Friday, January 14, 2011

Ulasan Cerpen Pahlawan Buntung


SINOPSIS

Khalid telah bertemu kembali dengan Pak Husain yang berkaki kudung. Pertemuan itu menyebabkan Khalit mengingat kembali kepada kisah lampau yang berlaku ketika tentera Jepun mendarat di Pengkalan Chepa. Khalid memberitahu ayahnya sudah meninggal dunia setahun yang lalu. Khalid terkenang peristiwa 34 tahun dahulu, sebelum dia bersama keluarganya telah berpindah ke kota.
Ketika tentera Jepun mendarat di Kelantan, Pak Husain berusia 30 tahun dan Khalid berusia 14 tahun. Mereka tinggal di Kampung Pulau Pak Amat. Tentera Jepun mendarat dan membunuh askar-askar Punjabi. Pak Husain telah mengarahkan keluarga Khalid dan penduduk kampung berpindah. Mereka mengekori langkah Pak Husain dari belakang sehinggalah mereka ditinggalkan di selekoh batas. Suasana ketika itu sangat mencemaskan kerana bedilan senapang dan letupan bom berlaku di mana-mana. Ketika mereka mahu menaiki perahu, sebuah ledakan jatuh di depan mereka. Rumah Mak Esah terbakar. Mak Esah dan anaknya telah menjadi korban tentera Jepun. Perahu bergerak pantas sebelum diserang oleh tentera Jepun. Dalam keadaan kelam-kabut itu mereka mendapati Pak Husain tiada bersama-sama mereka.
Penduduk kampung berkumpul di Kampung Dal. Khalid dan rakan-rakannya menyeberangi sungai Pangkalan Cepa. Mereka mendapati Pangkalan Cepa sudah terbakar. Mereka kemudiannya pulang semula ke Kampung Dal. Ketika itu Pak Husain ada bersama-sama. Pak Husain menceritakan punca kehilangannya. Dia telah ditahan oleh tentera Jepun dan menyuruhnya menggali kubur besar untuk menanam mayat mangsa perang yang terbunuh.
Setelah Jepun menyerah kalah pada tahun 1945, rompakan sering berlaku. Pak Husain telah menembak perompak tersebut yang masih di dalam perahu dengan menggunakan senapang yang diambil daripada mayat askar Punjabi. Pada satu pagi, Pak Husain terkena letupan bom peninggalan perang. Beliau tidak sedarkan diri dan dibawa ke Hospital Kota Bharu. Kaki Pak Husain dipotong.
Kisah silam terputus dan kini Khalid berhadapan dengan Pak Husain. Khalid menjemput Pak Husain ke rumahnya di Jalan Bayam, tetapi Pak Husain menolak kerana dia mahu ke Padang Bemban, rumah cucunya.

Tema

Perang meninggalkan kesan yang buruk secara fizikal dan mental terhadap mangsa-mangsanya. Khalid masih teringat akan peristiwa tentera Jepun menyerang Tanah Melayu walaupun peristiwa itu sudah lama berlaku. Pak Husain pula menderita akibat terkena bom peninggalan perang Dunia Kedua.


Persoalan

i. Persoalan tentang sikap bertanggungjawab seorang individu yang melindungi orang lain sehingga menyebabkan dirinya menderita. Pak Husain sanggup bersusah payah menyuruh penduduk kampung berpindah tetapi beliau sendiri ditahan oleh tentera Jepun.
ii. Persoalan tentang kekejaman pihak yang mahu berkuasa dengan menggunakan kekerasan. Pihak tentera Jepun mendarat di Pengkalan Chepa dan membunuh askar Punjabi.
iii. Persoalan tentang budi baik orang yang berjasa tidak akan dilupakan. Khalid tetap mengenang jasa baik Pak Husain menyelamatkan mereka ketika serangan tentera Jepun.
iv. Persoalan tentang penderitaan yang terpaksa diharungi ketika peperangan berlaku. Kematian dan kecederaan ialah perkara biasa yang harus dihadapi oleh mangsa perang.
`
Watak

Khalid

i. Dia seorang yang berusia dalam lingkungan 41 tahun.
ii. Dia seorang anak rakan baik Pak Husain semasa tinggal di Kampung Pulau Pak Amat.
iii. Dia seorang yang sangat mengenang budi. Dia masih ingat akan budi Pak Husain menyelamatkan mereka ketika tentera Jepun menyerang.
iv. Dia seorang yang berani. Khalid kembali ke Pengkalan Chepa untuk melihat keadaan tempat itu selepas diserang pihak Jepun.

Pak Husain

i. Dia berusia dalam lingkungan 64 tahun.
ii. Kakinya kudung. Dia terkena ledakan bom peninggalan Jepun selepas peperangan berakhir.
iii. Dia sangat berani. Pak Husain berani membantu orang kampung berpindah untuk mengelakkan serangan Jepun. Dia juga menggali kubur untuk menanam mayat mangsa perang kerana diarahkan oleh tentera Jepun.

2 comments:

famy koh said...

SALAM. MOHON IZIN UNTUK COPY UNTUK SESI PEMBELAJARAN DI SEKOLAH..

Unknown said...

Boleh bagi aku contoh laras bahasa dan peribahasa. Terima kasih