Friday, February 26, 2010

Buku Terbaru Saya

Dapatkan buku ulang kaji tulisan saya dan Cikgu Ghalib di pasaran sekarang. Disertakan juga ulasan novel Komsas tingkatan empat terkini yang ditulis oleh Penulis dan Penyair Aminhad.

Friday, February 19, 2010

Panduan Mengarang 2

Panduan Menulis Kesimpulan Karangan
Sama seperti bahagian pendahuluan, bahagian kesimpulan karangan juga sangat penting untuk diberikan perhatian oleh calon-calon. Kesimpulan yang baik dan mantap akan menyerlahkan kematangan calon dalam membicarakan sesuatu isu yang diperlukan oleh soalan. Oleh itu, calon-calon perlu menulis kesimpulan yang baik untuk karangan mereka. Sesebuah karangan yang baik akan terjejas kualitinya jika bahagian kesimpulan tidak diberikan perhatian yang serius. Makalah ini menerangkan beberapa panduan asas yang perlu dilakukan oleh calon semasa membuat kesimpulan karangan.
Dalam bahagian kesimpulan beberapa perkara harus dititikberatkan untuk menunjukkan calon menguasai isu yang diperkatakan. Setiap kesimpulan yang ditulis calon perlu membuat rumusan perbincangan, memberikan cadangan, menyatakan peringatan atau amaran dan akhir sekali menyatakan harapan calon terhadap sesuatu isu yang dibangkitkan dalam perbicangan isi. Perkara-perkara tersebut boleh disusun seperti berikut;
i. Rumusan perbincangan ( R )
ii. Cadangan ( C )
iii. Peringatan/Amaran ( A )
iv. Harapan ( H )

Bagi memudahkan calon mengingat perkara-perkara tersebut, singkatan berikut boleh digunakan iaitu RCAH. Jadi dengan mengingat singkatan berkenaan calon-calon tidak lupa akan perkara-perkara yang perlu disertakan dalam kesimpulan karangan mereka.

i. Rumusan Perbincangan
Bahagian ini memerlukan calon membuat rumusan berdasarkan perbincangan isi-isi yang diutarakan. Rumusan tersebut dibuat secara ringkas tetapi mengaitkan kehendak soalan. Calon dinasihati untuk memberikan penekanan terhadap fokus soalan. Jika soalan tersebut meminta calon menyatakan kesan-kesan sesuatu isu, maka beri penekanan pada kesan-kesan semasa membuat rumusan perbincangan.

Soalan contoh :
Bidang teknologi makllumat dan komunikasi merupakan bidang baharu yang perlu dikuasai oleh masyarakat masa ini. Anda ingin menulis sebuah karangan untuk menyatakan kebaikan-kebaikan teknologi maklumat dan komunikasi terhadap masyarakat. Tulis karangan anda selengkapnya.

Kesimpulan contoh:
Bidang teknologi maklumat dan komunikasi sememangnya mempunyai banyak kebaikan untuk dihitung. (RUMUSAN PERBINCANGAN) Oleh itu sudah tiba masanya seluruh masyarakat digalakkan untuk mempelajari bidang berkenaan dengan lebih serius. (CADANGAN) Jika tidak, masyarakat kita akan terus tercicir dan tersisih daripada perkembangan perdana dunia hari ini. (PERINGATAN ATAU AMARAN) Masyarakat yang dapat menguasai bidang canggih ini, diharap dapat bersaing dalam era globalisasi yang semakin mencabar. (HARAPAN)

Kesimpulan contoh 2.
Tidak dapat dinafikan gejala sumbang mahram mempunyai kesan yang sangat buruk terhadap individu dan masyarakat. Semua pihak perlu berganding bahu untuk membanteras gejala ini daripada terus berleluasa. Jika tindakan sewajarnya tidak diambil, imej masyarakat seluruhnya akan musnah dan dipandang hina. Harapan kita, dengan usaha-usaha yang bersungguh-sungguh, gejala jijik ini dapat diatasi, sekali gus mengembalikan keharmonian dalam masyarakat selaras dengan pembinaan masyarakat madani menjelang tahun 2020.

Kesimpulan contoh 3.
Bekerja sambil belajar ternyata mempunyai kebaikan dan keburukan yang tersendiri. Mereka yang terlibat secara langsung dengan perkara ini perlu bijak mengurus masa agar tidak mengabaikan perkara yang penting dalam kehidupan. Jika tidak, ada kemungkinan mereka menyesal dengan tindakan mereka suatu hari nanti. Dengan pengurusan masa yang baik dan fikiran yang rasional, kita harap generasi muda akan lebih berdikari dan berterampilan dalam menempuh hari depan yang semakin mencabar.

Sunday, January 31, 2010

Panduan Mengarang 1

Panduan Menulis Pendahuluan Karangan
Langkah 1
Calon-calon perlu memahami kehendak soalan dengan membaca soalan berulang-ulang kali. Setelah kehendak soalan dikenal pasti, calon boleh bergerak ke langkah yang berikutnya.

Langkah 2
Perkara-perkara yang hendak ditulis dalam pendahuluan dikategorikan seperti berikut;
Isu (I)
Kesan isu (K)
Tindakan umum (T)
Hasil tindakan (H)
Hubungkaitkan dengan soalan. (H)
Untuk memudahkan calon mengingat perkara-perkara tersebut, singkatan berikut boleh digunakan iaitu IKTHH atau IKT2H.

a. Isu
Bahagian isu boleh ditulis dalam satu atau dua ayat. Bahagian ini meliputi isu-isu yang dibangkitkan dalam soalan. Perkara yang ditulis pada bahagian ini terdiri daripada dua perkara iaitu takrif isu dan senario umum tentang isu berkenaan. Namun begitu jika calon menulis senario umum tentang isu sahaja pun sudah memadai. Misalnya, jika soalan memerlukan calon membincangkan cara-cara membanteras gejala cetak rompak, calon perlu menggambarkan senario gejala berkenaan masa kini. Contohnya,
Isu cetak rompak merupakan duri dalam daging industri hiburan di negara kita.
Gejala cetak rompak telah wujud sekian lama dan menjejaskan industri hiburan di negara kita.

b. Kesan isu

Perkara yang kedua yang dimasukkan ke dalam pendahuluan ialah kesan isu yang dibicarakan. Kesan yang dimaksudkan ialah kesan umum yang sudah diketahui. Contohnya,
Masalah cetak rompak menjejaskan artis-artis kerana titik peluh mereka seolah-olah dirampas oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
Gejala cetak rompak menjejaskan pendapatan artis-artis dan karyawan seni kerana hasil karya mereka telah dicuri dengan sewenang-wenangnya oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

c. Tindakan umum

Seterusnya calon memasukkan tindakan secara umum yang diambil pihak-pihak tertentu untuk mengatasi masalah berkenaan. Bahagian ini hanya menyatakan tindakan atau langkah secara umum dan tidak diperincikan. Contohnya;
Pelbagai langkah telah diambil oleh pihak yang berwajib untuk menyelesaikan masalah ini.
Usaha-usaha yang praktikal telah dilaksanakan untuk membanteras gejala yang semakin menular ini.

d. Hasil tindakan

Setelah menyatakan tindakan umum, perkara yang perlu dimasukkan ke bahagian pendahuluan ialah kesan tindakan tersebut. Kesan-kesan itu mungkin kesan positif atau sebaliknya bergantung kepada isu dan kehendak soalan yang dikemukakan dalam tajuk karangan. Contohnya;
Namun begitu, sehingga kini belum ada penyelesaian yang konkrit untuk menyelesaikan masalah ini.
Walau bagaimanapun, gejala yang sudah lama mencengkam hati ini, belum ada ubat yang mujarab untuk menyelesaikannya.

e. Hubung kait dengan soalan

Akhir sekali, calon perlu menghubungkaitkan kehendak soalan dengan pendahuluan. Pada masa inilah calon akan memfokuskan perkara yang bakal dibincangkan dalam bahagian isi karangan. Contohnya;
Sesungguhnya, gejala cetak rompak meninggalkan kesan yang besar terhadap industri hiburan negara kita. (Jika soalan menghendaki calon membincangkan kesan-kesan gejala cetak rompak)
Dalam hal ini, terdapat banyak punca yang menyebabkan gejala cetak rompak berleluasa dan tidak dapat ditangani sepenuhnya. (jika soalan menghendaki calon membincangkan punca-punca gejala cetak rompak)

Tuesday, January 19, 2010

Pendahuluan Karangan

Pendahuluan merupakan komponen penting dalam sesebuah karangan. Pendahuluan berfungsi sebagai wajah karangan yang ditulis. Pemeriksa akan melihat pendahuluan sebagai impression atau gambaran awal tentang kandungan karangan berkenaan. Oleh yang demikian, calon digalakkan menulis pendahuluan karangan yang baik untuk menarik minat pembaca.
Terdapat pelbagai cara untuk menulis pendahuluan. Calon mesti membiasakan diri dengan pelbagai jenis pendahuluan untuk membolehkan mereka memulakan karangan dengan meyakinkan.

Sunday, January 3, 2010

Beraksi Kembali

Setelah lama blog ini ditinggalkan sepi, kini saya akan mengaktifkannya kembali dengan bahan-bahan pengajaran yang baharu. Murid-murid saya dan pengunjung bolehlah mengakses bahan-bahan ini tidak lama lagi. Saya juga ingin memperkenalkan ruangan kerja rumah dalam talian untuk murid-murid saya terutama dalam aspek penulisan karangan. InsyaAllah, jika saya da masa, akan saya buka ruangan tersebut tidak lama lagi.

Friday, December 11, 2009

Monday, November 16, 2009

Kepentingan Aktiviti Kokurikulum

Pendahuluan.
Penglibatan murid dalam aktiviti kokurikulum semakin merosot. Hal ini membangkitkan pelbagai reaksi terutama dalam kalangan guru dan pentadbir sekolah. Pelbagai usaha telah dilaksanakan untuk memastikan aktiviti kokurikulum kembali aktif. Namun sehingga kini cakap-cakap tentang pengabaian murid terhadap aktiviti kokurikulum kasih kedengaran. Sesungguhnya aktiviti kokurikulum mempunyai pelbagai kepentingan.
1. Aktiviti kokurikulum dapat meningkatkan disiplin murid.
- mematuhi etika berpakaian.
- mematuhi masa.
- mengikuti peraturan yang ditetapkan.
2. Aktiviti kokurikulum dapat memupuk sifat kepemimpinan.
- murid berpeluang menjadi pemimpin dalam organisasi.
- melibatkan diri sebagai ahli jawatankuasa.
- setiap murid berpeluang untuk memupuk bakat.
3. Aktiviti kokurikulum dapat menyihatkan tubuh badan.
- Aktiviti yang bersifat fizikal akan meningkatkan daya tahan.
- Murid sentiasa aktif dan tidak diganggu penyakit.
- Badan yang sihat memungkinkan pembelajaran yang berkesan.
4. Aktiviti kokurikulum menghindarkan murid daripada terlibat dalam gejala sosial.
- Murid tidak membuang masa tanpa tujuan.
- Murid tidak melepak dan terlibat dengan aktiviti bercorak negatif.

5. Aktiviti kokurikulum dapat memupuk perpaduan.
- menggalakkan interaksi.
- mengenali dan menghormati antara satu sama lain.
- proses integrasi dalam kalangan murid.
Kesimpulan
Aktiviti kokurikulum memang banyak kebaikan. Semua pihak mestilah berganding bahu untuk meningkatkan penglibatan murid dalam aktiviti koku.