Laman Ghazali Lateh
Wednesday, February 18, 2015
Monday, February 2, 2015
Dibuka untuk tempahan
Harga RM25.00
Pos laju RM6.00
Muka surat : 118.
Panduan penulisan karangan dan model karangan berdasarkan kaedah mengarang menggunakan formula.
Pos laju RM6.00
Muka surat : 118.
Panduan penulisan karangan dan model karangan berdasarkan kaedah mengarang menggunakan formula.
Thursday, June 19, 2014
Bina ayat merupakan satu komponen
dalam kertas peperiksaan Bahasa Melayu GCE O Level bagi murid-murid Negara
Brunei Darussalam. Bahagian ini
menghendaki calon membina ayat berdasarkan perkataan-perkataan yang diberikan
sama ada untuk menunjukkan calon faham
akan makna perkataan tersebut atau membezakannya dengan perkataan-perkataan
lain serta konteks pengunaan yang berlainan. Bahagian bina ayat memerlukan
calon faham akan makna perkataan dan menyerlahkannya dalam ayat yang
dibina. Namun demikian, binaan ayat
bukan sekadar memasukkan perkataan dalam ayat, tetapi juga calon perlu
memastikan binaan tersebut mampu menerangkan makna perkataan yang
diberikan.
Sebagai contoh, soalan Bahasa Melayu Mei/Jun
2010 mengutarakan soalan seperti yang berikut:
Bina satu ayat bagi tiap-tiap
perkataan di bawah untuk menunjukkan perbezaan makna.
(i)
menarik
(ii)
menarik diri
(iii)
menarik perhatian
(iv)
menarik hati
(v)
menarik minat.
a. Penampilannya
sangat menarik.
b. Penampilannya
sangat menarik setelah menghadiri kursus peningkatan jati diri.
Kedua-dua ayat
di atas memasukkan perkataan ‘menarik’. Walau bagaimanapun ayat (b) adalah lebih baik kerana menerangkan
perkataan ‘menarik’ dan kaitannya dengan perkata yang mewujudkan konsep ‘menarik’
itu.
c. Ahmad
menarik diri daripada mewakili pasukan olahraga sekolah.
d. Ahmad
menarik diri daripada mewakili pasukan olahraga sekolah kerana dia
mengalami kecederaan semasa latihan.
Ayat (d) lebih baik kerana menerangkan konsep menarik
diri dan dikaitkan dengan puncanya. Dalam perkataan lain, calon mestilah
membina ayat majmuk agar maksud perkataan atau ungkapan lebih jelas dan mudah
difahami.
e. Sally
cuba menarik perhatian majikannya.
f.
Sally cuba menarik perhatian majikannya
dengan berpakaian cantik setiap hari.
Ayat (f) lebih jelas maksudnya kerana mengaitkan cara
untuk menarik perhatian.
g. Tingkah
lakunya sangat menarik hati.
h. Tingkah
lakunya sangat menarik hati kerana dia sering tersenyum dan mudah mesra.
Ayat (h) lebih jelas maksudnya kerana ungkapan menarik
hati dikaitkan dengan perlakuan si pelakunya.
i.
Laman sosial menarik minat ramai remaja.
j.
Laman sosial menarik minat ramai remaja kerana
mereka dapat berinteraksi secara atas talian di mana-mana dan bila-bila sahaja.
Ayat (j) lebih jelas maksudnya kerana ungkapan ‘menarik
minat’ dikaitkan dengan perkara yang menjadi punca fenomena tersebut.
Kesimpulannya, bina ayat
memerlukan calon menulis ayat majmuk yang dapat menjelaskan maksudnya atau
membezakan makna perkataan atau ungkapan dengan pasangan-pasangan yang
lain. Calon-calon hendaklah membiasakan
diri dengan menulis ayat yang lengkap dan gramatis untuk memastikan tidak ada
markah yang dipotong daripada bahagian ini.
Wednesday, June 18, 2014
Meringkaskan petikan (GCE O Level Brunei Darussalam)
Meringkaskan petikan.
Panduan membuat ringkasan.
Kemahiran membuat ringkasan
memerlukan awda mengesan isi tersurat yang terdapat dalam petikan yang
diberikan. Oleh yang demikian, awda
perlu membaca keseluruhan petikan untuk memahami keseluruhan isi petikan. Apabila awda memahami keseluruhan maksud
petikan, barulah awda dapat membezakan isi-isi tersurat dengan huraian dan
contohnya. Harus diingat bahawa huraian
dan contoh tidak perlu dimasukkan ke dalam ringkasan kerana jumlah perkataan
biasanya telah ditetapkan. Untuk mengelakkan
ringkasan melebihi jumlah perkataan awda perlu memilih hanya isi penting atau
isi tersurat sahaja.
Isi
tersurat dalam petikan selalunya dipaparkan sebayat ayat topik dalam perenggan
isi. Namun demikian, isi tersurat tidak semestinya ditulis sebagai ayat pertama
dalam setiap perenggan. Kemahiran
mengesan isi tersurat dapat dikuasai melalui latihan yang berterusan. Ketika membaca petikan, garisi isi tersurat secara
keseluruhan. Setelah lengkap semuanya, tulis kembali isi-isi tersurat dalam
satu perenggan.
Proses
pemurnian hendaklah dilakukan iaitu dengan menambah dan mengurangkan perkataan.
Selain itu aspek tatabahasa hendaklah dimurnikan agar ringkasan tersebut bukan
sahaja tepat isinya, malahan juga mematuhi rumus-rumus tatabahasa bahasa Melayu
yang standard.
Soalan
tahun 2010
Baca petikan berikut dengan teliti
kemudian ringkaskan hingga menjadi kira-kira 100 patah perkataan sahaja.
Penggunaan kata-kata kamu sendiri dalam susunan maksudnya yang asal akan diberi
perhatian utama dalam pemarkahan.
[40 markah]
Salah
satu budaya yang dimiliki oleh bangsa yang maju di dunia ialah budaya menegur. Budaya
menegur ini ialah budaya yang menggalakkan anggota masyarakatnya menegur antara
satu sama lain dengan tujuan untuk memperbaiki keadaan. Dalam budaya
Melayu, perkataan tegur-menegur bermaksud bersapa dan saling bercakap. Tegur-menegur
bermaksud saling bercakap dengan tujuan untuk memberikan nasihat dan tunjuk
ajar.
Budaya
tegur-menegur dapat dikaitkan dengan kehidupan berkomuniti, kehidupan
berkampung dan kehidupan berjiran yang dapat membentuk perpaduan dalam sistem
perhubungan sosial Melayu. Jadi, apabila orang Melayu menegur kelakuan
seseorang, bukanlah bertujuan untuk menimbulkan perselisihan, tetapi untuk
menasihati seseorang itu.
Dalam
budaya tegur-menegur ini, orang yang menegur seharusnya mempunyai
kelayakan ilmu dan mempunyai moral yang dapat diteladani oleh pihak
yang ditegur. Selain itu, tidak ada proses tegur-menegur jikalau pihak yang
menegur bersikap bahawa hanya pendapatnya sahaja yang betul, manakala pendapat
orang yang ditegurnya salah. Oleh itu, dalam bahasa Melayu, ungkapan
tegur-menegur membayangkan ciri interaksi antara kedua-dua belah pihak. Melalui
proses ini, pihak yang menegur juga dapat belajar daripada pihak yang ditegur.
Bagaimana
pun, budaya
ini berbeza dengan amalan mengutuk dan memberi pandangan kritis. Budaya
mengutuk bercanggah dengan prinsip agama sementara pandangan kritis dianggap
lebih menjurus kepada profesionalisme dan akan menjejaskan keputusan yang
dibuat oleh pihak yang berkuasa.
Amalan
menegur
ini sudah lama wujud di alam Melayu dan dilakukan secara halus, tersirat,
bertatatertib, beradat dan berakal budi. Mereka menggunakan kiasan,
perumpamaan, sindiran, tamsil dan ibarat termasuk bahasa berlapik sehingga
kesannya dapat meresap ke dalam jiwa orang yang ditegur.
Namun
begitu, tidak bermakna orang Melayu tidak ada keberanian menegur secara
berterus-terang. Dalam masyarakat Melayu lama, terbukti bahawa orang
bawahan berani mencabar raja-raja Melayu yang melanggar adat Melayu.
Oleh
itu, budaya
ini mesti dihidupkan semula bagi memperbaiki kesilapan yang dilakukan oleh
sesuatu pihak dalam usaha kita memajukan masyarakat. Jika orang Melayu
yang prihatin dan berkelayakan tidak membuat teguran, lama-kelamaan kesilapan
demi kesilapan yang dilakukan akan memusnahkan masa depan bangsa sendiri.
Jawaban contoh:
Budaya
menegur ialah budaya yang menggalakkan anggota masyarakat menegur antara satu
sama lain. Tegur-menegur bermaksud saling bercakap dengan tujuan untuk
memberikan nasihat dan tunjuk ajar. Budaya tegur-menegur dapat dikaitkan dengan
kehidupan berkomuniti, kehidupan berkampung dan kehidupan berjiran. Orang yang
menegur seharusnya mempunyai kelayakan ilmu dan mempunyai moral yang dapat
diteladani. Budaya ini berbeza dengan amalan mengutuk dan memberi pandangan
kritis. Amalan menegur dilakukan secara halus, tersirat, bertatatertib, beradat
dan berakal budi. Namun, dengan budaya ini tidak bermakna orang Melayu tidak
ada keberanian menegur secara berterus-terang.
Budaya ini mesti dihidupkan semula bagi memperbaiki kesilapan yang
dilakukan oleh sesuatu pihak. (98
perkataan)
Tuesday, June 17, 2014
Memodenkan Teks (Siri 2)
Selain mengetahui
makna kosa kata klasik secara leksikal, calon juga perlu memahami makna
kalimat, wacana, dan makna konteks.
Makna kalimat bermaksud makna setiap ayat yang terdapat dalam
petikan. Makna wacana pula ialah makna
keseluruhan teks, makna konteks pula ialah makna yang dirujuk kepada situasi
sesuatu ungkapan atau dialog dalam petikan.
Untuk menguasai makna kosa kata,
calon mestilah sentiasa merujuk kamus yang berkaitan dengan bahasa Melayu
klasik. Makna-makna perkataan hendaklah
dihafal. Calon sebaik-baiknya membuat daftar kata bagi setiap kosa kata klasik
yang ditemukan dalam kamus ataupun karya-karya sastera yang menggunakan bahasa
Melayu klasik. Selain itu, bagi penguasaan kalimat pula, calon mestilah
sentiasa membuat latihan memodenkan kalimat klasik. Akhirnya calon juga boleh membuat latihan
memodenkan perenggan.
Apabila sudah mahir calon hendaklah
sentiasa membuat latihan memodenkan petikan seperti yang terdapat dalam latihan. Calon-calon juga digalakkan untuk mencari
sendiri petikan bahasa klasik yang terdapat dalam teks-teks hikayat dan
memodenkannya sebagai latihan. Sebagai
permulaan buatlah daftar kata berdasarkan petikan klasik yang berikut.
Maka katanya kepada biduanda itu, “Pergilah
persembahkan ke bawah Duli Yang Dipertuan katakan, pada malam tadi kami
berkawal di bawah mahligai tuan puteri itu kami dengar suara laki-laki tertawa
di atas mahligai tuan puteri itu, hendak disegerakan pekerjaan itu kerana
belum kami persembahkan ke bawah Duli Yang Dipertuan.”
Jawaban contoh:
Dia berkata kepada pembantu raja, “Pergilah beritahu Duli Yang
Dipertuan bahawa pada malam tadi ketika kami berkawal di bawah kediaman anak
perempuan baginda kami terdengar suara lelaki ketawa di atas rumah itu. Kami hendak bertindak tetapi kami belum
memberitahu hal tersebut kepada Duli Yang Dipertuan.”
Saturday, June 14, 2014
Khusus untuk Pelajar GCE O Level di Brunei
Memodenkan Teks (Siri 1)
Dalam kertas soalan GCE O Level mata pelajaran Bahasa Melayu bagi
calon-calon peperiksaan di Negara Brunei Darussalam, terdapat soalan memodenkan
teks. Komponen ini memerlukan kemahiran
berbahasa yang tinggi dalam kalangan calon peperiksaan. Hal ini demikian kerana kemampuan memodenkan
teks bukan sahaja melibatkan kemahiran berbahasa tetapi kemahiran semantik yang
melibatkan bahasa Melayu klasik. Kesilapan semantik akan menyebabkan
keseluruhan jawaban calon tidak diterima.
Oleh yang demikian, calon dan guru-guru mata pelajaran Bahasa Melayu
perlu menguasai kemahiran mentafsirkan makna bahasa Melayu klasik untuk
memudahkan mereka memodenkan bahasa. Usaha ini memerlukan usaha yang gigih
kerana bahasa Melayu klasik tidak boleh dimodenkan mengikut kata demi kata,
sebaliknya melibatkan ungkapan, kalimat, dan juga keseluruhan teks.
Selain
itu calon-calon juga perlu menguasai aspek penanda wacana klasik yang pelbagai
kerana setiap penanda wacana itu membawa maksud yang berlainan. Sebagai langkah
permulaan, calon-calon hendaklah dibiasakan dengan penanda-penanda wacana klasik. Mereka perlu tahu maknanya, dan ada baiknya
jika dapat diselaraskan dengan penanda-penanda wacana dalam bahasa Melayu
moden. Latihan dalam mengenal pasti penanda wacana klasik dan maksudnya perlulah dititikberatkan.
Antara contoh penanda wacana klasik termasuklah arakian, sebermula, syahadan, hatta,
kalakian, dan sebagainya. Untuk memudahkan pemahaman, calon mestilah membuat
menyelaraskannya dengan penanda wacana moden.
Penanda wacana klasik
|
Penanda wacana moden
|
Hatta
|
Lalu, maka, hingga
|
Arakian
|
Sesudah itu, selepas itu
|
Sebermula
|
Pertama sekali
|
Syahadan
|
Lalu
|
Kalakian
|
Ketika itu
|
Perkara
yang berikutnya ialah pemahaman terhadap kosa-kosa kata dalam bahasa Melayu
klasik. Untuk tujuan tersebut
calon-calon mestilah membuat daftar kata agar mereka tidak lupa atau keliru
dengan maksud kata dalam bahasa klasik. Adakalanya ejaan dalam bahasa Melayu
klasik agak berbeza. Contohnya, saya
dieja sebagai sahaya, bulan dieja sebagai wulan, tua dieja sebagai tuha. Jadi, perkara tersebut juga perlu ada dalam
pengetahuan calon bagi memudahkan mereka memodenkan bahasa klasik tanpa
mengubah maksud petikan.
Calon
juga perlu memahami ungkapan-ungkapan khusus dalam bahasa klasik yang membawa
maksud tertentu seperti dalam bahasa istana.
Sebagai contoh, ungkapan seperti mencemar duli bermaksud sudi,
menjunjung kasih bermaksud berterima kasih, merafak sembah bermaksud hormat,
dan lain-lain. Bahasa istana juga
melibatkan kosa-kosa kata khusus yang hanya digunakan oleh golongan diraja,
seperti bersemayam, bersiram, berangkat, gundik, ratu, permaisuri, santap, dan
bermacam-macam lagi. Selagi calon tidak memahami
kosa kata, ungkapan, dan juga kalimat dalam bahasa Melayu klasik, sudah tentu
calon berkenaan tidak mampu untuk memodenkan bahasa klasik berkenaan.
Sebagai latihan, baca petikan yang berikut
dan cuba kenal pasti penanda-penanda wacana klasik, kosa kata, dan ungkapan
klasik. Kemudian modenkan semua perkara
tersebut.
Hatta kalakian maka
beberapa lamanya Merah Silau itu duduk di sana, sehari-hari kerjanya bermain
hayam menyambung maka datanglah segala juara bermain hayam menyambung kepada
Merah Silau itu dan jikalau Merah Silau itu alah, dibayarnya taruhnya, dan
jikalau orang itu alah tiada dimintanya taruhnya orang itu. Maka terdengarlah
kepada segala orang besar-besar dan segala orang tuha-tuha yang dalam negeri
itu. Maka segala mereka itu pun datanglah bermain-main menyabung kepada Merah
Silau itu. Maka apabila mereka itu kembali, maka diberinya mereka itu seorang
seekor kerbau, maka sukacitalah segala orang yang datang itu bermain dengan
Merah Silau itu. Sebermula segala yang datang melihat dia sekaliannya diberinya
kerbau seekor seorang, demikianlah halnya Merah Silau itu.
Sebermula Megat
Sekandar dan Megat Kedah itu keduanya kakanda kepada Sultan Malikul Nasir di
Rimba Jerana, dan segala rakyat pun kasihlah ia akan Merah Silau itu. Syahadan
maka disuruh oleh Megat Sekandar pada segala rakyat membawa beras seorang
sekampit dan kerbau seorang seekor akan membawa pekerjaan itu.
Thursday, March 13, 2014
Penataran Penulisan Bahasa Melayu
Mulai tahun ini saya ingin berkongsi sedikit pengetahuan dengan guru-guru Bahasa Melayu SPM berkaitan kemahiran penulisan karangan. Mana-mana pihak yang berminat untuk mengajurkan bengkel penataran kemahiran penulisan karangan, boleh menghubungi saya melalui blog atau emel glateh@Hotmail.com atau zalilateh@upm.edu.my
Subscribe to:
Posts (Atom)