Saturday, October 31, 2009

Kepentingan Pengangkutan Awam

Pendahuluan.
Kesedaran untuk menggunakan pengangkutan awam dalam kalangan masyarakat agak rendah.
Membimbangkan kerajaan - pelbagai langkah diusahakan - namun belum berhasil. Pengangkutan awam ada banyak kepentingan.

1. Pengangkutan awam dapat mengelakkan kesesakan lalu lintas di bandar-bandar utama.
- penggunaan kenderaan persendirian dapat dikurangkan.
- kesesakan dapat dielakkan.
- menjimatkan masa masyarakat yang berurusan di bandar.

2. Penggunaan pengangkutan awam dapat menjimatkan wang.
- tambang pengangkutan awam lebih murah.
- kenaikan harga minyak sering berlaku.
- kos bahan api kenderaan dapat digunakan untuk perkara yang lebih penting.

3. Pengangkutan awam menggalakkan interaksi sosial dalam kalangan masyarakat.
- masyarakat Malaysia dapat berinteraksi antara satu sama lain.
- mengeratkan hubungan antara kaum dan saling menghormati antara satu sama lain.
- mendokong gagasan 1 Malaysia yang mementingkan perpaduan.

4. Dapat meningkatkan mutu perkhidmatan pengangkutan awam di Malaysia.
- penggunaan yang optimum akan menggalakkan syarikat pengakutan awam membaiki
perkhidmatan.
- wujud persaingan sihat antara syarikat pengangkutan awam.
- pengenalan pelbagai jenis pengangkutan awam moden spt LRT, monorel, kereta api laju,
perkhidmatan penerbangan tambang murah.

5. Dapat mengurangkan kadar kemalangan jalan raya di Malaysia.
- Lebih ramai orang menggunakan pengakutan awam, bilangan kenderaan dapat
dikurangkan, justeru kemalangan juga berkurangan.
- negara rugi apabila kadar kemalangan yang berlaku tinggi, dari segi infrastruktur dan
modal insan.
- meningkatkan imej negara sebagai negara yang mempunyai pengangkutan awam yang
selamat.

Kesimpulan
- pengangkutan awam memang banyak kepentingannya. Semua pihak perlu mengubah sikap untuk menggunakan pengangkutan awam. Jika tidak negara kita akan terus dibelenggu pelbagai masalah pengangkutan.

Monday, October 26, 2009

Peribahasa untuk karangan SPM

Unsur keindahan bahasa sangat penting dalam penulisan karangan terutamanya karangan SPM. Oleh yang demikian, calon-calon hendaklah mengingati sekurang-kurangnya 10 peribahasa yang sesuai untuk digunakan dalam karangan. Pilihlah peribahasa yang popular dan sesuai. Elakkan daripada menggunakan peribahasa yang tidak mantap dan tidak tahu sumbernya. Antara peribahasa yang sering digunakan termasuklah;
i. Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat.
ii. Kalau tidak dpecahkan ruyung, di manakah akan mendapat sagunya.
iii. Ke gunung sama didaki, ke lurah sama dituruni.
iv. Bagai hujan jatuh ke pasir.
v. Duri dalam daging.
vi. Gunting dalam lipatan.
vii. Menangguk di air yang keruh.
viii.menahan lukah di pergentingan.
ix. Sehari selembar benang, lama-lama menjadi kain.

Karangan Contoh

Teknologi maklumat mendatangkan banyak kebaikan kepada masyarakat dan negara. Anda ingin menyuarakan pandangan tentang kebaikan teknologi maklumat untuk dimuatkan dalam majalah sekolah anda. Tulis pandangan anda selengkapnya.
Jawapan contoh

Teknologi maklumat merupakan agenda baharu yang begitu diberi­kan oleh negara kita. Kerajaan telah mengambil langkah yang serius untuk menerapkan budaya teknologi maklumat kepada masyara­kat. Berbagai-bagai kempen dijalankan untuk menjelaskan kepada masyarakat tentang pentingnya teknologi maklumat. Sejumlah peruntukan yang besar telah dilaburkan untuk tujuan itu. Berda­sarkan usaha dan iltizam kerajaan yang tinggi itu, nyatalah bahawa bidang teknologi maklumat mempunyai manfaat yang sangat besar kepada masyarakat dan negara ini.
Teknologi maklumat mampu menjadikan masyarakat negara ini sebagai sebuah masyarakat yang sentiasa peka dengan perkembangan dan pergolakan dunia. Melalui kemajuan dalam bidang penyebaran maklumat, masyarakat negara ini tidak ketinggalan untuk mengikuti perkembangan. Maklumat yang disalurkan amat pantas. Hanya dengan memiliki sebuah komputer peribadi yang disambung dengan perkhidmatan internet, masyarakat boleh mendapatkan maklumat dari selur­uh dunia. Mereka hanya perlu menggerakkan tetikus untuk mendapatkan maklumat terkini dalam sesuatu bidang. Contohnya masyarakat Malaysia boleh mengikuti pergolakan politik di Timur Tengah melalui skrin komputer mereka. Oleh itu penguasaan teknologi maklumat mampu menjadi masyarakat Malaysia sebagai masyarakat berinformasi.

Selain itu teknologi maklumat dapat meningkatkan mutu pendi­dikan negara kita. Kerajaan telah mengambil inisiatif untuk mewujudkan sekolah-sekolah bestari yang menjadikan teknologi maklumat sebagai teras pendidikan. Apabila terlaksana kelak, sumber rujukan yang utama bagi pelajar bukan lagi guru mereka. Guru akan dianggap sebagai pemudah cara. Segala proses pembelajaran dan pengajaran akan dikendalikan oleh komputer. Sumber rujukan pula adalah dari sumber-sumber multimedia. Pelajar perlu memiliki kemahiran untuk mengendalikan komputer dan mereka sendiri yang akan meneroka segenap bidang ilmu yang dipelajari oleh mereka. Malah seseorang pelajar boleh melanjutkan pelajaran sehingga ke peringkat tertinggi menggunakan media komputer. Contohnya penubuhan Universiti Tun Abdul Razak merupakan satu langkah ke arah penerokaan ilmu di ruang siber tanpa menghadiri kuliah secara lumrah. Dengan penubuhan universiti maya ini, mutu pendidikan negara meningkat setahap lagi ke arah kemajuan.
Teknologi maklumat juga mampu meletakkan negara kita se­tanding dengan negara-negara maju. Dalam zaman ini kemajuan sesebuah negara diukur dengan pencapaian dalam bidang teknologi. Oleh yang demikian sebagai sebuah negara yang ingin mencapai status negara maju, Malaysia mestilah menitikberatkan bidang ini dan menjadikan kita berdiri sama tinggi duduk sama rendah dengan negara-negara maju. Oleh sebab itulah negara kita mengeluarkan belanja yang banyak untuk meningkatkan segenap aspek yang berkaitan dengan teknologiu maklumat. Contohnya negara kita telah melancarkan satelit teleko­munikasi kita sendiri yang dikenali dengan nama MEASAT 1 dan MEASAT 11. Baru-baru ini pula saintis Malaysia berjaya menghasil­kan satelit ringan yang dikenali sebagai Tiongsat-1. Dengan pelancaran satelit-satelit ini, kita mampu menempatkan diri setanding dengan negara-negara maju dalam bidang telekomunikasi. Jadi, jelaslah teknologi maklumat menjadikan negara kita setanding dengan negara maju.
Penekanan dalam kemajuan teknologi maklumat akan menggalakkan pemindahan teknologi secara langsung dan tidak langsung. Pembinaan Koridor Raya Multimedia telah membuka peluang pelaburan kepada syarikat-syarikat antarabangsa untuk beroperasi di sini. Dengan ini mereka akan memindahkan teknologi canggih ini untuk dipelajari oleh rakyat negara kita. Kerajaan tidak perlu membe­lanjakan wang yang banyak untuk menghantar pegawai untuk berkur­sus di luar negara. Selain itu dengan pemindahan teknologi ke negara kita lebih banyak pihak yang mendapat manfaat. Selain kerajaan mendapat hasil cukai, peluang pekerjaan telah disediakan untuk dimanfaatkan oleh penduduk tempatan. Oleh yang demikian, kemajuan teknologi dapat menggalakkan pemindahan teknologi ke negara kita.
Teknologi maklumat juga dapat meningkatkan ekonomi negara. Perniagaan hari ini dijalankan melalui kaedah e-dagang atau perdagangan elektronik. Melalui kaedah ini peniaga tidak lagi perlu menyediakan ruang niaga yang besar dan memerlukan kos yang tinggi. Hal ini kerana pasaran dapat diperluas melalui internet. Pembeli dari dalam dan luar negara dapat melihat produk dengan hanya menekan tetikus, di samping membuat pesanan. Perdagangan cara ini ternyata lebih berkesan kerana menjimatkan masa dan tenaga pembeli. Peniaga pula hanya perlu meneliti skrin komputer untuk menjual barangan mereka. Contohnya Amazon.com merupakan sebuah syarikat penjualan bahan bacaan yang sangat terkenal dan telah membuktikan kejayaan dalam e-dagang ini. Natijahnya, teknologi maklumat dapat meningkatkan ekonomi negara.
Kesimpulannya, kita tidak harus ketinggalan untuk menguasai kemahiran teknologi maklumat kerana bidang ini akan terus berkembang dari semasa ke semasa. Sistem hidup manusia masa depan akan lebih bergantung kepada kemajuan dalam bidang ini. Malah pada masa kini pun, pergantungan manusia terhadap teknologi maklumat sememangnya tidak dapat dinafikan. Oleh itu, untuk memastikan wawasan negara untuk menjadi sebuah negara maju boleh direalisasikan dengan penguasaan dalam bidang teknologi maklumat. Sebagai rakyat Malay­sia, kita perlu menyokong usaha ini di samping menyediakan diri untuk mempelajari pengetahuan baru berkaitan teknologi maklumat agar kita tidak dianggap seperti katak di bawah tempurung.
(703 perkataan)

Saturday, October 24, 2009

Panduan Karangan

Punca kenaikan harga barang di pasaran.



Pendahuluan

Kenaikan harga barang menjadi buat mulut masyarakat.

- membimbangkan semua pihak.

- disebabkan pelbagai punca.

Isi 1

- Pengeluaran barangan keperluan tidak dapat menampung keperluan pengguna.
- oleh sebab peningkatan bilangan penduduk yang mendadak.
- kilang penghasilan barangan tidak bertambah.

Isi 2
- Sikap peniaga yang mahu mengaut untung berlebihan.
- mereka menaikkan harga sesuka hati.
- menyorok barangan keperluan untuk menaikkan harga. Contohnya, kenaikan harga gula
dikaitkan dengan aktiviti peniaga menyorok bekalan gula.

Isi 3
- Pengeluaran terjejas akibat bencana alam.
- Taufan di negara jiran menjejaskan pengeluaran. Negara kita masih mengimport barang
keperluan.
- Banjir besar juga menjejaskan pengeluaran barang keperluan.

Isi 4
- Permintaan mendadak akibat musim perayaan.
- Terdapat banyak perayaan di negara ini. Contohnya hari raya, Deepavali, Krismas, dll.
- Pengguna memerlukan lebih banyak barang keperluan pada musim perayaan.
- Kekurangan barang menyebabkan harga meningkat.

Kesimpulan
Kenaikan harga barangan keperluan memang menyusahkan masyarakat.
Semua pihak mesti berganding bahu mengatasi gejala ini.
Pengawalan harga barang akan menjadikan kehidupan lebih sejahtera.

Panduan Rumusan STPM

Membuat rumusan bagi peringkat STPM lebih kurang sama dengan cara membuat ringkasan dalam PMR. Akan tetapi rumusan STPM memerlukan calon lebih matang dalam semua hal termasuk mengesan isi, mengolah isi, penggunaan bahasa, membuat pendahuluan, dan juga membuat kesimpulan. Pertama sekali calon mesti baca petikan secara menyeluruh. Pastikan idea utama atau TEMA petikan tersebut. Cara perkara pokok yang hendak diperkatakan dalam petikan tersebut. Tema inilah yang akan diangkat menjadi pendahuluan rumusan.
Kemudian, bahagian isinya pula hendaklah diambil daripada isi penting dalam petikan. Setiap isi penting disenaraikan terlebih dahulu. Elakkan daripada mengambil huraian. Baca huraian tersebut dan apabila menemukan isi lain yang berbeza daripada huraian tadi, maka anggaplah isi itu sebagai isi baharu. Ulanglah perkara tersebut sehingga semua isi baharu ditemukan. Biasanya dalam rumusan ada antara enam hingga lapan isi penting.
Apabila calon mendapat semua isi penting, tulislah dalam perenggan yang baik, iaitu tiga perenggan semuanya. Ambil balik ayat dari petikan dan tokok tambah dengan istilah-istilah tetapi jangan ubah banyak sangat sehingga mencacatkan maksud. Penanda wacana boleh digunakan tetapi tidak seperti rumusan SPM.
Bahagian kesimpulan biasanya diambil daripada perenggan yang terakhir. Walau bagaimanapun tidak semua petikan meletakkan rumusan dalam perenggan yang akhir. Oleh itu calon mestilah bijak untuk menggarap kesimpulan yang merumus segala inti pati rumusan yang dibuat.

Wednesday, October 21, 2009

Buku Esensi PMR 2010

Buku Esensi PMR ini merupakan buku terbaru saya dan Cikgu Ghalib yang sudah mula dijual di pasaran. Dalam buku ini telah dimasukkan banyak penambahbaikan dan input-input terkini.

Tuesday, October 20, 2009

Perwatakan dalam Pahlawan Pasir Salak

Novel Pahlawan Pasir Salak mengetengahkan Deli sebagai watak utamanya. Deli merupakan seorang anak muda kelahiran Kampung Pasir Salak. Beliau memiliki ilmu persilatan dan mengusahakan warung di pangkalan. Deli merupakan seorang yang bersemangat cinta akan tanah air. Deli sanggup berkorban untuk mempertahankan bumi Pasir Salak hingga ke titisan darah yang terakhir. Deli juga menyertai Datuk Maharaja Lela untuk bertempur dengan pihak penjajah d Bandar Tua. Pertempuran tersebut dimenangi oleh pihak penduduk tempatan. Selain itu Deli juga sangat menghormati orang tua dan pemimpin. Deli menghormati bapanya dan juga sangat bangga dengan kehebatan Datuk Maharaja Lela. Bagi menolong bapanya, Deli membantu untuk menjaga warong milik bapanya.
Deli juga digambarkan sebagai seorang yang taat akan perintah agama. Deli tidak berlengah-lengah untuk mengerjakan sembahyang apabila tiba waktu sembahyang. Kesimpulannya Deli merupakan seorang anak muda yang memiliki perwatakan yang positif dan baik.

Friday, October 16, 2009

Peperiksaan Semakin Hampir

Diam tak diam, peperiksan awam semakin hampir. Anak-anak yang mengambil peperiksaan sudah tentu menumpukan perhatian yang penuh terhadap pelajaran. Pada saat-saat akhir ini, perkara yang dipelajari akan lebih berkesan. Oleh sebab itu sekolah-sekolah akan menganjurkan pelbagai program untuk meningkatkan prestasi murid.
Untuk calon-calon STPM, masa sekarang sangat sesuai untuk menjawab soalan-soalan tahun-tahun yang lalu dan juga soalan-soalan latihan mirip soalan peperiksaan sebenar. Cubalah cari seberapa banyak soalan latihan dan cuba menjawabnya. Kemudian semak jawapan yang dibuat dan buatlah penambahbaikan jika jawapan kurang memuaskan.
Semasa saya menduduki STPM dahulu (sebagai calon persendirian) saya telah menghabiskan dua bulan terakhir dengan menjawab soalan-soalan latihan. Setiap malam saya akan mula menelaah pelajaran bermula pukul 10.00 mlm hingga 2.00 pagi. Masa tersebut sangat sesuai untuk belajar. Khusus satu mata pelajaran untuk satu malam. InsyaAllah anda akan dapat menjawab soalan dengan baik.
Sama juga halnya dengan calon SPM. Tambahkan usaha pada masa-masa terakhir ini. Selalunya, belajar pada masa begini murid akan lebih cepat menguasai. Wujudkan kumpulan perbincangan. Bahagikan topik kepada ahli kumpulan. Semasa berbincang setiap ahli akan membentangkan dan mengajar rakan-rakan ahli yang lain. Cara ini bukan sahaja dapat membantu rakan-rakan tetapi dapat memantapkan pengetahuan dalam bidang tersebut.
Perkara yang penting diingat adalah jaga kesihatan agar dapat menjalani peperiksaan dengan sempurna.

Wednesday, October 14, 2009

Menilai Novel

Semasa saya berada di Kelantan pada hujung minggu lalu, Cikgu Nik Nor Ahmarizam bertanya saya. Katanya seorang penulis mempertikaikan buku-buku rujukan yang ada di pasaran semua salah menilai kemuncak novel tulisannya. (yang dijadikan teks Komsas). Oleh itu Cikgu Nik meminta pandangan saya tentang perkara tersebut.
Pada pandangan saya, bidang sastera turut melibatkan kritikan. Penulis dan penngkritik bergerak atas fungsi yang berbeza. Oleh yang demikian, penulis hanya berperanan untuk menghasilkan karya sastera. Selepas itu inisiatif untuk menilai karya tersebut menjadi tanggungjawab bidang kritikan pula. Tidak wajarlah seseorang penulis itu sendiri yang menilai karya tulisan sendiri dan menganggap hanya penilaiannya sahaja yang tepat.
Dalam kajian kritikan, sesebuah karya novel yang baik memiliki struktur yang baik dan mantap. Dalam pemilihan novel yang dijadikan teks sama ada untuk komponen sastera atau sastera elektif, aspek struktural hendaklah diberikan perhatian. Novel yang lengkap strukturnya mempunyai keteguhan dan saling melengkapi unsur dalamannya. Misalnya tema, persoalan, watak, latar, binaan plot, teknik plot, gaya bahasa, nilai, dan pengajaran mestilah saling melengkapi antara satu sama lain. Dengan adanya struktur yang utuh, kajian yang dibuat terhadap novel tersebut akan menjadi lebih jelas yang lengkap.
Dalam menentukan klimaks novel misalnya, kita tidak boleh meletakkan peristiwa klimaks itu sesuka hati atau memilih peristiwa yang paling dramatik untuk diangkat sebagai klimaks. Hal inji terjadi apabila seseorang pengkritik (penulis) tidak memiliki ilmu kritikan yang lengkap. Klimaks dalam sesebuah karya tidak boleh berdiri dengan sendirinya, melainkan berhubung dengan aspek dalaman karya yang lain. Klimaks hendaklah ada hubungannya dengan tema, watak utama novel, dan juga aspek-aspek lain seperti latar, persoalan, nilai, pengajaran, dan sebagainya. Malah judul juga mempunyai kaitan dengan peristiwa yang diangkat sebagai klimaks dalam binaan plot novel. Sebagai contoh, novel Bukit Kepong merupakan sebuah novel yang kukuh strukturnya kerana semua aspek dalaman termasuk judulnya dapat menyerlahkan peristiwa yang diangkat sebagai klimaks. Begitu juga novel Konserto Terakhir, Perlumbaan Kedua, dan sebagainya. Sebaliknya novel-novel seperti Di Hadapan Pulau, Putera Gunung Tahan, tidak mempunyai struktur yang kuat bagi memudahkan pengkaji menghubungkaitkan semua aspek dalamannya untuk menjelaskan klimaks novel berkenaan.
Novel Anak Din Biola sering membangkitkan kekeliruan pada pengkaji kerana peristiwa yang dramatik dalam novel berkenaan tidak dapat dijadikan klimaks. Hal ini demikian peristiwa yang dramatik itu tidak ada kaitan dengan tema dan watak utamanya. Biasanya pembaca akan mengangkat peristiwa penangkapan Pak Mat Tukang Masak sebagai klimaks, tetapi sebenarnya tidak tepat. Hal ini demikian kerana watak utamanya ialah Budiman dan temanya berkaitan amanat arwah bapa Budiman. Pak Mat langsung tidak ada kaitan dalam perkara tersebut.
Begitu juga halnya dengan novel Pahlawan Pasir Salak. Peristiwa yang dramatik dalam novel tersebut ialah pembunuhan JWW Birch. Banyak pembaca yang menganggap peristiwa tersebut sebagai klimaks novel. Pada hal peristiwa itu langsung tidak melibatkan watak utamanya dan juga tema novel berkenaan.
Jika pengkritik tidak dapat menetapkan klimaks novel dengan sempurna, jelas bahawa struktur novel berkenaan tidak mantap. Jadi, sesebuah novel yang wajar dipilih dan dijadikan bahan bacaan hendaklah mengambil kira aspek berkenaan. Sktruktur novel yang kukuh akan memudahkan guru mengajarkan novel tersebut dan juga memudahkan murid untuk mempelajarinya.

Tuesday, October 13, 2009

Buku-buku Baharu Saya

Novel Dari Lembah ke Puncak ini bukan buku baharu saya. Cuma yang saya masukkan ialah versi baharu yang diubahsuaikan untuk dijadikan teks Kesusasteraan Melayu KBSM bermula tahun 2010.



Sepanjang tahun 2009 beberapa buah buku saya telah digunakan dengan meluas di seluruh negara. Buku Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan Tingkatan 5 telah digunakan sejak tahun 2009 di zon pantai timur. Buku-buku kerja yang terpapar di atas baru sahaja diterbitkan dan sudah ada di pasaran. Buku-buku tersebut adalah untuk kegunaan 2010.