Monday, November 15, 2010

Karangan: Budaya Pelbagai Kaum

[Karangan sumbangan : Hasmah Yusuf, Semester 3, PBMP, Fakulti Pengajian Pendidikan, UPM]
Negara kita kaya dengan kebudayaan pelbagai kaum. Namun demikian generasi muda semakin melupakan kebudayaan yang kita warisi sejak zaman berzaman. Bincangkan langkah-langkah yang wajar diambil untuk mengekalkan kebudayaan pelbagai kaum di negara kita.
Malaysia merupakan sebuah negara yang terdiri daripada rakyatnya yang berbilang kaum. Kaum-kaum utama yang terdapat di negara ini ialah Melayu, Cina dan India disamping kaum –kaum yang terdapat di Sabah dan Sarawak seperti kaum Dusun, Murut, Bajau, Kadazan, Iban, Dayak dan sebagainya. Setiap kaum yang terdapat di Malaysia ini mempunyai budaya masing-masing yang telah diamalkan sejak zaman dahulu sehingga sekarang. Budaya yang diamalkan dan diwarisi sama ada dari aspek kesenian, bahasa, adat resam,muzik, agama, kepercayaan mahupun undang-undang mempunyai keunikannya yang tersendiri bagi setiap kaum. Oleh yang demikian, usaha-usaha perlu dilakukan oleh semua pihak agar tradisi kebudayaan dalam semua kaum tidak lenyap dari kehidupan masyarakat sekarang ekoran daripada arus pemodenan yang semakin berleluasa.
Terdapat pelbagai cara atau usaha yang boleh dilakukan oleh semua pihak untuk terus mengekalkan sesuatu budaya yang diamalkan antaranya ialah dari pihak diri seseorang itu sendiri. Seseorang individu itu meminkan peranan yang amat penting dalam mengekalkan sesuatu kebudayaaan kerana tanpa tindakan daripada individu, pelbagai usaha yang dijalankan tidak akan berhasil. Seseorang individu dalam setiap kaum itu haruslah mempunyai keinginan yang tinggi untuk meneruskan budaya yang terdapat dalam bangsa mereka itu sendiri supaya kebudayaan itu dapat terus dikekalkan, sebagai contohnya anak-anak muda dalam kaum Melayu seharusnya membuka mata mereka untuk belajar tentang tarian Melayu seperti Tarian Zapin, Tarian Ulik Mayang, Tarian Joget, Dikir Barat, dan sebaginya. Selain
dari segi kesenian, adat resam juga tidak dilupakan kerana dalam masyarakat Melayu terdapat adat sebelum perkahwinan yang masih diamalkan seperti adat merisik, meminang dan barkahwin. Walau bagaimanpun, terdapat sesetangah masyarakat melayu yang telah mengabaikannya ekoran arus pemodenan. Oleh itu, setiap individu haruslah memainkan peranan untuk terus mengekalkan setiap budaya dalam kaum mereka.
Selain dari diri individu itu sendiri, pihak sekolah juga memainkan peranan yang penting untuk meneruskan aktiviti kebudayaan dalam semua kaum di Malaysia. Pihak sekolah boleh mewujudkan persatuan atau kelab yang berkaitan dengan kebudayaan yang terdapat dalam sesuatu kaum. Sekolah memainkan peranan yang agak penting kerana menjadi rumah kedua kepada golongan kanak-kanak dan remaja selepas rumah mereka dan banyak masa yang akan dihabiskan oleh golongan ini di sekolah. Oleh itu, dengan adanya persatuan atau kelab yang berkaitan dengan aktiviti kebudayaan dan kesenian bagi setiap bangsa, pasti akan dapat menggalakkan pelajar terutamanya sewaktu mereka masih muda ini untuk terus melibatkan diri dan mewarisi sesuatu aktiviti kebudayaan. Pihak sekolah bolehlah mewujudkan kelab seperti Kelab Tarian Melayu, Tarian Cina, Tarian India, Kelab Mencanting Batik dan sebagainya. Kesemuanya haruslah mengenai budaya setiap kaum di malaysia. Disamping itu, keadaan ini juga dapat menggalakkan pelajar untuk mempelajari budaya kaum-kaum yang berlainan dan kaum sendiri. Oleh itu, pihak sekolah haruslah memainkan peranan yang sewajarnya supaya dapat menanam sikap cintakan budaya Malaysia dalam diri para pelajar sejak mereka masih muda lagi.

Pelbagai usaha juga boleh dilakukan oleh pihak kerajaan untuk mengekalkan tradisi kaum-kaum di Malaysia. Kerajaan khususnya Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia bertanggungjawab untuk mengadakan aktiviti kebudayaan rakyat Malaysia sekurang-kurangnya sekali dalam setahun untuk memdedahkan kepada rakyat tentang keunikan budaya yang terdapat di Malaysia. Pesta Kebudayaan dan Kesenian boleh diadakan di peringkat negeri, negara mahupun antarabangsa untuk menunjukkan pelbagai aktiviti kebudayaan yang terdapat di Malaysia yang meliputi tarian, muzik, makanan, pakaian dan sebaginya. Selain itu, kerajaan juga boleh mengadakan rumah terbuka secara besar-basaran bagi setiap parayaan yang di sambut di Malaysia seperti Perayaan Hari Raya Aidilfitri atau Aidiladha, Tahun Baru Cina, Hari Deepavali, Hari Gawai, dan sebagainya. Aktiviti seperti ini akan dapat mengeratkan rakyat malaysia tanpa mengira kaum apabila semua kaum disatukan di bawah satu bumbung. Oleh itu, jelaslah bahawa peranan kerajaan amat penting dalam usaha untuk mengekalkan budaya rakyat Malaysia dalam pelbagai aspek sama ada di peringkat negeri, negara mahupun antarabangsa.
Usaha lain yang boleh dilakukan ialah dengan mengadakan kempen-kempen untuk menggalakkan masyarakat untuk terus memartabatkan budaya masing-masing sama ada dalam negara mahupun sehingga ke luar negara. Kempen-kempen yang diadakan oleh pihak swasta mahupun pihak kerajaan akan dapat menyedarkan masyarakat betapa pentingnya usaha untuk mengekalkan budaya yang masih diamalkan oleh setiap kaum di Malaysia. Kempen-kempen yang akan dilakukan haruslah dibuat secara berterusan supaya tidak jadi seperti hangat-hangat tahi ayam sahaja. Contoh kempen yang boleh dilakukan ialah “Bersama Kita Mengekalkan
Budaya Kita” atau “Budaya Melambangkan Bangsa”. Selain itu, pihak-pihak sasterawan juga boleh menyumbang tenaga dengan mengadakan majlis pembacaan puisi-puisi yang berkaitan kebudayaan Melayu, Cina dan India mahupun menulis puisi-puisi yang indah mengenai kepentingan dan keunikan kebudayaan Malaysia. Semua pihak boleh mendapat kerjasama daripada media cetak atau elektronik untuk menjayakan lagi kempen-kempen yang akan dijalankan.
Kesimpulannya, budaya yang masih diamalkan oleh semua kaum yang terdapat di Malaysia perlulah dihargai dan diwarisi kerana ia merupakan sebuah tradisi yang unik yang tidak terdapat dalam kaum-kaum yang lain. Kesemua budaya yang terdapat dalam masyarakat Malaysia sama ada dari segi kesenian, muzik, adat resam, kepercayaan, bahasa dan sebagainya haruslah dikekalkan untuk generasi yang akan datang supaya generasi baru juga turut mengetahui budaya yang telah diamalkan oleh nenek moyang mereka. Oleh hal yang demikian, peranan semua pihak amatlah diperlukan supaya segala usaha yang akan dilakukan akan membuahkan hasil yang lumayan dan menguntungkan semua pihak.

Sunday, November 14, 2010

Ingatan kepada Blogger

Saya dapati beberapa guru yang membuka blog untuk memaparkan bahan-bahan rujukan. Niat itu memang bagus untuk berkongsi pengetahuan dengan guru-guru lain dan anak-anak didik. Malangnya guru-guru berkenaan hanya mencedok bahan-bahan dari laman-laman blog guru-guru lain. Kalau tidak ada inisiatif untuk memuatkan bahan sendiri, lebih baik jangan bina blog. Saya mendapat rungutan daripada beberapa orang guru yang tidak berpuas hati dengan tindakan sesetengah blogger yang mencedok/menciplak/mencuri bahan-bahan daripada blognya untuk dimuatkan dalam blog mereka sendiri. Lebih buruk lagi jika tidak ada sebarang kredit diberikan kepada pemilik asal bahan tersebut. Jagalah maruah dan etika sebagai seorang guru dan blogger. Saya cadangkan buat hyperlink ke blog-blog rujukan supaya pengunjung dapat memasuki blog pemilik asal bahan berkenaan.

Peribahasa-peribahasa popular untuk karangan

i. Melentur buluh biarlah dari rebungnya.
ii. Kalau tidak dipecahkan ruyung, di mana akan mendapat sagunya.
iii. Hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah.
iv. Seperti aur dengan tebing.
v. Beringat sebelum kena, berjimat sebelum habis.
vi. Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung.
vii. Tiada rotan akar pun berguna.
viii.Bagaimana acuan, begitulah kuihnya.
ix. Bersatu teguh, bercerai runtuh.
x. Ke gunung sama didaki, ke lurah sama dituruni.

Ungkapan indah/madah pujangga

i. Peperangan dapat dihindarkan dengan sebuah senyuman - Mother Teresa.
ii. Perjalanan seribu batu bermula dengan langkah pertama - Lao Tze
iii. Tuntutlah ilmu sampai ke negeri China - Hadis.

Saturday, November 13, 2010

Karangan Semangat Gotong-royong

(Karangan sumbangan: Haifa Halim, Sem. 3, PBMP, UPM)
Masyarakat pada hari ini bersikap materialistik sehingga amalan hidup bermasyarakat seperti bergotong-royong terpinggir. Bincangkan halangan-halangan amalan bergotong-royong dan langkah-langkah untuk menarik minat masyarakat untuk bergotong-royong.

Pada era globalisasi ini, masyarakat terdorong untuk mengutamakan kekayaan dan kekuasaan dalam mengejar arus kemodenan perdana kerana taraf hidup yang semakin meningkat. Masyarakat sanggup bekerja keras siang dan malam untuk mengumpul kekayaan sehingga terabai nilai-nilai murni yang pernah menjadi amalan masyarakat pada suatu ketika dahulu. Perkara ini tidak boleh dipandang enteng kerana masalah ini boleh menjejaskan perpaduan dan keharmonian negara. Oleh itu, pelbagai usaha telah dilaksanakan untuk menyemarakkan kembali aktiviti bergotong-royong. Malangnya, usaha tersebut tidak mendapat sambutan daripada masyarakat sendiri. Jika ditinjau dengan mendalam, masyarakat menghadapi beberapa halangan untuk menghadiri aktiviti-aktiviti bermasyarakat khususnya amalan bergotong-royong.
Antara halangan yang dihadapi oleh masyarakat untuk melibatkan diri dalam aktiviti bergotong-royong ialah kehidupan masyarakat yang sibuk berkerjaya. Masyarakat pada hari ini lebih moden berbanding dahulu seiring dengan peredaran zaman. Masyarakat yang tinggal di kota metropolitan seperti Kuala Lumpur khususnya berfikiran lebih terbuka dan bersifat materialistik. Masyarakat menilai dari segi penampilan luaran dan mengamalkan sikap ‘bagai enau di dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing’. Seseorang itu dinilai dari segi jenama pakaian, jenis kereta, jenis rumah, jawatan dalam pekerjaan dan tahap pengaruh dalam bidang masing-masing. Sehubungan dengan itu, masyarakat berlumba-lumba membanting tulang mengumpul kekuasaan untuk mengukuhkan kedudukan masing-masing. Akibat daripada budaya pemikiran tersebut, kebanyakan masyarakat yang tinggal di kota raya mempunyai karier yang sibuk kerana rata-rata menjawat pekerjaan yang profesional seperti ahli perniagaan, peguam dan akauntan. Selain itu, bukan kaum lelaki sahaja yang keluar mencari nafkah bahkan kaum wanita turut ikut serta. Taraf kaum wanita dikatakan ‘berdiri sama tinggi duduk sama rendah’ dengan kaum lelaki dalam alam kerjaya. Ini dapat dibuktikan apabila kaum wanita diberi kepercayaan untuk menjawat pangkat yang tinggi dalam sesebuah firma besar. Lantaran itu, rutin harian banyak dihabiskan di tempat kerja berbanding di rumah. Kesan daripada itu, walaupun kegiatan bergotong-royong diadakan di tempat kediaman masing-masing tetapi amalan bergotong-royong tiada sambutan kerana masing-masing tiada di rumah. Malang lagi, ada yang langsung tidak mengambil peduli persekitaran sehingga tidak mengetahui adanya kegiatan bergotong-royong ini. Oleh itu, kita dapat simpulkan bahawa kesibukan dalam kerjaya menjadi penghalang kepada amalan bergotng-royong.
Institusi rukun tetangga yang tidak berfungsi juga merupakan salah satu daripada halangan kepada amalan bergotong-royong. Institusi rukun tetangga ditubuhkan untuk memelihara keamanan dan kesejahteraan kawasan kediaman akan tetapi kemudahan ini tidak digunakan sebaiknya. Pada suatu ketika dahulu, institusi rukun tetangga bergerak secara aktif yang diketuai oleh penghulu kampung. Organisasi ini juga melibatkan golongan pemuda-pemudi selain daripada golongan yang lebih tua. Secara tidak langsung, golongan muda dapat bekerjasama dan mengeratkan silaturrahim dengan golongan tua seperti yang diuar-uarkan dalam kempen di televisyen iaitu ‘yang tua dihormati yang muda disayangi’. Pada setiap malam, penghulu akan mengadakan mesyuarat di balai raya untuk membincangkan keselamatan dan aktiviti-aktiviti yang akan dilaksanakan. Melalui itu, amalan seperti bergotong-royong dapat dijalankan dan masyarakat juga berpeluang untuk bergaul mesra. Apabila zaman telah berubah, kehidupan masyarakat juga mengalami anjakan paradigma. Kini, organisasi ini hampir tidak bergerak lagi kerana tiada pelapis untuk mengendalikannya. Orang muda sibuk berkerjaya sehingga ke luar negara kerana tawaran pendapatan yang lumayan. Ini memberi gambaran awal kepada kita bahawa golongan muda lebih memandang ganjaran untuk melakukan sesuatu. Oleh itu, mereka tidak berminat mengendalikan institusi rukun tetangga yang tidak memberi pulangan hasil. Sebagai hasilnya, keruntuhan institusi rukun tetangga memberi pengaruh yang besar kepada amalan bergotong-royong.
Kita tidak dapat menafikan bahawa banyak kebaikan yang diperoleh oleh masyarakat daripada amalan bergotong-royong. Menyedari hal ini, kerajaan berusaha untuk menanam kembali amalan ini dalam kalangan masyarakat. Sehubungan dengan itu, kerajaan telah melaksanakan beberapa inisiatif untuk menarik perhatian dan minat masyarakat terhadap amalan bergotong-royong. Antaranya ialah melaksanakan kempen dengan berkesan. Kempen ini bertujuan untuk menyedarkan masyarakat tentang kepentingan bergotong-royong serta sebagai rangsangan untuk melibatkan masyarakat dalam amalan ini. Untuk memastikan kempen ini benar-benar berjaya, peranan media massa dan media cetak sangat penting. Media elektronik boleh menghebahkan kempen ini di dalam televisyen, radio dan suratkhabar agar masyarakat terdedah dengan maklumat tersebut secara meluas. Walaupun kempen seperti ‘cintailah sungai kita’ dan ‘jom ganyang aedes’ merupakan aspek kesihatan dan alam sekitar tetapi kempen ini secara tidak langsung menuntut masyarakat untuk bergotong-royong. Contohnya, kempen ‘jom ganyang aedes’ memerlukan masyarakat untuk bergotong-royong membersihkan kawasan tempat pembiakan aedes iaitu di longkang atau daun-daun kering di sekitar kawasan rumah. Kempen-kempen tersebut dilihat berkesan kerana masyarakat mula berjinak-jinak dengan amalan tersebut di samping untuk menjaga kebersihan. Kejayaan kempen ini terhasil di atas kerjasama media elektronik dan juga kerajaan seperti bak kata pepatah ‘yang berat sama dipikul yang ringan sama dijinjing’ yang akhirnya membuahkan hasil.
Bak kata pepatah ‘melentur buluh biar dari rebungnya’. Oleh itu, untuk memastikan masyarakat pada generasi akan datang agar tidak ketandusan nilai ini, langkah seperti penerapan dalam pendidikan di sekolah wajar dilaksanakan untuk menyemai amalan ini dari peringkat awal lagi. Dalam pendidikan, amalan ini dapat ditanam melalui mata pelajaran seperti pendidikan moral dan sivik kewarganegaraan. Melalui mata pelajaran tersebut, pelajar didedahkan dengan kepentingan nilai-nilai murni dan mengaplikasikan nilai tersebut dalam kehidupan. Guru memberi pendedahan dan penerangan tentang nilai-nilai murni tersebut dan menjalankan pelbagai aktiviti untuk mendekatkan para pelajar dengan amalan nilai-nilai murni. Selain itu, sekolah juga memain peranan penting untuk menggalakkan pelajar supaya bergotong-royong. Pada hari yang tertentu seperti Hari Guru, Hari Sukan dan pekhemahan pasukan beruniform, sekolah menetapkan pelajar dan guru untuk bergotong-royong membersihkan kawasan sekolah. Secara tidak langsung, para pelajar dipupuk amalan ini sejak dari bangku sekolah dan akan diteruskan sehingga dewasa dalam komuniti masyarakat. Oleh yang sedemikian, langkah menerapkan nilai ini dalam pendidikan oleh kerajaan harus dipuji.
Langkah yang lain untuk menanam nilai ini dalam diri masyarakat ialah penglibatan dari badan bukan kerajaan(NGO) dengan lebih giat. Badan NGO boleh turun padang untuk membantu kerajaan menarik minat masyarakat dalam amalan gotong-royong. Untuk merealisasikan harapan kerajaan mewujudkan masyarakat bergotong-royong, syarikat swasta boleh menganjurkan pertandingan kampung tercantik dengan ganjaran lumayan kepada pemenang. Dengan cara itu, masyarakat lebih tertarik untuk menyertainya dan mula bergotong-royong mencantikkan kawasan perkampungan. Perlibatan badan NGO yang lebih giat dan aktif dapat menunjukkan kepada masyarakat betapa pentingnya amalan tersebut dalam kehidupan komuniti. Melalui itu, masyarakat diharapkan mendapat mesej yang dibawa oleh kerajaan untuk mempergiat amalan ini.
Secara tuntasnya, amalan bergotong-royong ini sangat penting dalam kehidupan bermasyarakat sehingga kerajaan mengambil beberapa inisiatif untuk menghidupkan kembali amalan tersebut. Kerajaan boleh mengguna kaedah yang lain dan lebih kreatif untuk memikat masyarakat. Jika amalan ini terus terkubur, masyarakat akan hidup dalam keadaan tidak aman dan sengsara. Sehubungan dengan itu, masyarakat harus bermula dari sekarang untuk mengubah diri agar amalan ini dipraktikkan sehingga akan datang dan dianggap amalan yang ‘tak basah dek hujan, tak lekang dek panas’. Sebagai penutup wacana, marilah kita belajar amalan yang baik ini dan mengamalkannya dalam kehidupan seharian. Bak kata pepatah, ‘yang baik dijadikan teladan,yang buruk dijadikan sempadan’.

Panduan Jawaban Soalan Novel

Untuk menjawab soalan novel, calon perlu mengingat perkara-perkara yang berikut:
NKKIBK (Naik Kereta Kancil Ikut Balik Kampung)
N = Nama novel : Perkenalkan nama novel yang dikaji.
KK= Kata kunci soalan : Contohnya, persoalan, nilai, pengajaran, latar, kritikan, teguran, dll.
I = Isi jawaban
K = Kesimpulan : Jangan lupa nyatakan kesimpulan.

Jawaban contoh

Novel yang telah saya kaji ialah novel Konserto Terakhir. (N) Novel ini mengetengahkan beberapa krikan sosial terhadap kepincangan masyarakat. (KK) Salah satu kritikan yang diutarakan ialah sikap masyarakat kota yang memandang rendah terhadap orang-orang kampung. (I) Hal ini ditunjukkan oleh watak Datin Salmah yang sangat memandang rendah terhadap Hilmi yang berasal dari kampung. (B) Walaupun Hilmi telah bekerja dengan tekun untuk menjaga halaman rumah, Datin Salmah tetap mencari jalan untuk menghina anak muda itu. Selain itu kritikan juga ditujukan kepada seorang suami yang terlalu memberikan perhatian terhadap kerjaya sehingga mengabaikan rumah tangga. Hubungan suami isteri antara Hilmi dan Azizah menjadi retak akibat sikap Hilmi yang terlalu mementingkan bidang muzik yang diceburinya. Sikap yang keterlaluan itu menyebabkan Hilmi akhirnya jatuh sakit dan meninggal dunia ketika berada di kemuncak kerjayanya. Kesimpulannya, teguran yang dilontarkan oleh pengarang dalam novel dapat dijadikan teladan oleh pembaca. (K)

Kaedah TFFP Diciplak

Saya ingin memaklumkan kaedah mengarang yang saya perkenalkan iaitu TFFP untuk menulis perenggan isi telah diciplak oleh dua orang penulis buku ulasan Bahasa Melayu sebuah syarikat. Pihak berkenaan mengubah suai sedikit bahan saya yang terdapat dalam blog ini dan mengaku bahawa kaedah tersebut ciptaan mereka. Tindakan ini merupakan satu tindakan yang tidak beretika, dan saya memandang serius perkara ini. Saya sedang menguruskan perkara ini dengan peguam saya untuk membawa perkara ini ke mahkamah kerana bahan dalam blog ini telah pun saya terbitkan di majalah-majalah DBP dan UPSI. Kertas kerja kaedah ini juga telah saya bentangkan beberapa kali di seluruh Malaysia. Saya mempunyai bukti dan alasan yang kuat untuk mempertahankan hak saya.

Saturday, November 6, 2010

Karangan : Kesan peperangan

Peperangan merupakan suatu peristiwa yang memberikan kesan negatif kepada sesebuah negara. Bincangkan kesan-kesan yang dialami oleh negara yang terlibat dalam peperangan tersebut.
Setiap peperangan yang berlaku pasti mendatangkan pelbagai kesan negatif kepada sesebuah negara. Hal ini membangkitkan kebimbangan yang berterusan dalam kalangan masyarakat dunia. Pelbagai usaha telah dilaksanakan oleh pihak yang bertanggungjawab untuk memastikan agar peristiwa peperangan ini tidak berlanjutan sehingga meragut ribuan nyawa manusia yang tidak berdosa. Namun demikian, usaha yang dilakukan ini ibarat mencurah air ke daun keladi kerana perkara ini tidak mendatangkan apa-apa faedah sekalipun. Terdapat pelbagai kesan yang dialami oleh negara yang terlibat dalam peperangan tersebut.
Apabila berlakunya sesuatu peperangan, antara kesan utama yang dapat diperhatikan ialah kemusnahan harta benda masyarakat setempat ekoran daripada kekejaman tentera penceroboh. Antara harta benda awam yang musnah ialah bangunan, sekolah, jalan raya, landasan kereta api, lapangan terbang, pelabuhan, dan sebagainya. Bagi mereka yang bekerja sebagai petani, hasil tanaman, alat pengangkutan dan ternakan juga lenyap akibat daripada tindakan tentera penceroboh yang tidak berperikemanusiaan ini. Matlamat mereka hanyalah untuk melihat masyarakat setempat menderita dan hidup dalam kedaifan tanpa sebarang kemudahan asas. Justeru itu, peperangan merupakan suatu perkara yang amat menyeksakan bagi mereka yang pernah mengalaminya sendiri.

Peperangan yang berlaku ini banyak mengorbankan nyawa manusia yang tidak berdosa di serata tempat. Orang awam yang tidak bersalah seperti kanak-kanak, wanita dan orang tua terkena tempiasnya apabila mereka juga dibunuh tanpa rasa belas kasihan dan berperikemanusiaan oleh tentera penceroboh. Akibat daripada keganasan dan kezaliman yang dilakukan, mangsa perang mengalami penderitaan akibat kehilangan orang yang tersayang. Bagi mereka yang tidak dibunuh, mereka telah diseksa dengan teruk sehingga mengalami kecacatan yang kekal. Kekejaman tentera penceroboh ini dapat dilihat apabila mereka melakukan serangan tanpa mengira tempat dan keadaan. Mereka sentiasa mencari peluang untuk menghancurkan komuniti masyarakat di sesuatu kawasan itu. Tegaslah di sini bahawa, peperangan yang berlaku akan membawa kepada kehancuran keharmonian sejagat manusia.
Selain itu, penggunaan senjata kimia dan biologi dalam peperangan mengakibatkan kesan buruk berterusan kepada kesihatan penduduk. Proses pengayaan uranium bagi menjana reaktor nuklear terutama untuk menghasilkan senjata, akan menghasilkan kira-kira 70 peratus gas uranium oksida yang mampu dibawa angin sekali gus mengakibatkan seluruh negara tersebut diancam pelbagai penyakit. Bagi mereka yang terhidu gas uranium oksida ini atau mengambil makanan yang terdedah kepadanya akan menimbulkan kesan negatif kepada sistem perkembangan tubuh badan. Gas-gas yang terbebas melalui udara itu akan mengundang pelbagai penyakit seperti asma, barah, kerosakan otak, diabetis, parkinson dan seumpamanya. Mereka yang berpotensi untuk menghidap penyakit tersebut adalah kanak-kanak dan orang tua. Natijahnya, peperangan ini akan menyebabkan kesihatan penduduk dunia semakin merudum dan pembangunan negara tidak dapat berkembang dengan baik.
Sehubungan itu juga, sistem ekonomi bagi negara yang terlibat dalam peperangan turut mengalami gangguan yang teruk sehingga menjejaskan pembangunan negara. Masyarakat setempat terpaksa melepaskan pekerjaan yang menjadi punca pendapatan mereka semata-mata untuk berperang demi keamanan dan keselamatan mereka semua. Kesannya, aktiviti-aktiviti ekonomi seperti pertanian, perdagangan, pelancongan dan lain-lain tidak dapat berjalan dengan lancar. Hal ini menyebabkan pelabur asing tidak berani untuk melabur di negara tersebut dan mereka akan menarik semula modal yang telah disuntik itu. Kebanyakan firma yang tidak dapat menanggung kos operasinya, akan memberhentikan operasi firma tersebut dan mereka akan kembali pulang ke negara asal mereka. Ini akan menyebabkan negara tersebut mengalami kerugian yang sangat besar. Jelaslah di sini bahawa, sekiranya masalah ini tidak dapat diselesaikan dengan segera, kadar penggangguran dalam kalangan penduduk semakin tinggi dan pembangunan negara tidak dapat berkembang dengan baik.
Seperti yang kita maklum, peperangan yang berterusan akan mengundang kepada gangguan emosi yang teruk dalam kalangan orang awam terutamanya kepada kanak-kanak yang sedang meningkat remaja. Kanak-kanak yang dibesarkan dalam keadaan yang huru-hara akan mengalami gangguan emosi yang teruk sekiranya tidak mendapat rawatan yang sewajarnya. Hal ini kerana, sejak dari kecil lagi mereka telah melihat kekejaman yang dilakukan oleh tentera penceroboh terhadap ahli keluarga mereka seperti diperkosa, dibedil dengan peluru berpandu, ditembak dengan bom dan sebagainya. Kebanyakan kanak-kanak yang masih hidup ini bukanlah seperti kanak-kanak normal yang lain kerana ada di antara mereka yang mengalami kecacatan dari segi fizikal dan mental Peristiwa ini memberi kesan yang mendalam terhadap kehidupan mereka dan kekal dalam ingatan untuk selamanya.
Kesimpulannya, peperangan yang berlaku ini memberi impak yang negatif terutamanya dari segi pembangunan negara dan keharmonian sosial masyarakat sejagat. Untuk mengelak daripada berlakunya peperangan secara berterusan, semua pihak perlulah bekerjasama dan berganding bahu tanpa mengira pangkat, darjat atau bangsa untuk menjaga keharmonian sesebuah negara itu. Setiap peperangan yang berlaku, bukan sahaja mengorbankan ribuan nyawa yang tidak berdosa, malah pembangunan negara dari segi ekonomi dan politik juga terganggu. Oleh itu, sebagai sebuah masyarakat yang prihatin kita seharusnya bersatu hati dan bermuafakat untuk menjaga keamanan negara daripada diganggu gugat oleh pihak yang tidak bertanggungjawab, bak kata pepatah, ‘bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat’.

(Karangan sumbangan, Norhafizah, Sem.3, PBMP, UPM)