Thursday, October 20, 2011

Latar Masyarakat dan Pengajaran dalam Interlok

(a) Huraikan dua latar masyarakat yang terdapat dalam salah satu novel yang anda kaji. [7 markah]

(b) Huraikan pengajaran-pengajaran yang terdapat dalam sebuah novel yang anda kaji.
[8 markah]

(a) Novel yang saya kaji ialah novel Interlok karangan Sasterawan Negara Abdullah Hussain. Novel ini mengetengahkan pelbagai latar masyarakat yang utama. Antaranya ialah masyarakat Melayu yang tidak berpendidikan dan sering ditipu oleh pihak yang suka mengambil kesempatan. Seman yang tidak bersekolah tidak tahu membaca perjanjian antara bapanya dengan Cina Panjang. Akibatnya kehidupan Seman terumbang-ambing setelah bapanya meninggal dunia.  Selain itu latar masyarakat yang diketengahkan ialah masyarakat yang nekad berhijrah untuk mengubah nasib. Lee Kim Lock dan anaknya Cing Huat telah berhijrah dari negara kelahirannya China untuk membina kehidupan di Malaya. Akhirnya golongan ini berjaya menguasai bidang ekonomi di Malaya. Maniam juga merupakan seorang yang berhijrah untuk memperbaiki kehidupan di Tanah Melayu. Hasil kesungguhannya Maniam akhirnya berjaya bekerja sebagai mandur estet.  Kesimpulannya, novel Interlok mengetengahkan latar masyarakat yang menarik kerana terdiri daripada pelbagai bangsa dan keturunan.




(b) Novel yang saya kaji ialah Interlok karya Sasterawan Negara Abdullah Hussain. Terdapat banyak pengajaran yang termuat dalam novel ini. Antaranya ialah manusia perlulah berani membuat keputusan untuk kebaikan diri. Lee Kim Lock berani membuat keputusan untuk berpindah ke Tanah Melayu untuk mengubah kehidupan yang sukar di tanah air sendiri. Selain itu kita hendaklah membantu orang yang berada alam kesusahan. Lebai Man mahu Seman dan ibunya tinggal di rumahnya terlebih dahulu setelah keluar dari rumah. Lazim pula sanggup bersama-sama penduduk kampung mendirikan rumah untuk didiami Seman. Seterusnya kita hendaklah mengelakkan diri daripada menyembunyikan status diri. Maniam tidak menceritakan bahawa dia sudah berkahwin ketika di India. Namun statusnya akhirnya terbongkar dengan kedatangan Suppiah. Dia dihalau oleh bapa mentuanya keluar dari rumah kerana terlalu marah. Akhirnya kita hendaklah bersikap jujur terhadap orang lain. Cina Panjang mendapat harta dengan cara menipu Musa yang tidak berpelajaran dan miskin dengan meletakkan nama Musa pada tanah yang dibeli. Akan tetapi apabila Musa meninggal dunia, Cina Panjang menghalau anaknya Seman dan Mak Limah.   Kesimpulannya, novel Interlok memaparkan banyak pengajaran yang wajar diteladani oleh pembaca.

No comments: