Sunday, November 14, 2010

Ingatan kepada Blogger

Saya dapati beberapa guru yang membuka blog untuk memaparkan bahan-bahan rujukan. Niat itu memang bagus untuk berkongsi pengetahuan dengan guru-guru lain dan anak-anak didik. Malangnya guru-guru berkenaan hanya mencedok bahan-bahan dari laman-laman blog guru-guru lain. Kalau tidak ada inisiatif untuk memuatkan bahan sendiri, lebih baik jangan bina blog. Saya mendapat rungutan daripada beberapa orang guru yang tidak berpuas hati dengan tindakan sesetengah blogger yang mencedok/menciplak/mencuri bahan-bahan daripada blognya untuk dimuatkan dalam blog mereka sendiri. Lebih buruk lagi jika tidak ada sebarang kredit diberikan kepada pemilik asal bahan tersebut. Jagalah maruah dan etika sebagai seorang guru dan blogger. Saya cadangkan buat hyperlink ke blog-blog rujukan supaya pengunjung dapat memasuki blog pemilik asal bahan berkenaan.

Peribahasa-peribahasa popular untuk karangan

i. Melentur buluh biarlah dari rebungnya.
ii. Kalau tidak dipecahkan ruyung, di mana akan mendapat sagunya.
iii. Hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah.
iv. Seperti aur dengan tebing.
v. Beringat sebelum kena, berjimat sebelum habis.
vi. Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung.
vii. Tiada rotan akar pun berguna.
viii.Bagaimana acuan, begitulah kuihnya.
ix. Bersatu teguh, bercerai runtuh.
x. Ke gunung sama didaki, ke lurah sama dituruni.

Ungkapan indah/madah pujangga

i. Peperangan dapat dihindarkan dengan sebuah senyuman - Mother Teresa.
ii. Perjalanan seribu batu bermula dengan langkah pertama - Lao Tze
iii. Tuntutlah ilmu sampai ke negeri China - Hadis.

Saturday, November 13, 2010

Karangan Semangat Gotong-royong

(Karangan sumbangan: Haifa Halim, Sem. 3, PBMP, UPM)
Masyarakat pada hari ini bersikap materialistik sehingga amalan hidup bermasyarakat seperti bergotong-royong terpinggir. Bincangkan halangan-halangan amalan bergotong-royong dan langkah-langkah untuk menarik minat masyarakat untuk bergotong-royong.

Pada era globalisasi ini, masyarakat terdorong untuk mengutamakan kekayaan dan kekuasaan dalam mengejar arus kemodenan perdana kerana taraf hidup yang semakin meningkat. Masyarakat sanggup bekerja keras siang dan malam untuk mengumpul kekayaan sehingga terabai nilai-nilai murni yang pernah menjadi amalan masyarakat pada suatu ketika dahulu. Perkara ini tidak boleh dipandang enteng kerana masalah ini boleh menjejaskan perpaduan dan keharmonian negara. Oleh itu, pelbagai usaha telah dilaksanakan untuk menyemarakkan kembali aktiviti bergotong-royong. Malangnya, usaha tersebut tidak mendapat sambutan daripada masyarakat sendiri. Jika ditinjau dengan mendalam, masyarakat menghadapi beberapa halangan untuk menghadiri aktiviti-aktiviti bermasyarakat khususnya amalan bergotong-royong.
Antara halangan yang dihadapi oleh masyarakat untuk melibatkan diri dalam aktiviti bergotong-royong ialah kehidupan masyarakat yang sibuk berkerjaya. Masyarakat pada hari ini lebih moden berbanding dahulu seiring dengan peredaran zaman. Masyarakat yang tinggal di kota metropolitan seperti Kuala Lumpur khususnya berfikiran lebih terbuka dan bersifat materialistik. Masyarakat menilai dari segi penampilan luaran dan mengamalkan sikap ‘bagai enau di dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing’. Seseorang itu dinilai dari segi jenama pakaian, jenis kereta, jenis rumah, jawatan dalam pekerjaan dan tahap pengaruh dalam bidang masing-masing. Sehubungan dengan itu, masyarakat berlumba-lumba membanting tulang mengumpul kekuasaan untuk mengukuhkan kedudukan masing-masing. Akibat daripada budaya pemikiran tersebut, kebanyakan masyarakat yang tinggal di kota raya mempunyai karier yang sibuk kerana rata-rata menjawat pekerjaan yang profesional seperti ahli perniagaan, peguam dan akauntan. Selain itu, bukan kaum lelaki sahaja yang keluar mencari nafkah bahkan kaum wanita turut ikut serta. Taraf kaum wanita dikatakan ‘berdiri sama tinggi duduk sama rendah’ dengan kaum lelaki dalam alam kerjaya. Ini dapat dibuktikan apabila kaum wanita diberi kepercayaan untuk menjawat pangkat yang tinggi dalam sesebuah firma besar. Lantaran itu, rutin harian banyak dihabiskan di tempat kerja berbanding di rumah. Kesan daripada itu, walaupun kegiatan bergotong-royong diadakan di tempat kediaman masing-masing tetapi amalan bergotong-royong tiada sambutan kerana masing-masing tiada di rumah. Malang lagi, ada yang langsung tidak mengambil peduli persekitaran sehingga tidak mengetahui adanya kegiatan bergotong-royong ini. Oleh itu, kita dapat simpulkan bahawa kesibukan dalam kerjaya menjadi penghalang kepada amalan bergotng-royong.
Institusi rukun tetangga yang tidak berfungsi juga merupakan salah satu daripada halangan kepada amalan bergotong-royong. Institusi rukun tetangga ditubuhkan untuk memelihara keamanan dan kesejahteraan kawasan kediaman akan tetapi kemudahan ini tidak digunakan sebaiknya. Pada suatu ketika dahulu, institusi rukun tetangga bergerak secara aktif yang diketuai oleh penghulu kampung. Organisasi ini juga melibatkan golongan pemuda-pemudi selain daripada golongan yang lebih tua. Secara tidak langsung, golongan muda dapat bekerjasama dan mengeratkan silaturrahim dengan golongan tua seperti yang diuar-uarkan dalam kempen di televisyen iaitu ‘yang tua dihormati yang muda disayangi’. Pada setiap malam, penghulu akan mengadakan mesyuarat di balai raya untuk membincangkan keselamatan dan aktiviti-aktiviti yang akan dilaksanakan. Melalui itu, amalan seperti bergotong-royong dapat dijalankan dan masyarakat juga berpeluang untuk bergaul mesra. Apabila zaman telah berubah, kehidupan masyarakat juga mengalami anjakan paradigma. Kini, organisasi ini hampir tidak bergerak lagi kerana tiada pelapis untuk mengendalikannya. Orang muda sibuk berkerjaya sehingga ke luar negara kerana tawaran pendapatan yang lumayan. Ini memberi gambaran awal kepada kita bahawa golongan muda lebih memandang ganjaran untuk melakukan sesuatu. Oleh itu, mereka tidak berminat mengendalikan institusi rukun tetangga yang tidak memberi pulangan hasil. Sebagai hasilnya, keruntuhan institusi rukun tetangga memberi pengaruh yang besar kepada amalan bergotong-royong.
