Bina ayat merupakan satu komponen
dalam kertas peperiksaan Bahasa Melayu GCE O Level bagi murid-murid Negara
Brunei Darussalam. Bahagian ini
menghendaki calon membina ayat berdasarkan perkataan-perkataan yang diberikan
sama ada untuk menunjukkan calon faham
akan makna perkataan tersebut atau membezakannya dengan perkataan-perkataan
lain serta konteks pengunaan yang berlainan. Bahagian bina ayat memerlukan
calon faham akan makna perkataan dan menyerlahkannya dalam ayat yang
dibina. Namun demikian, binaan ayat
bukan sekadar memasukkan perkataan dalam ayat, tetapi juga calon perlu
memastikan binaan tersebut mampu menerangkan makna perkataan yang
diberikan.
Sebagai contoh, soalan Bahasa Melayu Mei/Jun
2010 mengutarakan soalan seperti yang berikut:
Bina satu ayat bagi tiap-tiap
perkataan di bawah untuk menunjukkan perbezaan makna.
(i)
menarik
(ii)
menarik diri
(iii)
menarik perhatian
(iv)
menarik hati
(v)
menarik minat.
a. Penampilannya
sangat menarik.
b. Penampilannya
sangat menarik setelah menghadiri kursus peningkatan jati diri.
Kedua-dua ayat
di atas memasukkan perkataan ‘menarik’. Walau bagaimanapun ayat (b) adalah lebih baik kerana menerangkan
perkataan ‘menarik’ dan kaitannya dengan perkata yang mewujudkan konsep ‘menarik’
itu.
c. Ahmad
menarik diri daripada mewakili pasukan olahraga sekolah.
d. Ahmad
menarik diri daripada mewakili pasukan olahraga sekolah kerana dia
mengalami kecederaan semasa latihan.
Ayat (d) lebih baik kerana menerangkan konsep menarik
diri dan dikaitkan dengan puncanya. Dalam perkataan lain, calon mestilah
membina ayat majmuk agar maksud perkataan atau ungkapan lebih jelas dan mudah
difahami.
e. Sally
cuba menarik perhatian majikannya.
f.
Sally cuba menarik perhatian majikannya
dengan berpakaian cantik setiap hari.
Ayat (f) lebih jelas maksudnya kerana mengaitkan cara
untuk menarik perhatian.
g. Tingkah
lakunya sangat menarik hati.
h. Tingkah
lakunya sangat menarik hati kerana dia sering tersenyum dan mudah mesra.
Ayat (h) lebih jelas maksudnya kerana ungkapan menarik
hati dikaitkan dengan perlakuan si pelakunya.
i.
Laman sosial menarik minat ramai remaja.
j.
Laman sosial menarik minat ramai remaja kerana
mereka dapat berinteraksi secara atas talian di mana-mana dan bila-bila sahaja.
Ayat (j) lebih jelas maksudnya kerana ungkapan ‘menarik
minat’ dikaitkan dengan perkara yang menjadi punca fenomena tersebut.
Kesimpulannya, bina ayat
memerlukan calon menulis ayat majmuk yang dapat menjelaskan maksudnya atau
membezakan makna perkataan atau ungkapan dengan pasangan-pasangan yang
lain. Calon-calon hendaklah membiasakan
diri dengan menulis ayat yang lengkap dan gramatis untuk memastikan tidak ada
markah yang dipotong daripada bahagian ini.
No comments:
Post a Comment