bina ayat merupakan satu komponen dalam kertas peperiksaan Bahasa Melayu GCE O Level bagi murid-murid Negara Brunei Darussalam.  Bahagian ini menghendaki calon membina ayat berdasarkan perkataan-perkataan yang diberikan sama ada untuk menunjukkan calon  faham akan makna perkataan tersebut atau membezakannya dengan perkataan-perkataan lain serta konteks pengunaan yang berlainan. Bahagian bina ayat memerlukan calon faham akan makna perkataan dan menyerlahkannya dalam ayat yang dibina.  Namun demikian, binaan ayat bukan sekadar memasukkan perkataan dalam ayat, tetapi juga calon perlu memastikan binaan tersebut mampu menerangkan makna perkataan yang diberikan. 

 Sebagai contoh, soalan Bahasa Melayu Mei/Jun 2010 mengutarakan soalan seperti yang berikut:

Bina satu ayat bagi tiap-tiap perkataan di bawah untuk menunjukkan perbezaan makna.

(i)                  menarik
(ii)                menarik diri
(iii)               menarik perhatian
(iv)              menarik hati
(v)                menarik minat.

a.       Penampilannya sangat menarik.
b.      Penampilannya sangat menarik setelah menghadiri kursus peningkatan jati diri.

Kedua-dua ayat di atas memasukkan perkataan ‘menarik’. Walau bagaimanapun ayat (b)  adalah lebih baik kerana menerangkan perkataan ‘menarik’ dan kaitannya dengan perkata yang mewujudkan konsep ‘menarik’ itu.

c.       Ahmad menarik diri daripada mewakili pasukan olahraga sekolah.
d.      Ahmad menarik diri daripada mewakili pasukan olahraga sekolah kerana dia mengalami kecederaan semasa latihan.

Ayat (d)  lebih baik kerana menerangkan konsep menarik diri dan dikaitkan dengan puncanya. Dalam perkataan lain, calon mestilah membina ayat majmuk agar maksud perkataan atau ungkapan lebih jelas dan mudah difahami.

e.      Sally cuba menarik perhatian majikannya.
f.        Sally cuba menarik perhatian majikannya dengan berpakaian cantik setiap hari.

Ayat (f)  lebih jelas maksudnya kerana mengaitkan cara untuk menarik perhatian.

g.       Tingkah lakunya sangat menarik hati.
h.      Tingkah lakunya sangat menarik hati kerana dia sering tersenyum dan mudah mesra.

Ayat (h)  lebih jelas maksudnya kerana ungkapan menarik hati dikaitkan dengan perlakuan si pelakunya.

i.         Laman sosial menarik minat ramai remaja.
j.        Laman sosial menarik minat ramai remaja kerana mereka dapat berinteraksi secara atas talian di mana-mana dan bila-bila sahaja.
Ayat (j)  lebih jelas maksudnya kerana ungkapan ‘menarik minat’ dikaitkan dengan perkara yang menjadi punca fenomena tersebut.



Kesimpulannya, bina ayat memerlukan calon menulis ayat majmuk yang dapat menjelaskan maksudnya atau membezakan makna perkataan atau ungkapan dengan pasangan-pasangan yang lain.  Calon-calon hendaklah membiasakan diri dengan menulis ayat yang lengkap dan gramatis untuk memastikan tidak ada markah yang dipotong daripada bahagian ini.

No comments: