Saturday, June 14, 2014

Khusus untuk Pelajar GCE O Level di Brunei

Memodenkan Teks (Siri 1)

Dalam kertas soalan GCE O  Level mata pelajaran Bahasa Melayu bagi calon-calon peperiksaan di Negara Brunei Darussalam, terdapat soalan memodenkan teks.  Komponen ini memerlukan kemahiran berbahasa yang tinggi dalam kalangan calon peperiksaan.  Hal ini demikian kerana kemampuan memodenkan teks bukan sahaja melibatkan kemahiran berbahasa tetapi kemahiran semantik yang melibatkan bahasa Melayu klasik. Kesilapan semantik akan menyebabkan keseluruhan jawaban calon tidak diterima.  Oleh yang demikian, calon dan guru-guru mata pelajaran Bahasa Melayu perlu menguasai kemahiran mentafsirkan makna bahasa Melayu klasik untuk memudahkan mereka memodenkan bahasa. Usaha ini memerlukan usaha yang gigih kerana bahasa Melayu klasik tidak boleh dimodenkan mengikut kata demi kata, sebaliknya melibatkan ungkapan, kalimat, dan juga keseluruhan teks.

            Selain itu calon-calon juga perlu menguasai aspek penanda wacana klasik yang pelbagai kerana setiap penanda wacana itu membawa maksud yang berlainan. Sebagai langkah permulaan, calon-calon hendaklah dibiasakan dengan penanda-penanda wacana klasik.  Mereka perlu tahu maknanya, dan ada baiknya jika dapat diselaraskan dengan penanda-penanda wacana dalam bahasa Melayu moden. Latihan dalam mengenal pasti penanda wacana  klasik dan maksudnya perlulah dititikberatkan. Antara contoh penanda wacana klasik termasuklah arakian, sebermula, syahadan, hatta, kalakian, dan sebagainya. Untuk memudahkan pemahaman, calon mestilah membuat menyelaraskannya dengan penanda wacana moden.

Penanda wacana klasik
Penanda wacana moden
Hatta
Lalu, maka, hingga
Arakian
Sesudah itu, selepas itu
Sebermula
Pertama sekali
Syahadan
Lalu
Kalakian
Ketika itu


            Perkara yang berikutnya ialah pemahaman terhadap kosa-kosa kata dalam bahasa Melayu klasik.  Untuk tujuan tersebut calon-calon mestilah membuat daftar kata agar mereka tidak lupa atau keliru dengan maksud kata dalam bahasa klasik. Adakalanya ejaan dalam bahasa Melayu klasik agak berbeza.  Contohnya, saya dieja sebagai sahaya, bulan dieja sebagai wulan, tua dieja sebagai tuha.  Jadi, perkara tersebut juga perlu ada dalam pengetahuan calon bagi memudahkan mereka memodenkan bahasa klasik tanpa mengubah maksud petikan.

            Calon juga perlu memahami ungkapan-ungkapan khusus dalam bahasa klasik yang membawa maksud tertentu seperti dalam bahasa istana.  Sebagai contoh, ungkapan seperti mencemar duli bermaksud sudi, menjunjung kasih bermaksud berterima kasih, merafak sembah bermaksud hormat, dan lain-lain.  Bahasa istana juga melibatkan kosa-kosa kata khusus yang hanya digunakan oleh golongan diraja, seperti bersemayam, bersiram, berangkat, gundik, ratu, permaisuri, santap, dan bermacam-macam lagi.  Selagi calon tidak memahami kosa kata, ungkapan, dan juga kalimat dalam bahasa Melayu klasik, sudah tentu calon berkenaan tidak mampu untuk memodenkan bahasa klasik berkenaan.


Sebagai latihan, baca petikan yang berikut dan cuba kenal pasti penanda-penanda wacana klasik, kosa kata, dan ungkapan klasik.  Kemudian modenkan semua perkara tersebut.

Hatta kalakian maka beberapa lamanya Merah Silau itu duduk di sana, sehari-hari kerjanya bermain hayam menyambung maka datanglah segala juara bermain hayam menyambung kepada Merah Silau itu dan jikalau Merah Silau itu alah, dibayarnya taruhnya, dan jikalau orang itu alah tiada dimintanya taruhnya orang itu. Maka terdengarlah kepada segala orang besar-besar dan segala orang tuha-tuha yang dalam negeri itu. Maka segala mereka itu pun datanglah bermain-main menyabung kepada Merah Silau itu. Maka apabila mereka itu kembali, maka diberinya mereka itu seorang seekor kerbau, maka sukacitalah segala orang yang datang itu bermain dengan Merah Silau itu. Sebermula segala yang datang melihat dia sekaliannya diberinya kerbau seekor seorang, demikianlah halnya Merah Silau itu.
Sebermula Megat Sekandar dan Megat Kedah itu keduanya kakanda kepada Sultan Malikul Nasir di Rimba Jerana, dan segala rakyat pun kasihlah ia akan Merah Silau itu. Syahadan maka disuruh oleh Megat Sekandar pada segala rakyat membawa beras seorang sekampit dan kerbau seorang seekor akan membawa pekerjaan itu.


Thursday, March 13, 2014

Penataran Penulisan Bahasa Melayu

Mulai tahun ini saya ingin berkongsi sedikit pengetahuan dengan guru-guru Bahasa Melayu SPM berkaitan kemahiran penulisan karangan.  Mana-mana pihak yang berminat untuk mengajurkan bengkel penataran kemahiran penulisan karangan, boleh menghubungi saya melalui blog atau emel glateh@Hotmail.com  atau zalilateh@upm.edu.my


Sunday, May 12, 2013

Selamat menempuh peperiksaan pertengahan tahun untuk semua calon SPM 2013.

Tuesday, June 19, 2012

Penggantungan Blog

Oleh sebab saya telah berhenti daripada prodesion keguruan, saya tidak lagi memuatnaikkan bahan-bahan baharu.  Saya memohon maaf kepada 'followers' dan berharap bahan-bahan yang sedia ada dapat membantu anak-anak dan pengunjung sekalian.

Monday, April 30, 2012





Audiens dalam bengkel penulisan sajak Sekolah-sekolah Kluster Kecemerlangan Zon Utara di Kelab Cinta Sayang, Sg. Petani.
Audiens ceramah saya di SMJK Sin Min, Sg. Petani.

Tuesday, April 24, 2012

Pengajaran-pengajaran dalam novel Konserto Terakhir



Pengajaran
Bukti
Kita hendaklah membantu orang yang memerlukan tanpa mengharap akan balasan.
Encik Bakar sanggup mengajar Hilmi bermain muzik tanpa mengenakan bayaran kerana bersimpati dengan anak muda itu.
Manusia janganlah memandang hina orang lain walaupun berasal dari kampung.
Datin Salmah memandang hina kepada Hilmi hanya kerana anak muda itu berasal dari kampung di Kedah.
Seorang isteri hendaklah menghormati suaminya demi sebuah rumah tangga yang bahagia.
Rumah tangga Datuk Johari tidak begitu stabil kerana Datin Salmah tidak menghormati suaminya dan sering mempengaruhi keputusan Datuk Johari.
Kita hendaklah berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai sesuatu yang kita impikan dalam kehidupan.
Hilmi berusaha dengan gigih untuk mencapai cita-citanya menjadi seorang ahli muzik yang terkenal.
Manusia hendaklah insaf dan berusaha untuk menebus dosa apabila menyedari kesilapan yang pernah dilakukan.
Datin Salmah akhirnya insaf akan perbuatan kejamnya terhadap Hilmi.  Dia ingin mengambil  anak Hilmi untuk dipelihara sebagai tindakan menebus dosanya.
Kitta hendaklah menjaga nama baik saudara atau adik beradik sendiri.
Hilmi tidak menceritakan yang buruk-buruk tentang Datuk Johari dan Datin Salmah kepada bapanya, sebaliknya memuji-muji kedua-duanya.