Kita tidak dapat menafikan bahawa banyak kebaikan yang diperoleh oleh masyarakat daripada amalan bergotong-royong. Menyedari hal ini, kerajaan berusaha untuk menanam kembali amalan ini dalam kalangan masyarakat. Sehubungan dengan itu, kerajaan telah melaksanakan beberapa inisiatif untuk menarik perhatian dan minat masyarakat terhadap amalan bergotong-royong. Antaranya ialah melaksanakan kempen dengan berkesan. Kempen ini bertujuan untuk menyedarkan masyarakat tentang kepentingan bergotong-royong serta sebagai rangsangan untuk melibatkan masyarakat dalam amalan ini. Untuk memastikan kempen ini benar-benar berjaya, peranan media massa dan media cetak sangat penting. Media elektronik boleh menghebahkan kempen ini di dalam televisyen, radio dan suratkhabar agar masyarakat terdedah dengan maklumat tersebut secara meluas. Walaupun kempen seperti ‘cintailah sungai kita’ dan ‘jom ganyang aedes’ merupakan aspek kesihatan dan alam sekitar tetapi kempen ini secara tidak langsung menuntut masyarakat untuk bergotong-royong. Contohnya, kempen ‘jom ganyang aedes’ memerlukan masyarakat untuk bergotong-royong membersihkan kawasan tempat pembiakan aedes iaitu di longkang atau daun-daun kering di sekitar kawasan rumah. Kempen-kempen tersebut dilihat berkesan kerana masyarakat mula berjinak-jinak dengan amalan tersebut di samping untuk menjaga kebersihan. Kejayaan kempen ini terhasil di atas kerjasama media elektronik dan juga kerajaan seperti bak kata pepatah ‘yang berat sama dipikul yang ringan sama dijinjing’ yang akhirnya membuahkan hasil.
Bak kata pepatah ‘melentur buluh biar dari rebungnya’. Oleh itu, untuk memastikan masyarakat pada generasi akan datang agar tidak ketandusan nilai ini, langkah seperti penerapan dalam pendidikan di sekolah wajar dilaksanakan untuk menyemai amalan ini dari peringkat awal lagi. Dalam pendidikan, amalan ini dapat ditanam melalui mata pelajaran seperti pendidikan moral dan sivik kewarganegaraan. Melalui mata pelajaran tersebut, pelajar didedahkan dengan kepentingan nilai-nilai murni dan mengaplikasikan nilai tersebut dalam kehidupan. Guru memberi pendedahan dan penerangan tentang nilai-nilai murni tersebut dan menjalankan pelbagai aktiviti untuk mendekatkan para pelajar dengan amalan nilai-nilai murni. Selain itu, sekolah juga memain peranan penting untuk menggalakkan pelajar supaya bergotong-royong. Pada hari yang tertentu seperti Hari Guru, Hari Sukan dan pekhemahan pasukan beruniform, sekolah menetapkan pelajar dan guru untuk bergotong-royong membersihkan kawasan sekolah. Secara tidak langsung, para pelajar dipupuk amalan ini sejak dari bangku sekolah dan akan diteruskan sehingga dewasa dalam komuniti masyarakat. Oleh yang sedemikian, langkah menerapkan nilai ini dalam pendidikan oleh kerajaan harus dipuji.
Langkah yang lain untuk menanam nilai ini dalam diri masyarakat ialah penglibatan dari badan bukan kerajaan(NGO) dengan lebih giat. Badan NGO boleh turun padang untuk membantu kerajaan menarik minat masyarakat dalam amalan gotong-royong. Untuk merealisasikan harapan kerajaan mewujudkan masyarakat bergotong-royong, syarikat swasta boleh menganjurkan pertandingan kampung tercantik dengan ganjaran lumayan kepada pemenang. Dengan cara itu, masyarakat lebih tertarik untuk menyertainya dan mula bergotong-royong mencantikkan kawasan perkampungan. Perlibatan badan NGO yang lebih giat dan aktif dapat menunjukkan kepada masyarakat betapa pentingnya amalan tersebut dalam kehidupan komuniti. Melalui itu, masyarakat diharapkan mendapat mesej yang dibawa oleh kerajaan untuk mempergiat amalan ini.
Secara tuntasnya, amalan bergotong-royong ini sangat penting dalam kehidupan bermasyarakat sehingga kerajaan mengambil beberapa inisiatif untuk menghidupkan kembali amalan tersebut. Kerajaan boleh mengguna kaedah yang lain dan lebih kreatif untuk memikat masyarakat. Jika amalan ini terus terkubur, masyarakat akan hidup dalam keadaan tidak aman dan sengsara. Sehubungan dengan itu, masyarakat harus bermula dari sekarang untuk mengubah diri agar amalan ini dipraktikkan sehingga akan datang dan dianggap amalan yang ‘tak basah dek hujan, tak lekang dek panas’. Sebagai penutup wacana, marilah kita belajar amalan yang baik ini dan mengamalkannya dalam kehidupan seharian. Bak kata pepatah, ‘yang baik dijadikan teladan,yang buruk dijadikan sempadan’.

Panduan Jawaban Soalan Novel

Untuk menjawab soalan novel, calon perlu mengingat perkara-perkara yang berikut:
NKKIBK (Naik Kereta Kancil Ikut Balik Kampung)
N = Nama novel : Perkenalkan nama novel yang dikaji.
KK= Kata kunci soalan : Contohnya, persoalan, nilai, pengajaran, latar, kritikan, teguran, dll.
I = Isi jawaban
K = Kesimpulan : Jangan lupa nyatakan kesimpulan.

Jawaban contoh

Novel yang telah saya kaji ialah novel Konserto Terakhir. (N) Novel ini mengetengahkan beberapa krikan sosial terhadap kepincangan masyarakat. (KK) Salah satu kritikan yang diutarakan ialah sikap masyarakat kota yang memandang rendah terhadap orang-orang kampung. (I) Hal ini ditunjukkan oleh watak Datin Salmah yang sangat memandang rendah terhadap Hilmi yang berasal dari kampung. (B) Walaupun Hilmi telah bekerja dengan tekun untuk menjaga halaman rumah, Datin Salmah tetap mencari jalan untuk menghina anak muda itu. Selain itu kritikan juga ditujukan kepada seorang suami yang terlalu memberikan perhatian terhadap kerjaya sehingga mengabaikan rumah tangga. Hubungan suami isteri antara Hilmi dan Azizah menjadi retak akibat sikap Hilmi yang terlalu mementingkan bidang muzik yang diceburinya. Sikap yang keterlaluan itu menyebabkan Hilmi akhirnya jatuh sakit dan meninggal dunia ketika berada di kemuncak kerjayanya. Kesimpulannya, teguran yang dilontarkan oleh pengarang dalam novel dapat dijadikan teladan oleh pembaca. (K)

Kaedah TFFP Diciplak

Saya ingin memaklumkan kaedah mengarang yang saya perkenalkan iaitu TFFP untuk menulis perenggan isi telah diciplak oleh dua orang penulis buku ulasan Bahasa Melayu sebuah syarikat. Pihak berkenaan mengubah suai sedikit bahan saya yang terdapat dalam blog ini dan mengaku bahawa kaedah tersebut ciptaan mereka. Tindakan ini merupakan satu tindakan yang tidak beretika, dan saya memandang serius perkara ini. Saya sedang menguruskan perkara ini dengan peguam saya untuk membawa perkara ini ke mahkamah kerana bahan dalam blog ini telah pun saya terbitkan di majalah-majalah DBP dan UPSI. Kertas kerja kaedah ini juga telah saya bentangkan beberapa kali di seluruh Malaysia. Saya mempunyai bukti dan alasan yang kuat untuk mempertahankan hak saya.

Saturday, November 6, 2010

Karangan : Kesan peperangan

Peperangan merupakan suatu peristiwa yang memberikan kesan negatif kepada sesebuah negara. Bincangkan kesan-kesan yang dialami oleh negara yang terlibat dalam peperangan tersebut.
Setiap peperangan yang berlaku pasti mendatangkan pelbagai kesan negatif kepada sesebuah negara. Hal ini membangkitkan kebimbangan yang berterusan dalam kalangan masyarakat dunia. Pelbagai usaha telah dilaksanakan oleh pihak yang bertanggungjawab untuk memastikan agar peristiwa peperangan ini tidak berlanjutan sehingga meragut ribuan nyawa manusia yang tidak berdosa. Namun demikian, usaha yang dilakukan ini ibarat mencurah air ke daun keladi kerana perkara ini tidak mendatangkan apa-apa faedah sekalipun. Terdapat pelbagai kesan yang dialami oleh negara yang terlibat dalam peperangan tersebut.
Apabila berlakunya sesuatu peperangan, antara kesan utama yang dapat diperhatikan ialah kemusnahan harta benda masyarakat setempat ekoran daripada kekejaman tentera penceroboh. Antara harta benda awam yang musnah ialah bangunan, sekolah, jalan raya, landasan kereta api, lapangan terbang, pelabuhan, dan sebagainya. Bagi mereka yang bekerja sebagai petani, hasil tanaman, alat pengangkutan dan ternakan juga lenyap akibat daripada tindakan tentera penceroboh yang tidak berperikemanusiaan ini. Matlamat mereka hanyalah untuk melihat masyarakat setempat menderita dan hidup dalam kedaifan tanpa sebarang kemudahan asas. Justeru itu, peperangan merupakan suatu perkara yang amat menyeksakan bagi mereka yang pernah mengalaminya sendiri.

