Tuesday, June 17, 2014

Memodenkan Teks (Siri 2)

Selain mengetahui makna kosa kata klasik secara leksikal, calon juga perlu memahami makna kalimat, wacana, dan makna konteks.  Makna kalimat bermaksud makna setiap ayat yang terdapat dalam petikan.  Makna wacana pula ialah makna keseluruhan teks, makna konteks pula ialah makna yang dirujuk kepada situasi sesuatu ungkapan atau dialog dalam petikan.
            Untuk menguasai makna kosa kata, calon mestilah sentiasa merujuk kamus yang berkaitan dengan bahasa Melayu klasik.  Makna-makna perkataan hendaklah dihafal. Calon sebaik-baiknya membuat daftar kata bagi setiap kosa kata klasik yang ditemukan dalam kamus ataupun karya-karya sastera yang menggunakan bahasa Melayu klasik. Selain itu, bagi penguasaan kalimat pula, calon mestilah sentiasa membuat latihan memodenkan kalimat klasik.  Akhirnya calon juga boleh membuat latihan memodenkan perenggan. 
            Apabila sudah mahir calon hendaklah sentiasa membuat latihan memodenkan petikan seperti yang terdapat dalam latihan.  Calon-calon juga digalakkan untuk mencari sendiri petikan bahasa klasik yang terdapat dalam teks-teks hikayat dan memodenkannya sebagai latihan.  Sebagai permulaan buatlah daftar kata berdasarkan petikan klasik yang berikut.

Maka katanya kepada biduanda itu, “Pergilah persembahkan ke bawah Duli Yang Dipertuan katakan, pada malam tadi kami berkawal di bawah mahligai tuan puteri itu kami dengar suara laki-laki tertawa di atas mahligai tuan puteri itu, hendak disegerakan pekerjaan itu kerana belum kami persembahkan ke bawah Duli Yang Dipertuan.”

Jawaban contoh:
Dia berkata kepada pembantu raja, “Pergilah beritahu Duli Yang Dipertuan bahawa pada malam tadi ketika kami berkawal di bawah kediaman anak perempuan baginda kami terdengar suara lelaki ketawa di atas rumah itu.  Kami hendak bertindak tetapi kami belum memberitahu hal tersebut kepada Duli Yang Dipertuan.”


No comments: