PANTUN ENAM KERAT
Putik kelapa menjadi muda,
Kelapa muda jadi kemirau,
Sudah kemirau menjadi kotai;
Hati luka pura tiada,
Rasa pedih buat tak hirau,
Ibarat kaca jatuh ke lantai.
Ambil galah jolok kedondong,
Galah pendek buluh sumpitan,
Buluh bersisip tali jerami;
Bukan salah ibu mengandung,
Sudah takdir sudah suratan,
Sudah nasib jadi begini.
Sarat bermuat ikan cencaru,
Gelama tidak berumpan lagi,
Kail tersangkut di tepi batang;
Sudah dapat orang yang baru,
Yang lama tidak berkenan lagi,
Ibarat melukut di tepi gantang.
Md. Ali Bachik (Penyelenggara)
Khazanah Puisi Klasik Melayu, 2003
Maksud
Rangkap 1
Seseorang yang miskin dan tidak mempunyai wang biasanya tidak dihiraukan oleh orang lain. Hal ini akan membuatkan orang berkenaan berasa sangat kecewa.
Rangkap 2
Setiap masalah dan nasib malang yang dihadapi oleh seseorang bukan disebabkan oleh orang lain tetapi sememangnya takdir kehidupannya begitu.
Rangkap 3
Sudah menjadi resam dunia apabila orang itu memiliki sesuatu yang baharu, dia akan mengabaikan yang lama.
Tema : Kesedihan akibat kehidupan yang miskin, nasib yang sentiasa malang, dan sering disisih oleh masyarakat.
Persoalan :
i. Persoalan tentang masalah kewangan yang sering menjadikan seseorang itu sentiasa dibelenggu masalah.
ii. Persoalan tentang nasib yang menimpa diri seseorang sememangnya sudah ditakdirkan.
iii. Persoalan tentang sikap manusia yang mengabaikan sesuatu yang lama setelah mendapat sesuatu yang baharu.
Nilai
i. Kesabaran - manusia mestilah sentiasa sabar menghadapi masa-masa sukar kerana ketiadaan wang dan sebagainya.
ii. Bersyukur - manusia sentiasa bersyukur dan berserah apabila menerima nasib yang kurang baik.
iii. Mengenang jasa - manusia tidak harus mengamalkan sikap lupa daratan apabila mendapat sesuatu yang baharu.
Pengajaran
i. Kita hendaklah bersabar untuk menempuh segala masalah yang bakal dihadapi.
ii. Manusia hendaklah sentiasa bersyukur dan menerima segala dugaan yang ditakdirkan.
iii. Masyarakat mestilah mengenang jasa orang dan tidak mengamalkan sikap melupakan yang lama setelah memperoleh sesuatu yang baharu.
Bentuk
i. Terdiri daripada tiga rangkap pantun.
ii. Puisi ini merupakan pantun enam kerat kerana terdiri daripada enam baris dalam satu rangkap.
iii. Tiga baris pertamanya ialah pembayang dan tiga baris yang terakhir ialah maksud.
iv. Jumlah kata dalam baris adalah antara 3 – 4 patah.
v. Bilangan suku kata dalam baris antara 8 – 12 suku kata.
vi. Rima akhirnya ialah a,b, c, a,b, c.
vii. Puisi ini berbentuk terikat dengan ciri-ciri puisi tradisional
Gaya bahasa
i. Ada menyelitkan penggunaan kata arkaik/klasik seperti pura (wang).
ii. Ada unsur gaya bahasa perbandingan simile.
Contohnya :
Ibarat kaca jatuh ke lantai.
Ibarat melukut di tepi gantang.
No comments:
Post a Comment