Peperangan yang berlaku ini banyak mengorbankan nyawa manusia yang tidak berdosa di serata tempat. Orang awam yang tidak bersalah seperti kanak-kanak, wanita dan orang tua terkena tempiasnya apabila mereka juga dibunuh tanpa rasa belas kasihan dan berperikemanusiaan oleh tentera penceroboh. Akibat daripada keganasan dan kezaliman yang dilakukan, mangsa perang mengalami penderitaan akibat kehilangan orang yang tersayang. Bagi mereka yang tidak dibunuh, mereka telah diseksa dengan teruk sehingga mengalami kecacatan yang kekal. Kekejaman tentera penceroboh ini dapat dilihat apabila mereka melakukan serangan tanpa mengira tempat dan keadaan. Mereka sentiasa mencari peluang untuk menghancurkan komuniti masyarakat di sesuatu kawasan itu. Tegaslah di sini bahawa, peperangan yang berlaku akan membawa kepada kehancuran keharmonian sejagat manusia.
Selain itu, penggunaan senjata kimia dan biologi dalam peperangan mengakibatkan kesan buruk berterusan kepada kesihatan penduduk. Proses pengayaan uranium bagi menjana reaktor nuklear terutama untuk menghasilkan senjata, akan menghasilkan kira-kira 70 peratus gas uranium oksida yang mampu dibawa angin sekali gus mengakibatkan seluruh negara tersebut diancam pelbagai penyakit. Bagi mereka yang terhidu gas uranium oksida ini atau mengambil makanan yang terdedah kepadanya akan menimbulkan kesan negatif kepada sistem perkembangan tubuh badan. Gas-gas yang terbebas melalui udara itu akan mengundang pelbagai penyakit seperti asma, barah, kerosakan otak, diabetis, parkinson dan seumpamanya. Mereka yang berpotensi untuk menghidap penyakit tersebut adalah kanak-kanak dan orang tua. Natijahnya, peperangan ini akan menyebabkan kesihatan penduduk dunia semakin merudum dan pembangunan negara tidak dapat berkembang dengan baik.
Sehubungan itu juga, sistem ekonomi bagi negara yang terlibat dalam peperangan turut mengalami gangguan yang teruk sehingga menjejaskan pembangunan negara. Masyarakat setempat terpaksa melepaskan pekerjaan yang menjadi punca pendapatan mereka semata-mata untuk berperang demi keamanan dan keselamatan mereka semua. Kesannya, aktiviti-aktiviti ekonomi seperti pertanian, perdagangan, pelancongan dan lain-lain tidak dapat berjalan dengan lancar. Hal ini menyebabkan pelabur asing tidak berani untuk melabur di negara tersebut dan mereka akan menarik semula modal yang telah disuntik itu. Kebanyakan firma yang tidak dapat menanggung kos operasinya, akan memberhentikan operasi firma tersebut dan mereka akan kembali pulang ke negara asal mereka. Ini akan menyebabkan negara tersebut mengalami kerugian yang sangat besar. Jelaslah di sini bahawa, sekiranya masalah ini tidak dapat diselesaikan dengan segera, kadar penggangguran dalam kalangan penduduk semakin tinggi dan pembangunan negara tidak dapat berkembang dengan baik.
Seperti yang kita maklum, peperangan yang berterusan akan mengundang kepada gangguan emosi yang teruk dalam kalangan orang awam terutamanya kepada kanak-kanak yang sedang meningkat remaja. Kanak-kanak yang dibesarkan dalam keadaan yang huru-hara akan mengalami gangguan emosi yang teruk sekiranya tidak mendapat rawatan yang sewajarnya. Hal ini kerana, sejak dari kecil lagi mereka telah melihat kekejaman yang dilakukan oleh tentera penceroboh terhadap ahli keluarga mereka seperti diperkosa, dibedil dengan peluru berpandu, ditembak dengan bom dan sebagainya. Kebanyakan kanak-kanak yang masih hidup ini bukanlah seperti kanak-kanak normal yang lain kerana ada di antara mereka yang mengalami kecacatan dari segi fizikal dan mental Peristiwa ini memberi kesan yang mendalam terhadap kehidupan mereka dan kekal dalam ingatan untuk selamanya.
Kesimpulannya, peperangan yang berlaku ini memberi impak yang negatif terutamanya dari segi pembangunan negara dan keharmonian sosial masyarakat sejagat. Untuk mengelak daripada berlakunya peperangan secara berterusan, semua pihak perlulah bekerjasama dan berganding bahu tanpa mengira pangkat, darjat atau bangsa untuk menjaga keharmonian sesebuah negara itu. Setiap peperangan yang berlaku, bukan sahaja mengorbankan ribuan nyawa yang tidak berdosa, malah pembangunan negara dari segi ekonomi dan politik juga terganggu. Oleh itu, sebagai sebuah masyarakat yang prihatin kita seharusnya bersatu hati dan bermuafakat untuk menjaga keamanan negara daripada diganggu gugat oleh pihak yang tidak bertanggungjawab, bak kata pepatah, ‘bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat’.

(Karangan sumbangan, Norhafizah, Sem.3, PBMP, UPM)

Friday, October 29, 2010

Karangan Lumba Haram

Soalan : Kegiatan lumba haram dan pertunjukan lagak ngeri penunggang motorsikal dalam kalangan remaja merupakan isu yang semakin banyak disiarkan dalam media massa. Bincangkan punca-punca lumba haram dan langkah-langkah mengatasi gejala tersebut. (Karangan: Aisyah Kassim, Sem 3, PBMP. UPM)

Cadangan jawaban

Penglibatan remaja dalam aktiviti-aktiviti yang tidak sihat telah menjadi satu isu dalam kalangan masyarakat Malaysia pada hari ini. Isu lumba haram telah banyak diperdebatkan di dada-dada akhbar saban hari. Pihak kerajaan telah mengambil tindakan terhadap gejala ini daripada terus berlaku tetapi masalah ini semakin berleluasa dari sehari ke sehari. Oleh itu, kita perlu mengenalpasti punca-punca berlakunya lumba haram dan cara mengatasinya dalam kalangan remaja untuk membendung daripada “kudis menjadi tokak”.
Salah satu punca berlakunya gejala lumba haram dalam kalangan remaja adalah disebabkan oleh sikap tidak acuh ibu bapa. Dalam dunia yang dilingkari kemajuan sains dan teknologi ini, ibu bapa terlalu mementingkan kerjaya masing-masing. Mereka memberi kebebasan sepenuhnya dan terlalu mempercayai anak-anak mereka. Hal ini akan menyebabkan berlakunya masalah putusnya komunikasi antara ibu bapa dan anak-anak mereka. Ibu bapa yang sibuk dengan pekerjaan mereka kerap menghabiskan masa di luar rumah sehingga mengabaikan tanggungjawab mereka untuk mengambil tahu akan hal anak-anak. Atas tanggapan bahawa tanggungjawab mengajar hanyalah tugas guru dan pendidik, ibu bapa ini tidak acuh dengan pendidikan tidak formal yang bermula dari rumah. Mereka seharusnya tahu dan waspada dengan perubahan sikap, pergaulan dan kegiatan semasa anak mereka. Ketiadaan pengawasan daripada ibu bapa yang hanya menyerahkan keperluan fizikal kepada anak-anak telah mendorong gejala ini terus berlaku. Natijah ini seharusnya diberi fokus yang sewajarnya oleh ibu bapa.

Pengaruh rakan sebaya merupakan faktor yang mendorong berlakunya gejala lumba haram dalam kalangan remaja. Rakan sebaya sering kali menjadi tempat meluahkan perasaan kerana hubungan yang renggang dengan ibu bapa. Hal ini demikian akan menyebabkan mereka mudah mengikut kata rakan sebaya mereka berbanding ibu bapa. Mereka juga sering terikut-ikut dengan trend yang mekar dalam situasi kehidupan moden dan canggih. Sekiranya mereka tidak mengikut aliran kelompok terbesar, mereka dianggap kolot dan tidak sukakan cabaran.Secara tidak langsung, mereka akan mengikut rakan mereka dengan aktiviti-aktiviti lumba haram. Mereka mula berjinak-jinak dengan lumba haram sehingga terjebak dengan gejala tidak sihat ini. Jelaslah, pengaruh rakan sebaya mempunyai pengaruh yang kuat terhadap remaja dalam mendorong mereka terlibat dengan gejala tidak berfaedah ini.

Seterusnya, pengaruh media massa yang menayangkan filem atau rancangan yang keterlaluan menjadi punca gejala sosial ini berleluasa. Dalam era globlisasi ini banyak terdapat teknologi canggih dan moden seperti televisyen, internet dan sebagainya. Media massa menyiarkan program yang berunsur aksi ganas terutama akiviti lumba haram menimbulkan rasa ingin mencuba di dalam naluri remaja. Remaja juga gemar menjadikan sesuatu yang mereka lihat sebagai cabaran untuk melakukannya. Contohnya, filem-filem seperti ‘Tokyo Drift’, ‘Fast And The Furious’, ‘Initial-D’, dan ‘Kuala Lumpur Menjerit’ telah mendorong golongan remaja mempelajari aksi-aksi pelakon yang dianggap bergaya dalam filem-filem tersebut. Dalam filem tersebut, mereka ghairah mengubahsuaikan motosikal mereka seperti yang ditunjukkan dalam filem sehingga mengabaikan ciri-ciri keselamatan.Mereka juga bersikap memberontak dan sengaja tidak mahu memakai topi keledar semasa menunggang motorsikal. Hal ini akan mendorong mereka melibatkan diri dalam lumba haram.
Langkah untuk mengatasi masalah lumba haram dalam kalangan remaja ialah Ibu bapa perlu memberi perhatian yang secukupnya terhadap anak-anak mereka. Dalam mendidik anak, ibu bapa harus bijak dan berupaya untuk mengawasi tingkah laku anak mereka dengan berkesan terutama anak yang sudah mencapai umur remaja. Ibu bapa perlu mengenakan satu tahap disiplin dan dalam masa yang sama menyayangi anak mereka dengan sepenuh hati untuk memberi satu perasaan disayangi dalam diri anak mereka. Ibu bapa perlu meluangkan masa berbual bersama anak-anak mereka untuk mendengar luahan serta rintihan hati mereka. Oleh itu, Ibu bapa menjadi benteng pertama dalam usaha untuk menyelesaikan masalah yang melanda anak-anak mereka. Disamping itu, ibu bapa perlu memberi pendidikan agama kepada anak-anak. Ibu bapa mendidik anak mereka dengan akhlak-akhlak yang baik. Contohnya, mereka diberi hukuman apabila mereka membuat kesalahan dan ibu bapa harus memberitahu kesalahan yang telah dilakukan oleh mereka. Dengan adanya perhatian yang secukupnya daripada ibu bapa, anak-anak tidak akan terjebak dalam lumba haram.
Selain itu, peranan kerajaan amat penting dalam menangani lumba haram ini. Pihak polis membuat lebih banyak sekatan jalan raya di kawasan-kawasan berisiko tinggi berlakunya perlumbaan motosikal ini. Tindakan pihak polis yang lebih proaktif menyebabkan remaja berfikir dua kali sebelum terlibat dalam tindakan negatif ini kerana menyedari tindakan mereka sudah dihidu oleh pihak berkuasa awal-awal lagi. Pihak polis juga perlu membuat pengumuman awal tentang hasrat mereka mengadakan sekatan jalan raya untuk memberi amaran awal kepada remaja supaya tidak melakukan tindakan dengan membuat perlumbaan motosikal di situ. Tindakan pantas dan bijak pihak kerajaan terutama pihak polis menyebabkan remaja tidak berani melakukan aktiviti tidak sihat ini.

Kempen kesedaran turut perlu dilaksanakan dalam menangani kemelut yang melanda dalam kalangan remaja kita ini. Kempen kesedaran dilakukan ditempat-tempat tumpuan orang ramai seperti balai raya,sekolah dan sebagainya.Dalam kempen tersebut, pihak penceramah dijemput untuk memberikan penjelasan. Penjelasan mengenai impak buruk lumba haram diperincikan dalam kempen itu untuk memberi kesedaran yang jitu kepada remaja. Dalam masa yang sama kempen ini turut menjelaskan tindakan undang-undang yang boleh dihadapi oleh remaja yang didapati bersalah terbabit dalam kegiatan lumba haram. Jelaslah, kempen yang begitu mudah tetapi efektif berupaya menghalang gejala sosial ini daripada menular dalam jiwa remaja kita jika dilaksanakan dengan baik.

Kesimpulannya, pengaruh sebaya mempunyai pengaruh yang paling kuat yang menyebabkan kemelut lumba haram terus menular dalam kalangan remaja. Kita perlu mengambil tindakan sewajarnya untuk mengengkang gejala ini terus berlaku jika tidak banyak kesan yang buruk akan melanda negara kita kerana remaja ialah bakal menerajui kepimpinan negara pada masa hadapan. Semua pihak harus berganding bahu dalam mengatasi masalah lumba haram agar dapat melahirkan modal insan yang berhemah tinggi, berakhlak mulia, dan bertanggungjawab terhadap agama, bangsa dan negara.